Di tengah gelombang global menuju ke arah gaya hidup sihat dan kelestarian alam, pertanian mampan muncul sebagai jawapan kepada dua cabaran besar zaman ini iaitu menjamin keselamatan makanan bagi kesihatan dan melindungi alam sekitar untuk generasi akan datang.
Menurut kajian global, penggunaan racun perosak dan baja kimia sintetik secara berlebihan telah dikaitkan dengan risiko kesihatan seperti gangguan saraf, hormon dan kanser, selain menjejaskan kualiti tanah serta mencemarkan sumber air.
Di Malaysia, cabaran ini turut sama dirasai, mendorong masyarakat mencari pendekatan baharu yang lebih selamat dan lestari. Salah satu contoh paling jelas tentang perubahan sikap ini ialah pertanian organik yang kini berkembang pesat di peringkat global dengan kadar melebihi 10% setahun.
Di bandar-bandar besar, pengguna sanggup membayar harga premium antara 20% hingga 40% lebih tinggi untuk produk yang disahkan organik kerana percaya ia lebih selamat, bebas residu kimia dan baik untuk kesihatan keluarga.
Fenomena ini menunjukkan bahawa pertanian mampan bukan sahaja keperluan alam sekitar, tetapi juga peluang ekonomi baharu yang berpotensi meningkatkan pendapatan petani dan daya saing negara.

Menjawab kehendak pasaran dan cabaran masa depan ini, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui penubuhan Syarikat Pertanian Bersih Sdn. Bhd. (PBSB) menzahirkan komitmen serius terhadap inovasi pertanian lestari.
PBSB ditubuhkan sebagai syarikat pemula berlandaskan penyelidikan yang berkembang daripada kepakaran akademik UKM, membangunkan Clean Agriculture Technology (CAT™) — satu pendekatan pertanian bersih mesra alam tanpa racun perosak yang menggabungkan sains tanah dan tumbuhan, nutrisi tanaman serta inovasi digital untuk menghasilkan tanaman sihat dan produktif, makanan selamat, pemuliharaan alam sekitar dan biokepelbagaian, serta berorientasikan sifar sisa.
CAT™ dibina atas prinsip keseimbangan yang memelihara kesuburan tanah, menguatkan daya tahan tanaman dan mengekalkan keseimbangan ekosistem pertanian demi generasi akan datang.
Kaedah ini mengurangkan kebergantungan kepada bahan kimia, memastikan tanaman sihat dan produktif, serta memulihkan kesuburan tanah untuk kelestarian pertanian jangka panjang.
Prinsip CAT™ merangkumi pertanian tepat dengan input nutrien seimbang dan selamat, kos input yang mampu ditanggung, serta penggunaan baja mesra ekosistem yang melindungi petani, tanaman, tanah, air, udara dan biokepelbagaian.
Tanaman yang mendapat nutrien optimum akan sihat dan mempunyai imuniti semula jadi yang kuat, seterusnya menghasilkan hasil pertanian yang lumayan, berkualiti dan selamat.
Ini kerana kelestarian rantaian nilai pertanian bermula daripada penjagaan kesuburan tanah bagi menjamin pokok sihat yang ditanam dengan amalan pertanian bebas racun kimia seperti pestisid, bakterisid, fungisid dan herbisid.
Lebih menarik, CAT™ boleh disepadukan dengan pemantauan pintar dan teknologi IoT, menjadikannya sesuai untuk pelbagai sistem pertanian moden.
Kolaborasi Strategik: PBSB & Taaveekun Diiktiraf
Bagi merealisasikan misi memajukan pertanian mampan yang mengekalkan kesuburan tanah, menjamin tanaman sihat dan melindungi keseimbangan ekosistem, PBSB menjalinkan kerjasama strategik dengan Taaveekun Manufacturing Sdn. Bhd., yang berminat mengaplikasikan prinsip CAT™ dalam produk baja mereka.
Melalui kerjasama ini, prinsip CAT™ diaplikasikan dalam produk baja Taaveekun bagi menambah nilai dan mengukuhkan pengesahan teknologi, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap amalan pertanian lestari.
