KUALA LUMPUR 25 April - Pembiayaan enam pengangkut etana sangat besar (VLEC) sejajar dengan komitmen MISC Berhad dalam meningkatkan prestasi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan strategi penyahkarbonan.
MIDF Research berkata pinjaman berjangka 11 tahun berjumlah AS$527 juta (kira-kira RM2.3 bilion) untuk mendapatkan VLEC memberikan prospek yang positif memandangkan ia merupakan pengangkutan laut untuk etana dan gas petroleum cecair (LPG) yang paling mampan.
VLEC sering mengguna semula kargonya untuk bahan api, sekali gus menghapuskan keperluan untuk pembakaran diesel karbon tinggi, membantu kumpulan itu mencapai komitmennya untuk penyelesaian pengangkutan lebih bersih dan mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050, kata firma penyelidikan itu.
Pemeteraian kemudahan pinjaman bersindiket dengan Standard Chartered memberi kumpulan itu pinjaman berjangka bukan rekursa 11 tahun yang merupakan pinjaman berkaitan kemampanan (SLL) sulungnya dan distrukturkan agar sejajar dengan strategi perniagaan jangka panjang dan aspirasi kemampanannya.
“Pinjaman berjangka ini adalah selaras dengan komitmen MISC dalam mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050 serta sumbangannya kepada ekonomi neutral karbon dengan beralih kepada penyelesaian pengangkutan pelepasan karbon rendah dan akhirnya sifar karbon,” tambahnya dalam nota hari ini.
Menurut firma itu, VLEC dijangka memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) ESG yang ditetapkan oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) dan Poseidon Principles, di samping akan digunakan untuk mengukur keamatan karbon armada aset dan penyelesaian gas kumpulan itu.
“Memandangkan pinjaman berjangka ini masih di peringkat awal, kami tidak membuat sebarang perubahan pada anggaran pendapatan.
“Secara keseluruhan, kami terus menyukai MISC kerana rancangan pertumbuhan jangka sederhana hingga panjang kekal kumpulan utuh, sejajar dengan peningkatan minat dalam pengangkut bersih dan mampan serta pertumbuhan permintaan untuk produk petroleum,” tambahnya.
MIDF Research mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM8.16 sesaham. -DagangNews.com








