​​​​​​​Memacu Kelestarian: Tune Protect Juara Masa Depan Insurans Bertanggungjawab, Berdaya Tahan dan Digital Pertama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

​​​​​​​Memacu Kelestarian: Tune Protect Juara Masa Depan Insurans Bertanggungjawab, Berdaya Tahan dan Digital Pertama

Kelestarian kini menjadi pemacu utama merentas industri global, dan sektor insurans tidak terkecuali.

 

Bagi Tune Protect Group Berhad, komitmen terhadap pertumbuhan bertanggungjawab bukan sekadar keutamaan strategik, malah merupakan satu perjalanan transformasi yang membentuk cara Kumpulan beroperasi, berinovasi dan mencipta nilai di seluruh pasaran yang diceburinya.

 

Penanggung insurans itu meletakkan kelestarian sebagai laluan jangka panjang berteraskan empat tonggak utama iaitu Tadbir Urus, Perniagaan, Alam Sekitar serta Insan dan Komuniti.

 

Menurut Kumpulan, pendekatan ini menjadi panduan dalam membuat keputusan utama serta mencerminkan aspirasi untuk mencipta nilai jangka panjang yang mampan.

 

 

Koot Chiew Ling
                                 Koot Chiew Ling

 


Ketua Pegawai Strategi dan Pengerusi Jawatankuasa Kelestarian Tune Protect, Koot Chiew Ling berkata, “Kelestarian telah menjadi sebahagian daripada hala tuju Tune Protect sejak beberapa tahun lalu. Perjalanan kelestarian kami bermula pada 2017 apabila kami menyelaraskan usaha dengan pendekatan Triple Bottom Line merangkumi Insan, Alam Sekitar dan Keuntungan.

 

 

 

 

 

 

"Seiring masa, pendekatan ini berkembang menjadi satu strategi yang mengimbangi prestasi komersial dengan impak alam sekitar dan sosial yang positif. Ia merupakan satu perjalanan berterusan yang memerlukan pembelajaran, kerjasama dan komitmen.”

 

Menurut Koot, komitmen Kumpulan diperkukuh menerusi keahliannya dalam UN Global Compact Malaysia dan Brunei Chapter, Climate Governance Malaysia serta sokongan terhadap inisiatif 30% Club.

 

Jawatankuasa Kelestarian yang dipengerusikannya melapor secara langsung kepada Jawatankuasa Pengurusan Risiko peringkat Lembaga dan seterusnya kepada Lembaga Pengarah bagi memastikan akauntabiliti pada tahap tertinggi.

 

Tadbir Urus Sebagai Teras

Sebagai sebahagian daripada komitmen tadbir urusnya, Tune Protect terus memperkukuh ketelusan, integriti dan akauntabiliti merentas operasi.

 

Kumpulan mengekalkan proses tahunan mandatori berkaitan anti-rasuah dan integriti untuk semua pekerja, dengan penyertaan penuh dicapai pada 2024 serta sifar insiden dilaporkan. Program latihan ini diperkukuh melalui inisiatif dalaman seperti Minggu Tadbir Urus dan Bulan Integriti yang menyemai budaya tingkah laku beretika serta tanggungjawab kolektif.

 

Usaha ini turut menerima pengiktirafan kukuh apabila Kumpulan menduduki tempat ke-35 daripada 847 syarikat tersenarai awam dalam Anugerah Tadbir Urus Korporat dan Kelestarian Negara (NAGCSA) 2025, meningkat daripada kedudukan ke-38 pada tahun sebelumnya.

 

Pencapaian ini mencerminkan tumpuan berterusan Kumpulan terhadap tadbir urus kukuh, integrasi kelestarian, amalan perniagaan bertanggungjawab serta piawaian akauntabiliti yang tinggi.

