KUALA LUMPUR 3 Mei - Permohonan untuk tiga geran utama ekonomi digital iaitu Geran Pemangkin Malaysia Digital (MDCG), Geran Malaysia Digital Xport (MDXG) dan Geran Kandungan Digital (DCG) mula dibuka.
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menerusi hantaran di Facebook rasminya memaklumkan, geran itu adalah bagi memacu ekosistem industri digital negara ke tahap yang lebih kondusif serta mampan.
"Jangan lupa sertai sesi taklimat geran MDCG dan MDXG kami pada 9, 16 dan 22 Mei 2023 melalui pautan berikut: https://bit.ly/MDCG_MDXG dan taklimat geran DCG pada 9 Mei 2023 di https://bit.ly/3LHPKud," katanya.
Maklumat lanjut boleh diakses menerusi pautan www.mdec.my/grants dan tarikh tutup bagi permohonan itu ialah 1 Jun 2023.
MDCG merupakan geran yang direka untuk memangkin penggunaan dan pembangunan penyelesaian mampan yang disruptif dan inovatif dalam sektor tumpuan Malaysia Digital seperti digariskan dalam Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara.
Selain itu, MDXG memberi fokus untuk menyokong syarikat teknologi tempatan yang menunjukkan keupayaan dan kesediaan mereka dalam mengembangkan pasaran ke peringkat global.


DCG pula bagi menyokong syarikat kandungan kreatif tempatan dalam membangun, menghasil serta memasarkan kandungan digital dalam animasi, permainan digital, komik digital dan kandungan teknologi kreatif. - DagangNews.com








