Peluang lebih besar menanti CTOS Digital, Kenanga Research semak naik saham kepada 'outperform' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peluang lebih besar menanti CTOS Digital, Kenanga Research semak naik saham kepada 'outperform'

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 9 Dis - Prospek CTOS Digital Bhd. dijangka lebih menarik setelah meningkatkan pegangannya dalam RAM Holdings Bhd. kepada 8.1% sekali gus meningkatkan sinergi yang kukuh.

 

Penganalisis Kenanga Research, Lim Khai Xhiang berkata, ia akan mewujudkan insentif yang lebih besar untuk jualan silang antara kedua-dua pihak. 

 

"Kami berpendapat sebarang tawaran produk RAM sedia ada atau produk hibrid baharu kepada pelanggan CTOS Digital akan memacu pertumbuhan pendapatan kumpulan.

 

"Secara khususnya, kami berpendapat CTOS Digital berkemungkinan besar berminat untuk memanfaatkan penarafan dan perkhidmatan kemampanan RAM. 

 

"Ini memandangkan kesedaran terhadap penerapan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang tinggi dalam keputusan perniagaan dan pelaburan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

 

Baca : CTOS Digital tingkatkan pegangan dalam RAM kepada 8.1%

 

 

Semalam, CTOS Digital mengumumkan memperoleh tambahan 3.5% kepentingan dalam RAM Holdings Bhd. melibatkan pertimbangan pembelian berjumlah RM7.6 juta.

 

Ia memperoleh 350,000 saham itu daripada Standard Chartered Bank Malaysia Bhd.

 

Pembelian itu akan dibiayai sepenuhnya oleh hasil tunai yang diperoleh daripada tawaran awam permulaan (IPO) baru-baru ini. 

 

Meskipun pengambilalihan itu dilihat mengejutkan kepada Kenanga Research, tetapi harga tersebut adalah adil dan selaras dengan agensi penarafan kredit global lain yang disenaraikan. 

 

Khai Xhiang bagaimanapun mengekalkan unjuran pendapatan CTOS Digital kerana hasil daripada tambahan kepentingan itu tidak begitu ketara. 

 

"Namun, kami menjangkakan terdapat ruang untuk kenaikan, sekiranya mana-mana jualan silang memacu pertumbuhan sinergi yang lebih pantas daripada jangkaan dalam CTOS Digital," jelasnya.

 

Beliau juga mendapati masih ada nilai dalam harga saham semasa meskpiun berdepan kelemahan sebelum ini, justeru menaik taraf saham CTOS Digital kepada 'outperform' berbanding 'market perform' dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2. 

 

Sebelum ini, harga sahamnya terjejas disebabkan kebimbangan mengenai akses CCRIS, sentimen pasaran dan juga 'overhang' saham sehingga tamatnya moratorium pada Januari 2022.

 

Katanya, tekanan jangka pendek dilihat sebagai peluang untuk mengumpul saham CTOS Digital, yang memiliki pelbagai pemangkin jangka panjang. 

 

"Antaranya, permintaan yang kukuh bagi laporan dijana dengan ledakan eKYC merentasi industri apabila pelanggan daripada institusi kewangan hinggalah penyedia e-pembayaran mahu memanfaatkan pelanggan mereka secara maya.

 

"Pada masa sama, kecenderungan terhadap langkah pengambilalihan dan penggabungan (termasuk di peringkat serantau) untuk menjana pertumbuhan pendapatan dan pertumbuhan berterusan menerusi produk baharu dalam sektor baharu seperti automotif, insurans dan hartanah," katanya. 

 

Setakat 11.32 pagi ini, saham CTOS Digital menokok 3 sen atau 1.69% kepada RM1.80 dengan 3.98 juta saham diniagakan. - DagangNews.com