 

Koot berkata, “Tadbir urus melangkaui pematuhan dan menjadi asas kepada hala tuju masa depan Kumpulan. Rangka kerja ini memastikan kami beroperasi dengan jelas dan bertanggungjawab. Ia memberi keyakinan kepada pengawal selia, pelabur dan rakan kongsi bahawa kami mengurus perniagaan secara berhemah ketika berkembang di peringkat serantau.”

 

Memperkukuh Tadbir Urus Data Sebagai Penanggung Insurans Digital Pertama

Seiring percepatan transformasi digital dalam sektor insurans, privasi data dan keselamatan siber menjadi keutamaan utama Tune Protect.

 

Kumpulan mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi serta keperluan Pengurusan Risiko dalam Teknologi oleh Bank Negara Malaysia, disokong oleh kawalan seperti sistem Pencegahan Kehilangan Data serta Prosedur Privasi Data yang dipertingkatkan dan dilaksanakan pada 2024.

 

Lebih 95% pekerja telah melengkapkan latihan keselamatan siber dan simulasi pancingan data, di samping program kesedaran berterusan.

 

Kumpulan merekodkan sifar pelanggaran keselamatan siber bagi tahun 2024 dan 2025, sekali gus mengukuhkan komitmennya dalam melindungi data pelanggan dan rakan niaga.

 

“Kepercayaan pelanggan bergantung kepada sejauh mana kami melindungi maklumat mereka. Teknologi memainkan peranan penting, namun kesedaran dan kewaspadaan dalam organisasi adalah sama penting. Walaupun kami berpuas hati dengan kemajuan yang dicapai, keselamatan siber kekal sebagai satu perjalanan berterusan memandangkan ancaman semakin kompleks,” kata Koot.

 

Inovasi Mampan Memacu Relevan Pasaran

Di peringkat perniagaan, kelestarian berkait rapat dengan inovasi, membimbing Tune Protect dalam membangunkan penyelesaian yang inklusif, mudah diakses dan berfokuskan pelanggan.

 

Kumpulan telah memperkenalkan beberapa inisiatif yang mencerminkan pendekatan ini, termasuk Pay-As-You-Drive yang memberi ganjaran kepada pemandu berjarak perjalanan rendah, tuntutan parametrik yang membolehkan bayaran automatik bagi kelewatan penerbangan, serta perkhidmatan Kemasukan Hospital Tanpa Tunai yang memberikan kelegaan kewangan kepada pengembara ketika kecemasan di luar negara, sekali gus menghapuskan halangan tradisional dalam rawatan perubatan luar negara.

 

Kumpulan turut melancarkan Delay Lounge Pass yang menawarkan akses kepada lebih 1,600 ruang istirahat lapangan terbang sekiranya berlaku kelewatan penerbangan. Inisiatif ini baru-baru ini memenangi Anugerah Travel Daily Media Trade Excellence Awards 2025 dalam kategori Inisiatif Insurans Perjalanan.

 

“Kami merupakan penanggung insurans pertama di pasaran yang memperkenalkan inovasi ini kepada produk insurans perjalanan sedia ada. Selain pampasan kewangan akibat kelewatan penerbangan, pelanggan kini dapat menikmati keselesaan ruang istirahat lapangan terbang sementara menunggu penerbangan yang dijadualkan semula,” kata Koot.

 

Melalui kerjasama dengan AirAsia, AirArabia, VietJet Air serta syarikat penerbangan serantau lain, Tune Protect telah memperluaskan penawaran ini ke seluruh Asia dan Timur Tengah.

 

Pelan Penyelarasan Tuntutan Satu turut memudahkan pengurusan tuntutan rentas sempadan melalui satu platform digital, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain serantau yang menekankan kesederhanaan dan kemudahan.

 

Memacu Kemajuan Alam Sekitar Dengan Komitmen Jelas

Kemajuan alam sekitar kekal menjadi keutamaan. Tune Protect telah memenuhi Komitmen Sifar Arang Batu bagi portfolio pengunderaitan pada 2023, tujuh tahun lebih awal daripada sasaran.

