KUALA LUMPUR 22 Julai - MIDF Research menyemak turun harga sasaran Top Glove Corp. Bhd. kepada RM1.01 daripada RM1.04 sebelum ini susulan prospek pengeluar sarung tangan getah itu kekal membimbangkan dalam tempoh terdekat.
Menurut firma itu, kemerosotan margin dan penurunan harga jualan purata (ASP) dijangka terus berlaku dalam tempoh itu memandangkan permintaan yang lebih lemah disebabkan peralihan kepada fasa endemik.
Dalam taklimat dengan pengurusan baru-baru ini, katanya, Top Glove mendapati permintaan pasaran yang lebih lemah berbanding sebelum pandemik disebabkan terutamanya situasi lebihan bekalan dalam industri di tengah-tengah persaingan sengit dari China, dan pengembangan kapasiti yang agresif oleh pendatang sedia ada dan baharu.
"Kami juga mendapati pembeli mula membuat tawaran yang lebih sedikit disebabkan industri dipacu bekalan yang mereka boleh mengakses bekalan dengan pantas.
"Oleh itu, terdapat risiko ASP boleh jatuh ke paras di bawah sebelum pandemik COVID-19 sekitar AS$21 hingga AS$23 per 1,000 keping, sebelum normalisasi permintaan-penawaran yang tidak seimbang," katanya dalam nota kajian hari ini.
Susulan prospek yang kurang menarik bagi sektor sarung tangan getah, Top Glove mengambil keputusan menangguhkan pelan pengembangannya dan kini memberi tumpuan kepada pembinaan loji pensterilan gamma dan memperoleh bekalan bahan mentah secara dalaman.
Kadar penggunaan Top Glove secara purata mencapai 50% dalam dalam tempoh 9 bulan berakhir 31 Mei 2022 disebabkan oleh permintaan sarung tangan global yang normal. Ia adalah 37% lebih rendah daripada tahap pra-pandemik sebanyak 87%.
Pengurusan tidak menolak potensi penyatuan mendatar sebagai sebahagian daripada strategi pengembangannya, namun, aktiviti penggabungan dan pengambilalihan dijangka tidak berlaku dalam tempoh 1 hingga 2 tahun akan datang.
Selain itu, penyenaraiannya di Hong Kong Stock Exchange (HKEX) juga masih ditangguhkan masih memberi tumpuan kepada menangani cabaran perniagaan.
MIDF Research berkata, kemerosotan margin berkemungkinan berterusan pada separuh kedua 2022 di tengah-tengah ketidakupayaan untuk melepaskan kos sepenuhnya terutama dengan permintaan yang semakin lemah dan persaingan sengit.
Ini mendorong firma itu menyemak semula unjuran keuntungan selepas cukai dan faedah tidak terkawal (PATANCI) teras bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2022 (FY22), FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak -2%, -4% dan -11%.
Semakan itu, jelasnya, mengambil kira kos input yang lebih tinggi (gas asli, pembungkusan, kimia dan kos bahan api) untuk menggambarkan pemampatan margin dengan lebih baik.
"Kumpulan mendapati tarif gas asli meningkat hampir 13% bermula 1 Julai 2022, yang menyumbang tambahan 1.3% kepada jumlah kos pada FY22.
"Harga lateks getah asli pula dijangka kembali normal selepas musim sejuk berakhir. Namun, kami menjangkakan kos yang lebih tinggi untuk bahan kimia, dan pembungkusan dalam tempoh terdekat kerana ia diimport dalam dolar Amerika Syarikat (AS)," katanya.
Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap Top Glove dengan risiko kepada penarafan bergantung kepada penyusutan ringgi berbanding dolar AS, penurunan ASP dan kenaikan mendadak harga bahan mentah.
Setakat 9.16 pagi, harga saham Top Glove kekal tidak berubah pada RM1 dengan 3.23 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








