KUALA LUMPUR 20 Mac - Persidangan Peralihan Tenaga anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada Ogos tahun ini dijangka dapat memupuk kefahaman masyarakat mengenai kesan Peralihan Tenaga dan memperhalusi inisatif yang perlu diambil pihak berkaitan untuk menangani peralihan tenaga, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Nik Nazmi berkata, dalam proses Peralihan Tenaga dan fokus kepada kelestarian ketika ini, rantaian nilai tenaga amat wajar difahami oleh seluruh pengguna kerana setiap anggota masyarakat mempunyai peranan mengurangkan jejak karbon dalam kehidupan seharian.
Beliau menyifatkan penganjuran Persidangan Peralihan Tenaga itu penting kerana peralihan tenaga memerlukan penghayatan dan penumpuan kerana sektor tenaga merupakan antara enjin pertumbuhan kritikal kepada ekonomi negara dengan menyumbang secara ketara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Sektor tenaga menjadi pemangkin kemakmuran ekonomi malah dalam banyak situasi, berperanan sebagai penggerak kepada pembangunan sektor utama seperti perdagangan, pengangkutan, industri, komersial dan sektor kediaman.
"Lebih utama, ia menyumbang kepada kemampanan tenaga, usaha menjaga alam sekitar dengan lebih baik dan bergerak ke arah masa depan yang lebih mampan terutamanya untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, TNB menganjurkan persidangan tersebut pada 24 dan 25 Ogos 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sebagai salah satu platform penting Malaysia untuk merangsang penyelesaian dan kerjasama merentasi pelbagai sektor ekonomi dalam menangani peralihan tenaga, yang turut menampilkan pameran penyelesaian peralihan tenaga.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din pula berkata, persidangan itu adalah satu platform bagi para pemimpin tempatan dan antarabangsa, pakar-pakar, penggiat industri, penggubal dasar dan komuniti untuk berkongsi pelbagai kaedah inovatif dari pelbagai industri untuk mempercepatkan Peralihan Tenaga bertanggungjawab.
Baharin berkata, persidangan tersebut selaras dengan matlamat dan aspirasi Hala Tuju Kelestarian 2050 TNB.
"TNB komited untuk memacu agenda peralihan tenaga negara melalui aspirasi pelepasan sifar bersihnya bagi menyokong Malaysia mencapai sasaran negara neutral karbon menjelang 2050," katanya.
Persidangan itu berpaksikan kepada peralihan dalam tiga kategori yang merangkumi Tenaga, Pengangkutan dan Perbandaran.
Topik-topik ini akan meliputi empat tema khusus yang terdiri daripada Tenaga Boleh Baharu (TBB), Penyahkarbonan, Pendigitalan dan Pemboleh Peralihan Tenaga yang merangkumi dasar, pasaran dan keupayaan.
Dalam persidangan itu, peserta juga akan didedahkan kepada teknologi dan penyelesaian mampan melalui pameran dan peluang untuk sesi padanan perniagaan.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran penyertaan, sila layari https://the-etconference.com/. - DagangNews.com








