Peningkatan permintaan dari China akan menyokong aktiviti perdagangan serantau termasuk Malaysia - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peningkatan permintaan dari China akan menyokong aktiviti perdagangan serantau termasuk Malaysia - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Mei - MIDF Research menjangkakan peningkatan permintaan daripada China akan menyokong aktiviti perdagangan dan pengeluaran serantau termasuk Malaysia.

 

Firma itu berkata, prospek itu bagaimanapun dikekang oleh pertumbuhan global yang perlahan.

 

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan S&P Global Malaysia kekal dalam menguncup (iaitu di bawah 50) pada April 2023, walaupun indeks tidak berubah pada 48.8 dari Mac 2023.

 

Firma itu berkata, permintaan kekal lemah, mendorong pengilang Malaysia untuk mengurangkan pengeluaran dan mengurangkan aktiviti pembelian, memacu penyederhanaan jumlah perniagaan baharu untuk bulan kelapan berturut-turut.

 

"Eksport, bagaimanapun, menunjukkan peningkatan dengan permintaan luar negara mencatatkan peningkatan selepas sembilan bulan merosot.

 

"Sementara itu, guna tenaga menunjukkan perkembangan positif, dengan firma menunjukkan pengambilan pekerja yang lebih baik, yang membawa kepada peningkatan guna tenaga pembuatan untuk bulan keempat berturut-turut.

 

"Selain itu, prestasi vendor bertambah baik, pengurangan kesesakan pelabuhan yang memendekkan masa penghantaran pembekal untuk bulan keempat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, harga bahan mentah terus mencatatkan penyederhanaan, hanya meningkat sedikit pada April 2023 daripada terendah 34 bulan pada Mac 2023, mencetuskan kemungkinan permintaan akan meningkat berikutan inflasi yang berkurangan.

 

"Bagaimanapun, memandangkan keadaan permintaan semasa, keyakinan sektor kekal terjejas, merosot ke paras terendah dalam tempoh empat bulan pada April 2023.

 

"Melihat kepada PMI ekonomi lain di rantau ini, Korea Selatan, Taiwan, dan Jepun juga mencatatkan aktiviti pembuatan yang menguncup, manakala Thailand, Filipina, India dan Indonesia mencatatkan pengembangan.

 

"Aliran penguncupan pada April 2023 adalah melibatkan negara pembuat produk elektrik dan elektronik (E&E) atau berkaitan teknologi termasuk Malaysia, menandakan permintaan luaran yang perlahan berikutan permintaan global yang lembap," katanya. - DagangNews.com