 

Kumpulan juga telah memperluaskan saringan pelaburan beretika dengan mengecualikan industri tembakau dan pembuatan senjata.

 

Kumpulan menyasarkan untuk mencapai pelepasan karbon Sifar Bersih bagi Skop 1 dan Skop 2 menjelang 2050, dan kini sedang membangunkan garis asas pelepasan serta pelan hala tuju pengurangan tenaga.

 

“Kami percaya pengukuran merupakan langkah pertama ke arah perubahan bermakna. Perjalanan kami ke arah Sifar Bersih akan berkembang seiring dengan piawaian industri,” kata Koot.

 

Tune Protect turut memajukan pengurusan risiko iklim dengan menyelaraskan pendekatannya mengikut keperluan Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB).

 

Pada Disember 2025, Kumpulan telah melengkapkan Ujian Tekanan Risiko Iklim bagi anak syarikat insurans am di Malaysia dan memasukkan penilaian risiko banjir untuk pusat datanya ke dalam daftar risiko korporat.

 

Insan dan Komuniti Sebagai Teras Impak

Antara 2022 hingga 2024, pekerja Tune Protect telah menyumbang lebih 7,000 jam sukarelawan menerusi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kumpulan, melepasi sasaran awal sebanyak 6,000 jam. Kumpulan telah memperbaharui komitmen untuk menyumbang tambahan 6,000 jam sukarelawan bagi tempoh 2025 hingga 2027.

 

“Pekerja kami adalah nadi kepada perjalanan kelestarian Tune Protect. Apabila individu mengambil pemilikan terhadap tindakan positif, kelestarian menjadi sebahagian daripada jati diri organisasi,” kata Koot.

 

Tenaga kerja Kumpulan terdiri daripada 58.9% wanita, dengan 28.6% wakil wanita di peringkat Lembaga Pengarah, melebihi purata nasional.

 

Kesejahteraan dan pembangunan pekerja turut diperkukuh melalui program kesihatan mental, inisiatif pembelajaran dan pembangunan di bawah Tune Protect Academy, serta program jangkauan komuniti yang mempromosikan literasi digital dan pemeliharaan alam sekitar.

 

Memandang Ke Hadapan: Mengukuhkan Kemajuan dan Kesediaan Masa Depan

Usaha Tune Protect terus menerima pengiktirafan kukuh. Kumpulan mengekalkan penyertaannya dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia, dengan skor ESG meningkat kepada 4.3 pada Disember 2025 berbanding 3.9 sebelum ini, sekali gus menempatkan Kumpulan dalam Jalur 4-Bintang, iaitu penarafan tertinggi di bawah penilaian ESG FTSE Russell.

 

Kumpulan turut menduduki tempat ke-35 dalam NAGCSA 2025 serta menerima Anugerah Company of the Year – Insurance Community Care Excellence di Sustainability and CSR Malaysia Awards 2025.

 

 

 

 

 

 

 

Melangkah ke hadapan, Tune Protect Group Berhad akan menyelaraskan pendedahan kelestariannya secara berperingkat dengan Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Nasional (NSRF) Malaysia, di mana Kumpulan diklasifikasikan sebagai penerbit Kumpulan 2, dengan garis masa pelaporan bermula tahun kewangan 2026.

 

Kumpulan juga kekal komited untuk mengekalkan penyertaan dalam FTSE4Good, mematuhi komitmen portfolio pelaburan Sifar Arang Batu, serta bergerak ke arah aspirasi jangka panjang Sifar Bersih menjelang 2050.

 

“Kelestarian adalah mengenai kemajuan, bukan kesempurnaan. Setiap langkah ke hadapan mengukuhkan asas kami sebagai penanggung insurans yang bertanggungjawab, berdaya tahan dan bersedia untuk masa depan — satu legasi yang mampu bertahan lama dan dibanggakan oleh generasi akan datang,” kata Koot. - DagangNews.com