KUALA LUMPUR 4 Mac - Maybank Investment Bank (IB) Research tidak menolak kemungkinan Petronas akan membayar dividen lebih tinggi meskipun telah menyatakan komitmen pembayaran sebanyak RM25 bilion pada 2022 berikutan pengukuhan harga minyak mentah global dengan Brent melepasi paras AS$100 setong.
Penganalisisnya, Liaw Thong Jung berkata, bagi tahun ini, syarikat minyak dan gas negara itu terus berpegang kepada disiplin modal yang ketat di sebalik ketidaktentuan pasaran akibat krisis Rusia-Ukraine dan hala tuju Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+).
Selain itu, katanya, ia juga menetapkan sasaran perbelanjaan modal (capex) yang lebih tinggi antara RM40 hingga RM50 bilion pada 2022.
"Peruntukan capex ini adalah seimbang antara operasi domestik dan antarabangsa. Secara keseluruhan, pendirian (capex lebih tinggi) yang diambil bukanlah sesuatu yang mengejutkan, malah, sejajar dengan kebanyakan aspirasi pemain global yang lain.
"Berdasarkan kenyataannya sebelum ini juga, Petronas menyasarkan 50% peningkatan dalam aliran tunai daripada operasinya menjelang 2025 manakala 30% hasil menjelang 2030," katanya dalam nota kajian bertarikh 3 Mac.
Dalam laporan kewangan yang diumumkan Selasa lalu, Petronas kembali mencatat keuntungan bersih sebanyak RM48.6 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 berbanding kerugian bersih RM21 bilion yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
Baca : Petronas kembali raih untung RM48.6 bilion bagi 2021
Prestasi kumpulan yang kukuh itu disokong oleh lonjakan harga komoditi yang dipacu permintaan tenaga global apabila ekonomi dibuka semula dengan kadar vaksinasi lebih tinggi di seluruh dunia.
Ini menyaksikan syarikat minyak dan gas negara itu merekodkan pendapatan berjumlah RM248 bilion bagi tempoh itu, meningkat daripada RM178.7 bilion bagi tempoh sama 2020.
Berdasarkan program capex bagi tempoh 2022-2026, Petronas memperuntukkan sebanyak 20% daripada perbelanjaan untuk mengembangkan perniagaan bukan tradisional dengan fokus kepada penyelesaian tenaga bersih di samping meraih peluang pertumbuhan dalam segmen peralihan tenaga.
Bagi merealisasikan matlamat ini, Petronas akan menubuhkan sebuah entiti baharu yang memfokuskan sepenuhnya kepada tenaga boleh diperbaharui (RE), hidrogen dan mobiliti hijau pada pertengahan tahun ini.
Entiti tersebut disasarkan untuk menyelesaikan keperluan tenaga bersih untuk pelanggan mereka dan menyokong aspirasi global kumpulan.
Selain itu, ia juga akan menubuhkan unit baharu dikenali Unit Pengurusan Karbon berpusat yang memberi tumpuan kepada usaha dekarbonisasi di dalam kumpulan itu.
Bagaimanapun, Thong Jung berpendapat, mengenai strategi Pelepasan Sifar Bersih Karbon 2050, penyelesaian pengurangan karbonnya masih kabur.
"Malah, Petronas juga ketinggalan berbanding pemain lain yang lebih agresif dalam memperkukuhkan strategi ini," katanya.
Secara keseluruhan, Maybank IB mengekalkan pandangan 'positif' terhadap sektor minyak dan gas.
Firma itu meletakkan saranan 'beli' bagi saham Yinson Holdings Bhd., Dialog Group Bhd. Hibiscus Petroleum Bhd. dan Bumi Armada Bhd. - DagangNews.com








