KUALA LUMPUR 25 April - Pengambilalihan tanah di Kota Bharu sebahagian daripada strategi korporat Aeon Co. (M) Berhad untuk menumpukan perhatian dan mengembangkan operasi runcit masa depannya, kata MIDF Research.
Firma penyelidikan itu optimis pengambilalihan tanah tersebut akan memberi kestabilan yang lebih tinggi kepada operasi Aeon Mall Kota Bharu.
Pada 20 April yang lalu, telah memeterai perjanjian jual beli (S&P) bersyarat dengan Liziz Standaco Sdn. Bhd untuk memperoleh tanah komersial Aeon Mall Kota Bharu dengan jumlah pertimbangan pembelian RM165 juta dan perjanjian tersebut dijangka selesai pada suku ketiga 2023.
Menurut firma itu, Aeon Mall Kota Bharu pada masa ini beroperasi di atas tanah pajakan dan pengambilalihan tanah komersial 8.69 hektar tersebut akan memberi kumpulan kawalan ke atasnya tanpa bimbang tamat tempoh pajakan atau kenaikan sewa.
“Selain itu, pengambilalihan tanah berpotensi menghasilkan penjimatan kos jangka panjang memandangkan kumpulan itu tidak perlu lagi membayar sewa kepada tuan tanah pihak ketiga,” tambahnya dalam nota hari ini.
Aeon akan menggunakan dana yang dijana secara dalaman untuk membiayai pengambilalihan, di mana jelas firma tersebut, tidak menjadi isu memandangkan kumpulan itu mempunyai tunai dan kesetaraan tunai yang kukuh sebanyak RM237.5 juta pada tahun kewangan 2022 (FY22) dan nisbah penggearan bersih yang rendah sebanyak 0.1 kali.
“Selepas pengambilalihan selesai, kami menjangkakan nisbah penggearan bersih kekal sihat pada 0.2 kali, di bawah norma sejarah 0.4 kali lima tahunnya,” kata firma itu.
MIDF Research mengekalkan unjuran pendapatan sementara menunggu perjanjian tersebut selesai dan positif terhadap prospek Aeon bagi tahun kewangan 2023 (FY23).
Ini didorong oleh inisiatif kumpulan itu untuk membangunkan pelbagai jenama dan label peribadi dalaman pada harga berpatutan yang menarik golongan B40 hingga M40 dan kecekapan penjimatan kos mungkin menyokong margin.
“Selain itu, kami optimis kumpulan itu akan mendapat manfaat daripada penggunaan di luar rumah berikutan peningkatan trafik pelancong selepas pembukaan semula,” tambahnya.
Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM1.90 sesaham. -DagangNews.com








