Diskaun Tak Cukup! PKS Malaysia Perlu Tunjukkan Nilai atau Hilang Pelanggan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Diskaun Tak Cukup! PKS Malaysia Perlu Tunjukkan Nilai atau Hilang Pelanggan

Gambar visual ini dijana secara Kecerdasan Buatan sebagai hiasan artikel - Editor
Oleh NOR TASNIM SYAHERA RASAK

Dalam dunia yang semakin telus, harga murah sahaja tidak mampu menambat kesetiaan pelanggan; perusahaan kecil dan sederhana atau PKS perlu membina kepercayaan melalui nilai, bukan sekadar promosi.

 

Setiap kali perbincangan mengenai PKS diketengahkan, fokus lazimnya tertumpu pada akses kepada pembiayaan, kesukaran mendapatkan tenaga kerja, kos operasi yang semakin meningkat serta persaingan yang kian sengit.

 

Semua faktor ini sememangnya penting kepada kelangsungan PKS. Namun begitu, terdapat satu hakikat yang jarang diberi perhatian, iaitu kejayaan jangka panjang PKS tidak ditentukan oleh seberapa pantas jualan dicapai, sebaliknya oleh tahap kepercayaan yang dibina dalam kalangan pelanggan.

 

Kepercayaan dalam pasaran masa kini semakin terhakis. Pada masa lalu, pembelian sering dilakukan secara rutin.

 

Namun, pengguna hari ini, khususnya di Malaysia, lebih cenderung membaca ulasan, membandingkan jenama dan membuat keputusan berdasarkan pengalaman orang lain. Dalam banyak keadaan, pengguna juga lebih berani meninggalkan perniagaan yang dianggap tidak jujur atau tidak menghormati pelanggan.

 

Dalam konteks ini, wujud hubungan yang signifikan antara PKS, Ekonomi MADANI dan kerangka ESG. Walaupun ketiga-tiganya sering dibincangkan secara berasingan, kesemuanya berteraskan matlamat yang sama, iaitu pembinaan sebuah ekonomi yang bukan sahaja berkembang dari segi angka, malah berteraskan nilai dan maruah.

 

Sebagai tulang belakang ekonomi negara, PKS hadir dalam pelbagai bentuk dan skala. Dari kedai makan di pekan kecil, pengusaha kraf tangan di kawasan luar bandar, hinggalah kepada peniaga dalam talian yang beroperasi dari rumah, merekalah wajah sebenar perniagaan Malaysia.

 

Pemasaran PKS: Dari Promosi ke Nilai

Masih ramai pemilik PKS yang melihat pemasaran sebagai aktiviti luaran semata-mata seperti pengiklanan, bahan promosi atau siaran media sosial, dan bukannya sebagai gambaran identiti serta prinsip perniagaan itu sendiri.

 

Ekonomi MADANI mengajak sektor perniagaan menilai semula tujuan dan peranan berniaga. Keuntungan kekal sebagai keperluan asas, namun ia perlu diseimbangkan dengan penciptaan nilai ekonomi, keadilan sosial dan kesejahteraan insan.

 

Apabila kerangka MADANI diterapkan dalam konteks PKS, pemasaran tidak lagi berfungsi sekadar sebagai alat untuk menjual produk, sebaliknya menjadi medium untuk menyampaikan nilai perniagaan kepada masyarakat.

 

Cabaran utama timbul apabila konsep ESG diperkenalkan. Bagi sebahagian pemilik PKS, ESG sering dikaitkan dengan keperluan dokumentasi yang kompleks, audit yang rumit serta kos tambahan. Persepsi ini menyebabkan ESG dilihat sebagai beban, bukannya peluang.

 

Hakikatnya, bagi PKS, pelaksanaan ESG bermula dengan amalan harian dan keputusan operasi yang kecil, bukannya laporan formal.

