KUALA LUMPUR 2 Ogos - Petronas dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyerlahkan kewibawaan Malaysia di persada dunia apabila memenangi Anugerah Pencapaian Khas GIS (SAG) yang berprestij di Persidangan Pengguna Esri Antarabangsa di San Diego, California, Amerika Syarikat (AS) yang dihadiri lebih 100,000 perwakilan dari seluruh dunia.
Program anugerah tersebut yang menerima lebih 300,000 pencalonan dari seluruh dunia, telah diasaskan oleh Esri – pemimpin dunia dalam teknologi GIS (Sistem Maklumat Georuang) bagi mengiktiraf organisasi yang mempelopori aplikasi pemetaan pintar yang baharu dan inovatif.
Timbalan Pengarah Perancangan MBSA, Nurul Sheema Abdul Rahman berkata, komitmen untuk menyediakan perkhidmatan pelanggan yang berkualiti kepada penduduk Shah Alam mendorong usaha mereka meningkatkan kecekapan operasi menerusi penggunaan teknologi pintar.
Katanya, sebagai salah satu pihak berkuasa perbandaran yang terbesar di Malaysia, pihaknya bertanggungjawab untuk mengamalkan pendekatan bertumpukan komuniti terhadap transformasi digital.
"Kami bertanya, apakah yang menghalang proses perbandaran lestari? Segala jawapan yang kami perolehi berkait rapat dengan kelemahan tadbir urus dan kerjasama.
"Buat masa ini, kami menguruskan kutipan cukai berjumlah lebih daripada RM300 juta daripada kira-kira 275,000 pemegang akaun.
"Pada hakikatnya, kami perlu memuaskan hati penduduk Shah Alam dengan menunjukkan bahawa kami berkhidmat dengan cekap dan berkesan. Dengan penggunaan teknologi pintar seperti GIS, kami mampu mencapai kecemerlangan pentadbiran awam dan menyediakan perkhidmatan dalam talian yang lebih baik kepada penduduk," katanya dalam kenyataan media di sini.

MBSA dicalonkan atas usahanya melancarkan sistem papan pemuka pemantauan baharu, yang direka bentuk untuk merekodkan data dan meningkatkan kecekapan tempat kerja.
Untuk mencapai matlamat ini, pihak MBSA telah menyediakan peta interaktif dalam papan pemuka tersebut, membolehkan pegawai MBSA merekodkan, menilai dan memberikan maklumat berguna tentang cukai taksiran, jumlah cukai taksiran yang dikutip, kategori cukai taksiran yang berbeza dan statusnya.
Sistem papan pemuka ini juga memaparkan peta berlapis pelbagai bangunan dan kegunaan tanah di bandar raya Shah Alam dengan berkesan.

Lebih daripada 100 kakitangan di pelbagai jabatan boleh menggunakan kemudahan ini. Justeru, kakitangan MBSA boleh menjawab pertanyaan pelanggan dengan cekap dan memantau status serta syarat pemberian lesen di seluruh Shah Alam.
Sementara itu, Petronas dicalonkan atas usahanya mencetus transformasi dalam aktiviti penerokaan umum secara digital dengan menerapkan teknologi pemetaan pintar dalam operasi yang sangat rumit.
Syarikat gergasi petroleum ini, yang sering diiktiraf di pentas global kerana pendekatan progresif mereka, telah membangunkan portal Explore on the Go (EOTG) atau Teroka Sambil Bergerak yang membolehkan Ahli Geosains Cari Gali mengkaji dan meneroka secara dinamik.

EOTG ialah platform pemvisualan berasaskan GIS berpusat untuk menyediakan siri aliran kerja yang membolehkan data bersepadu dikongsi dan disediakan kepada seluruh pasukan teknikal dan pengurusan.
Sebelum ini, data hanya boleh didapati menerusi aplikasi berasingan. Hasil penyepaduan ini, EOTG membolehkan paparan dan pentafsiran maklumat - mengukuhkan pemprosesan perniagaan dan menyediakan capaian mudah menerusi aplikasi mudah alih dan web.
Aplikasi teknologi GIS yang dipelopori untuk merakamkan data perniagaan kritikal syarikat secara berpusat, bagi menganalisis dan meramalkan risiko, ketidakpastian, dan potensi ekonomi, dianggap sebagai mempunyai potensi penggunaan yang menjangkaui sektor petroleum. - DagangNews.com








