Pelaksanaan cadangan MAVCOM tingkatkan risiko pendapatan MAHB walaupun perjalanan udara kian pulih – Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelaksanaan cadangan MAVCOM tingkatkan risiko pendapatan MAHB walaupun perjalanan udara kian pulih – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 April - Cadangan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) untuk menambat tarif lapangan terbang kepada Indeks Harga mengehadkan kenaikan pendapatan Malaysia Airports Holdings Berhad, kata Kenanga Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata dalam kertas rundingan diterbitkan oleh MAVCOM baru-baru ini telah mencadangkan untuk menaikkan tarif lapangan terbang berdasarkan Indeks Harga Pengguna sedangkan kos operasi meningkat pada kadar lebih pantas.

 

Langkah ini dilihat mungkin tidak memadai untuk MAHB menjana aliran tunai yang mencukupi untuk tujuan perbelanjaan modal, terutamanya untuk pembesaran dan penyelenggaraan lapangan terbang.

 

“MAVCOM juga mencadangkan mekanisme untuk membayar balik kerugian MAHB yang ditanggung semasa RP1 dalam RP2, namun kami bimbang dengan aliran tunainya semasa RP1.

 

Walaupun cadangan dalam kertas perundingan MAVCOM tidak begitu penting, ia meningkatkan risiko terhadap pendapatan MAHB dengan ketara dalam jangka sederhana,” jelas firma itu dalam nota hari ini.

 

Mengulas berkenaan pemulihan perjalanan udara, firma itu berkata daya tampung MAHB pada suku pertama tahun ini telah melonjak 81% tahun ke tahun (YoY) dalam jangkaannya dan dijangka terus pulih sepanjang tahun ini dengan aktiviti bersedia untuk kembali ke tahap pra-pandemik pada 2024.

 

“Pada tahun 2024, kami mengunjurkan ketibaan pelancong melonjak lebih jauh sebanyak 24% kepada 20 juta, berbanding tahap pra-pandemi 26 juta,” kata firma itu sambil menambah, ini sepatutnya menyokong pertumbuhan dalam permintaan pemprosesan penumpang MAHB pada tahun 2023.

 

Firma tersebut turut menjangkakan trajektori trafik berkembang pada bulan-bulan berikutnya apabila syarikat penerbangan terus mengaktifkan semula lebih banyak pesawat untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

 

Firma itu berkata MAHB mempunyai kelebihan memandangkan ia adalah pengendali lapangan terbang dominan di Malaysia dan salah satu terbesar di Turki, di samping menjadi proksi yang baik kepada pemulihan perjalanan udara dan pelancongan tempatan, serantau dan global.

 

Di samping itu, firma itu turut menyukai MAHB disebabkan ia mempunyai pemegang saham yang kukuh dengan sokongan tidak berbelah bahagi ketika dalam kesukaran, termasuk semasa wabak dan panggilan tunai besar-besaran pada tahun 2014.

 

Kenanga mengekalkan ramalan pendapatan dengan saranan ‘market perform’ pada harga sasaran (TP) sebanyak RM7.00 sesaham.

 

Setakat pukul 10:25 pagi hari ini, saham MAHB telah menokok 10sen atau 1.4% kepada RM7.18, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM11.91 bilion. -DagangNews.com