SEBERANG JAYA 13 Jun - Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) memperhebatkan usaha bagi memperkasa usahawan-usahawan di wilayah utara dengan penganjuran program BizFrancais Pulau Pinang 2022 dengan sasaran potensi pembiayaan sebanyak RM7.1 juta.
Program yang berlangsung di Hotel The Light di sini merupakan lokasi pertama bagi siri jelajah Program BizFrancais pada tahun 2022. Pada tahun ini, program tersebut akan diadakan di empat lokasi iaitu Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Kelantan.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2019, Pernas telah menganjurkan 11 siri program BizFrancais termasuk di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Kelantan, Langkawi, Johor, Sabah dan Sarawak.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Zamri Salleh berkata, pada tahun 2019, jumlah pembiayaan sebanyak hampir RM1 juta telah diluluskan untuk wilayah utara hasil penganjuran BizFrancais pada tahun tersebut.
Beliau berkata, program itu bertujuan membuka peluang kepada usahawan sedia ada serta bakal-bakal usahawan untuk mengetahui informasi terkini mengenai perniagaan francais sekali gus memperbanyakkan lagi usahawan setempat untuk menceburi perniagaan francais.
“Selain melahirkan lebih ramai usahawan francais, program ini turut menjadi platform bagi membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi tempatan yang menggalakkan peniaga-peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan sistem francais melalui program Business In Transformation (BIT)," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Zamri, industri francais di Malaysia berkembang pada tahap membanggakan yang mana sebanyak 1,137 syarikat francais yang berdaftar dan daripada jumlah tersebut, 68 syarikat francais tempatan telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa di 70 buah negara.

Katanya, ia membuktikan bahawa industri francais mendapat tempat di kalangan para usahawan sebagai salah satu cabang keusahawanan yang berdaya maju.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Mazlan Ibrahim pula berkata, Pernas telah meluluskan sebanyak RM9.38 juta pembiayaan susulan daripada penganjuran program BizFrancais di 11 lokasi sejak tahun 2019 sehingga 2021.
"Bermula pada tahun 2007 sehingga kini, Pernas telah membiaya sebanyak RM45.4 juta kepada para usahawan di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Pernas melihat banyak potensi yang boleh diterokai bagi membangunkan perniagaan francais berdasarkan kepada kemunculan pelbagai jenama francais di wilayah ini," katanya.

Dalam program sama, seramai tujuh usahawan telah menerima mock-cheque iaitu Gerbang Pizzeria Sdn Bhd, Manusias Resources, H&W Rizq Sdn Bhd, Breena Empire Sdn Bhd, M&M First Group Sdn Bhd, Qayrizz Enterprise dan Elevate Enterprise dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM1.6 juta. Selain itu, tiga syarikat turut menerima sijil BIT Pernas iaitu Iddas Frozen, Syukor Burger dan Chor World.
Program BizFrancais Pulau Pinang 2022 telah berjaya menarik minat lebih daripada 300 peserta dalam kalangan usahawan, bakal usahawan dan orang awam yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ilmu keusahawanan francais dan bantuan yang ditawarkan oleh Pernas. - DagangNews.com








