KUALA LUMPUR 26 April - Pelupusan 25% ekuiti dalam Petronas Chemicals Fertiliser Sabah dijangka memberi impak kecil terhadapan volum pengeluaran Petronas Chemicals Group Bhd.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, pengeluaran segmen baja dan metanol (F&M) kumpulan akan berkurang 6.3% manakala jumlah pengeluaran menyusut 3.2%.
"Berdasarkan anggaran kasar kami, kenaikan dalam pendapatan faedah daripada tunai tambahan akan menghapuskan dengan ketara kekosongan yang ditinggalkan oleh jurang pendapatan 25% daripada pelupusan ini, maka kami hanya ‘neutral’ dalam perkembangan ini," kata firma penyelidikan itu dalam nota hari ini.
Firma itu menganggap impaknya kecil dan tidak membuat sebarang perubahan pada anggaran pendapatannya.
Tanpa mengetahui pecahan sumbangan keuntungan tahunan Petronas Chemicals Fertilizer Sabah, penjualan 25% kepentingan itu dilakukan pada penilaian satu kali harga kepada nilai buku, yang difikirkannya munasabah, tambahnya.
“Selepas pelupusan, longgokan tunai bersih kumpulan akan meningkat kira-kira 20% kepada RM7.4 bilion daripada RM6.2 bilion pada akhir Disember 2022,” katanya.
Semalam kumpulan tersebut mengumumkan penjualan 25% kepentingan ekuiti dalam anak syarikatnya, Petronas Chemicals Fertilizer Sabah kepada SMJ Sdn Bhd milik kerajaan Sabah dengan jumlah pertimbangan RM1.25 bilion.
Kumpulan itu sebelum ini telah mengumumkan pelupusan tersebut pada 9 Januari 2023.
"Pelupusan itu adalah sebahagian daripada usaha Petronas Chemicals untuk menjadi rakan kongsi strategik Sabah yang berpotensi menyediakan kumpulan itu dengan keupayaan agar meletakkan dirinya sebagai rakan kongsi pilihan dalam membentuk dan menyampaikan aspirasi negeri untuk mempunyai penyertaan lebih besar dalam industri petrokimia," kata HLIB.
Perkongsian itu juga memberi peluang untuk membangunkan hubungan kerja kukuh dengan negeri agar boleh mendedahkan bidang kerjasama yang boleh memperoleh manfaat bersama.
Firma tersebut mengekalkan saranan ‘jual’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM6.54 sesaham. -DagangNews.com








