Malaysia baru-baru ini menjadi tumpuan dunia apabila menjadi tuan rumah kepada Persidangan ASEAN ke-47 yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Dengan tema “Inclusivity and Sustainability” atau Keterangkuman dan Kelestarian, sidang ini menghimpunkan ketua-ketua negara, tokoh ekonomi serta pemimpin perniagaan bagi membincangkan hala tuju masa depan rantau Asia Tenggara.
Di sebalik protokol diplomatik dan sidang tertutup, peristiwa ini membawa mesej penting kepada dunia keusahawanan dan ekonomi serantau bahawa ASEAN kini sedang memasuki fasa kebangkitan baharu — atau lebih tepat dikenali sebagai ASEAN Renaissance.
ASEAN Sebagai Platform Ekonomi Baharu
Persidangan kali ini memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai salah satu kuasa ekonomi terbesar dunia, dengan populasi melebihi 680 juta penduduk dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) gabungan sekitar AS$3.6 trilion.
Malaysia selaku negara yang mengetuai persidangan menegaskan peranannya bukan sahaja sebagai pengukuh hubungan diplomatik, tetapi juga sebagai hab perdagangan, inovasi dan digital di Asia Tenggara.
Dalam konteks keusahawanan, platform seperti ASEAN Business and Investment Summit (ABIS) yang diadakan selari dengan sidang utama menyediakan ruang strategik kepada pemain industri, pelabur dan usahawan untuk membincangkan isu-isu utama seperti perdagangan rentas sempadan, kelestarian serta transformasi digital.
Melalui dialog sebegini, usahawan dapat memahami dasar serantau, mengenal pasti peluang pelaburan baharu dan membina jaringan rentas negara yang kukuh.
Pasaran ASEAN kini menuju ke arah integrasi ekonomi yang lebih terbuka, membolehkan pergerakan bebas barangan, perkhidmatan, bakat dan modal antara negara anggota. Ini membuktikan bahawa masa depan perniagaan tidak lagi bersifat domestik, sebaliknya memerlukan strategi serantau yang menggabungkan daya saing global dan kepekaan lokal.
Usahawan yang mampu membaca perubahan ini berpotensi menjadi peneraju dalam gelombang pertumbuhan baharu ASEAN.
Keterangkuman, Kelestarian dan Transformasi Digital
Tema “Inclusivity and Sustainability” bukan sekadar slogan politik, sebaliknya satu komitmen konkrit untuk memastikan pertumbuhan ekonomi ASEAN tidak hanya menguntungkan golongan tertentu, tetapi turut memanfaatkan setiap lapisan masyarakat.
Keterangkuman bermakna peluang ekonomi harus terbuka kepada usahawan kecil, wanita, belia dan komuniti luar bandar yang sering terpinggir daripada arus pembangunan.
Melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Dasar Keusahawanan Nasional, Malaysia turut menekankan agenda sama — membina ekosistem keusahawanan yang inklusif dan lestari. Program seperti MyDIGITAL, Dana Keusahawanan Hijau dan SME Go Global membuktikan komitmen negara terhadap agenda hijau dan digital yang seiring dengan hala tuju ASEAN.
Dalam dunia keusahawanan moden, kejayaan tidak lagi diukur melalui keuntungan semata-mata. Ia kini bergantung kepada nilai sosial, impak alam sekitar dan keupayaan menyesuaikan diri dengan teknologi. Usahawan yang menggabungkan inovasi hijau, amalan mesra alam dan tanggungjawab sosial korporat akan menjadi peneraju ekonomi baharu ASEAN.
Antara tumpuan utama ialah pembangunan ASEAN Digital Economy Framework Agreement (DEFA), yang dijangka menambah nilai ekonomi digital rantau ini daripada AS$300 bilion kepada hampir AS$1 trilion menjelang 2030.
Inisiatif ini bukan sahaja akan menyeragamkan peraturan perdagangan digital, keselamatan data dan sistem pembayaran rentas sempadan, malah turut memudahkan usahawan teknologi serta perusahaan kecil menembusi pasaran ASEAN dengan lebih mudah.
Malaysia pula muncul sebagai peneraju transformasi digital melalui pelbagai dasar nasional seperti MyDIGITAL Blueprint dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Negara yang mempercepatkan pendigitalan sektor awam dan swasta, membolehkan PKS tempatan bersaing dalam ekonomi digital serantau.
Menangani Cabaran, Memperkukuh Arah Tujuan
Dalam menerajui peluang yang luas, ASEAN masih berdepan cabaran besar. Jurang ekonomi dan digital antara negara anggota kekal ketara.
Negara seperti Singapura dan Malaysia berada jauh di hadapan dari segi infrastruktur digital dan kematangan teknologi, manakala beberapa negara lain masih berdepan isu asas seperti akses internet dan sistem kewangan inklusif.
Oleh itu, pembinaan kapasiti dan perkongsian teknologi mesti menjadi keutamaan agar tiada negara atau komuniti ketinggalan dalam arus transformasi ini.
Selain itu, dasar-dasar serantau perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berkesan. Banyak deklarasi dan komitmen telah dihasilkan, namun kesannya di peringkat akar umbi masih perlahan. ASEAN perlu memperkukuh institusi dan mekanisme pemantauan agar hasil persidangan memberi impak nyata kepada usahawan dan industri tempatan.
Peranan Akademia dalam Memacu ASEAN Renaissance
Sektor akademik kini memainkan peranan penting dalam kebangkitan ASEAN. Universiti bukan sekadar pusat ilmu, tetapi juga menjadi pemangkin kepada pembentukan dasar, latihan dan inovasi sosial.
Melalui kolaborasi dengan agensi kerajaan dan industri, universiti boleh membantu membangunkan penyelidikan dasar ASEAN, modul keusahawanan serantau serta melahirkan tenaga kerja berpengetahuan tinggi yang memahami agenda hijau dan digital.
Golongan akademik perlu memperkukuh penyelidikan bagi menilai impak sebenar integrasi ASEAN terhadap sektor PKS, ekonomi tempatan serta keusahawanan wanita dan belia. Hasil penyelidikan sebegini bukan sahaja memperkaya ilmu, tetapi membantu pembuat dasar menilai keberkesanan strategi ASEAN dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat serantau.
Membina Masa Depan ASEAN yang Hijau dan Inklusif
Penganjuran Persidangan ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur menandakan bab baharu dalam kebangkitan ASEAN — bukan sekadar dari sudut politik, tetapi juga ekonomi, sosial dan teknologi.
Malaysia telah membuktikan kemampuannya sebagai tuan rumah yang berwibawa dan sebagai pemangkin transformasi ekonomi serantau.
Bagi para usahawan, inilah masa untuk memanfaatkan momentum ASEAN Renaissance — membina jaringan baharu, mempelbagaikan pasaran dan menyesuaikan strategi perniagaan dengan arah baharu rantau ini.
Dalam dunia pasca-pandemik yang mencabar dan tidak menentu, kekuatan sebenar bukan terletak pada saiz ekonomi semata-mata tetapi pada kemampuan bekerjasama dan berinovasi bersama.
Dengan semangat keterangkuman, kelestarian dan digitalisasi sebagai teras, ASEAN kini berada di landasan tepat untuk muncul sebagai rantau yang mengimbangi kemajuan ekonomi dengan tanggungjawab sosial.
Malaysia, melalui kepimpinannya dalam sidang kali ini, telah meletakkan asas kukuh untuk ASEAN terus melangkah ke hadapan sebagai komuniti ekonomi yang bersatu, berdaya saing dan berperikemanusiaan. - DagangNews.com