Menerusi pendekatan konsep sifar sisa dan saintifik menyeluruh, PBSB menyokong Taaveekun dalam usaha meningkatkan hasil tanaman dan pendapatan petani sambil mengekalkan keseimbangan serta keharmonian ekosistem pertanian.
Manfaat Luas & Visibiliti Komersial
CAT™ yang dibangunkan melalui PBSB menawarkan manfaat menyeluruh yang menyatukan keperluan ekonomi, sosial dan alam sekitar, selari dengan prinsip ESG (Alam Sekitar, Sosial & Tadbir Urus), menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan merealisasikan aspirasi Malaysia Madani.
Bagi petani, CAT™ membantu meningkatkan hasil dan kualiti tanaman sambil menurunkan kos input serta menggalakkan pengurusan alam sekitar yang bertanggungjawab. Ini menyokong SDG 2 (Kelaparan Sifar) dengan memastikan bekalan makanan mencukupi dan SDG 8 (Pekerjaan Layak & Pertumbuhan Ekonomi) melalui pendapatan yang lebih mampan.
Bagi pengguna, teknologi ini menjamin akses kepada makanan yang selamat, berkhasiat dan bebas residu racun kimia, selaras dengan SDG 3 (Kesihatan Baik & Kesejahteraan) serta nilai Malaysia Madani yang menekankan kesejahteraan rakyat.
Dari sudut alam sekitar, CAT™ memulihkan kesuburan tanah, mengurangkan pencemaran air dan udara serta memelihara biodiversiti — menyokong SDG 13 (Tindakan Iklim) dan SDG 15 (Kehidupan di Darat).
Dalam aspek tadbir urus dan komuniti, CAT™ memupuk amalan pertanian yang telus dan bertanggungjawab, sambil menggalakkan kerjasama antara universiti, industri dan masyarakat, menepati teras ESG serta prinsip inklusiviti Malaysia Madani.
Secara keseluruhannya, CAT™ membuktikan bahawa inovasi sains mampu menggabungkan kemajuan ekonomi dengan kesejahteraan sosial dan kelestarian alam, sekali gus meletakkan Malaysia di hadapan sebagai peneraju pertanian bersih dan lestari untuk generasi kini dan masa hadapan.
Melalui PBSB, UKM menjadi jambatan antara makmal penyelidikan dan ladang, memperlihatkan bagaimana universiti, industri dan komuniti boleh berganding bahu untuk memacu pertanian mampan.
Inisiatif ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan UKM sebagai universiti penyelidikan berimpak, tetapi juga membuka laluan kepada Malaysia untuk muncul sebagai peneraju teknologi pertanian bersih di rantau ASEAN.

Menuju Masa Depan Pertanian Bersih
Pertanian mampan ialah kunci kepada keselamatan makanan dan kesejahteraan bumi. Dengan inovasi seperti CAT™, negara bukan sahaja mampu memenuhi keperluan makanan hari ini, malah berupaya meninggalkan warisan bumi Malaysia yang subur dan lestari untuk generasi akan datang.
Syarikat pemula UKM, PBSB adalah simbol transformasi pertanian negara — daripada peringkat petani hingga ke pembentukan ekosistem makanan yang sihat dan lestari.
Melalui penerapan teknologi CAT™, PBSB menunjukkan bahawa inovasi universiti mampu mendorong ke arah pertanian yang lebih seimbang, berimpak dan bermakna.
Untuk memastikan permintaan masa depan dapat dipenuhi bukan sahaja di ladang, tetapi juga di meja makan rakyat, penyelesaian bijak seperti yang dibangunkan oleh PBSB wajar diberi sokongan.
Jika diberi ruang dan perhatian, Malaysia berpotensi muncul sebagai peneraju pertanian bersih dan inovatif di rantau ini. - DagangNews.com
PROF MADYA DR CHE RADZIAH CHE MOHD ZAIN adalah Ketua Pegawai Eksekutif Pertanian Bersih Sdn Bhd (PBSB) - Syarikat Pemula UKM dan Pensyarah di Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia
*
PROF MADYA DR WAN MOHD HIRWANI WAN HUSSAIN adalah Pensyarah Graduate School of Business, Universiti Kebangsaan Malaysia