 

ESG dalam PKS Malaysia: Langkah Kecil, Impak Besar

Sebagai contoh, amalan membayar pekerja secara adil walaupun berdepan margin keuntungan yang terhad mencerminkan aspek sosial dalam ESG.

 

Pengurangan penggunaan plastik dalam pembungkusan pula menggambarkan komitmen terhadap alam sekitar. Manakala ketelusan dalam pengurusan dan kesediaan membetulkan kesilapan mencerminkan tadbir urus yang baik.

 

Walaupun langkah-langkah ini kelihatan kecil dan jarang mendapat perhatian umum, ia membentuk asas kepada pembinaan jenama yang dipercayai.

 

Sering kali wujud jurang antara janji pemasaran dan pengalaman sebenar pelanggan. Iklan dan slogan yang menarik tidak semestinya sejajar dengan perkhidmatan yang diterima. Jurang inilah yang berpotensi merosakkan kepercayaan.

 

Pemasaran yang berkesan bukanlah usaha memperindah realiti, tetapi proses menyelaraskan janji dengan amalan sebenar perniagaan. Nilai yang diterjemahkan melalui tindakan konsisten lebih berkesan berbanding mesej promosi semata-mata.

 

Dalam kerangka MADANI, pemasaran PKS wajar kembali kepada asas hubungan yang menjadi teras perniagaan tempatan. Kesetiaan pelanggan pada masa lalu terbina melalui rasa dihargai dan kepercayaan terhadap peniaga.

 

Jenama Kecil Malaysia: Kejujuran sebagai Strategi Pemasaran

Pelanggan mengenali pemilik perniagaan, memahami cara operasi dijalankan dan yakin bahawa setiap transaksi menyokong kehidupan sebenar dalam komuniti. Pendekatan berasaskan hubungan ini perlu diterjemahkan semula ke dalam konteks digital dan pasaran global.

 

Kerangka ESG menyediakan bahasa dan struktur untuk proses penterjemahan tersebut. Apabila PKS berkongsi amalan penjagaan alam sekitar, sumbangan kepada komuniti dan pengurusan perniagaan yang telus, mereka bukan sekadar mempromosikan kelebihan, tetapi membina identiti jenama.

 

Dalam pasaran hari ini, pengguna bukan hanya membeli produk, malah memilih untuk menyokong nilai yang selari dengan pegangan mereka. Jenama kecil yang paling diingati lazimnya bukan yang paling agresif dari segi pemasaran, tetapi yang konsisten dan jujur dalam penceritaan serta amalan.

 

Naratif tentang cabaran, penambahbaikan dan usaha berterusan untuk menjadi lebih baik membentuk keaslian yang sukar ditiru, walaupun dengan peruntukan pemasaran yang besar.

 

Masa Depan PKS Malaysia: Nilai dan Konsistensi

Sekiranya Ekonomi MADANI ingin direalisasikan di peringkat akar umbi, pendekatan pendidikan terhadap PKS perlu berubah. Pemasaran tidak boleh terus dilihat semata-mata sebagai teknik meningkatkan jualan, tetapi sebagai proses membina dan mengekalkan amanah.

 

Keberkesanan pemasaran bergantung pada kesediaan perniagaan untuk memperlihatkan nilai yang diamalkan secara konsisten. Masa depan PKS Malaysia tidak akan ditentukan oleh kekuatan suara di pasaran, tetapi oleh keupayaan memegang nilai secara berterusan.

 

Pemasaran berfungsi sebagai cerminan kepada nilai tersebut. Dalam persekitaran yang semakin kritikal dan berwaspada, perniagaan yang mengekalkan kejujuran dan konsistensi berpotensi menjadi rujukan kepada generasi seterusnya.

 

Di sinilah terletaknya makna sebenar MADANI dan ESG bagi PKS, iaitu kesinambungan nilai perniagaan yang berakar pada kepercayaan dan tanggungjawab. - DagangNews.com

 

 

Nor Tasnim Syahera binti Rasak adalah Pensyarah di Jabatan Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara Perak