Dalam dunia pendidikan yang kian bergelombang dengan statistik dan peratusan yang mengundang resah, saya teringat akan zaman persekolahan yang jauh lebih sunyi tetapi sarat dengan makna.
Kini, sebagai seorang warga emas yang telah melewati liku-liku kehidupan, saya memerhati anak-anak saya dari sudut mata yang lain—mata seorang ayah yang tidak pernah memaksa, tetapi percaya kepada daya tumbuh anak-anak jika diberi ruang untuk mekar mengikut musimnya.
Ketiga-tiga anak lelaki saya tidak pernah mengenal sekolah di Malaysia. Mereka membesar di Dubai, dalam sistem pendidikan yang tidak bersandar kepada SPM atau mana-mana ujian tempatan yang menjadi keramat kepada kebanyakan warga tanah air.
Mereka tidak tahu apa itu peperiksaan percubaan, tidak kenal getar tangan ketika menyarung baju seragam pada pagi SPM, dan tidak merasa resah menanti keputusan diumumkan.
Namun, ketiga-tiganya berjaya menggenggam ijazah dari universiti, menempuh dunia dengan yakin dan matang. Saya tidak pernah mengganggu urusan pelajaran mereka. Tidak sekali pun saya menjadi guru tuisyen atau pembaca nota tambahan. Saya hanya membayar yuran sekolah dan universiti mereka—dan itu cukup.
Saya teringat tahun 1981. Tahun saya sendiri mengambil Sijil Pelajaran Malaysia, ketika SPM masih dianggap tiket emas ke menara gading. Saya bukan kaki belajar sejak kecil, tetapi bukan jenis yang suka duduk diam di bilik darjah.
Dunia saya ketika itu ialah buku dan perpustakaan. Saya lebih senang duduk bersila di antara rak-rak buku di Perpustakaan Negeri Pahang daripada mendengar guru meleret-leret tentang hukum fizik atau tatabahasa yang saya sudah baca lebih awal di majalah Dewan Siswa dan Dewan Masyarakat.
Namun tahun-tahun persekolahan saya tidak sentiasa bersih dari luka. Tingkatan 4 adalah musim gelap. Saya dibuli hampir sepanjang tahun. Bukan kerana saya lemah atau asing, tetapi kerana saya menerima banyak surat dari pelajar perempuan Tingkatan 5 yang ingin berkenalan.
Surat-surat itu bukan saya minta. Namun ia tersebar, dan saya dihukum oleh rasa cemburu dan dengki oleh pelajar Tingkatan 5 yang tumbuh dalam hati mereka yang belum dewasa sepenuhnya.
Selepas saya memenangi lima hadiah puisi dari sepuluh hadiah yang di pertandingkan iaitu tempat pertama. Kedua, ketiga, kelima dan keenam.
Saya menjadi sasaran ejekan, tohmahan, malah tindakan fizikal seperti bertelanjang, dipukul yang hampir meragut minat saya kepada sekolah.
Namun saya tidak melawan secara kasar. Saya hanya diam, dan menulis. Saya menulis puisi di belakang buku latihan, mencatat mimpi di sisi kamus, dan mengisi sunyi dengan karya-karya sastera yang menjadi sahabat senyap saya.
Tingkatan 5 menjadi kebangkitan semula saya. Saya diangkat sebagai Ketua Bahas Sekolah, dan mewakili sekolah ke Pertandingan Bahas Piala Sultan Pahang—sebuah pertandingan berkumpulan yang menguji hujah dan keberanian.

Kami melawan sekolah-sekolah hebat dari seluruh negeri dan berjaya mendapat tempat ketiga.
Tetapi lebih manis ialah pencapaian saya dalam Pertandingan Pidato peringkat negeri Pahang, sebuah pertandingan berseorangan yang memerlukan karisma dan kefasihan di pentas yang sunyi.
Pertandingan akhir berlangsung di Raub, dan saya dinobatkan sebagai pemidato terbaik seluruh negeri. Saya masih ingat dentingan mikrofon dan sorakan hadirin.
Ketika itu, nama saya meniti dari satu daerah ke satu daerah. Surat bukan lagi datang dari pelajar sekolah, tetapi dari peminat yang mendengar suara saya di radio sekolah atau melihat foto saya di papan kenyataan. Ketika itu tiada e-mel, dan surat menjadi jambatan hati.

Guru-guru mulai melayan saya secara berbeza. Mereka membenarkan saya ponteng dari kelas untuk ke perpustakaan, malah bila di tangkap kerana memonteng dibiarkan saja, sementara kawan saya semuanya di tampar.
Saya tidak dipaksa ke kelas persediaan malam (prep), malah dibenarkan tidur lebih awal berbanding rakan-rakan lain.
Dalam waktu orang lain sedang menghafal nota, saya membaca cerpen Pramoedya Ananta Toer, menelaah novel Shahnon Ahmad, dan menyalin petikan-petikan karya besar sastera dunia ke dalam diari kecil saya.
Ilmu bukan sekadar fakta; bagi saya ia adalah roh yang meresap melalui kata dan makna.
Tinggalkan SPM demi bekerja
Saya teringat semua ini ketika membaca laporan terkini bahawa 57.8 peratus daripada 6,246 calon SPM 2024 yang tidak hadir ke dewan peperiksaan memberi alasan bekerja sebagai punca.
Mereka bekerja untuk menyara keluarga, memenuhi tuntutan ekonomi, atau mungkin tertarik kepada gaya hidup yang menjanjikan wang segera.

Ada yang mungkin terpaksa memilih antara makan malam dan peperiksaan pagi. Dalam dunia yang semakin menghimpit, tidak semua anak dapat mewah dengan kemewahan masa dan tumpuan.
Saya tidak menghukum mereka. Sebagai seorang ayah dan warga emas yang pernah melalui zaman sukar, saya memahami pilihan-pilihan getir yang mereka hadapi.
Namun saya juga percaya bahawa sistem pendidikan kita harus lebih fleksibel, lebih empati, dan lebih kreatif dalam mengiktiraf potensi pelajar yang tidak menepati acuan biasa.
Jika anak-anak saya boleh berjaya tanpa SPM, mengapa tidak anak-anak Malaysia yang lain?
Yang penting ialah sokongan persekitaran, ruang untuk tumbuh, dan keyakinan bahawa kecemerlangan tidak hanya bersemayam dalam dewan peperiksaan.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan, menyatakan bahawa intervensi akan terus dilakukan agar kehadiran ke SPM mencecah 100 peratus.
Namun bagi saya, kehadiran ke dewan peperiksaan tidak semestinya sinonim dengan kejayaan.
Malah, mereka yang hadir pun ada yang gagal kesemuanya—1,789 calon gagal dalam semua subjek tahun ini, berbanding 1,467 tahun lalu. Salah satu puncanya ialah kerja malam yang menyita tenaga dan tumpuan.
Ini menzahirkan masalah struktur yang lebih besar—tentang ekonomi keluarga, tentang persekitaran rumah yang tidak menyokong pembelajaran, dan tentang literasi serta numerasi yang gagal dibina sejak kecil.
Anak-anak saya tidak pernah mengalami masalah ini. Mereka membesar dalam suasana yang tidak membandingkan mereka dengan pencapaian anak jiran.
Mereka tidak pernah dirotan kerana gagal mendapat A tetapi sentiasa semuanya A terbaik.
Mereka tidak mengenal tekanan periksa, tidak diasak dengan peperiksaan bulanan, dan tidak pernah dipaksa menghafal jadual berkala unsur kimia.
Namun kini, mereka boleh berhujah dalam forum antarabangsa, menulis laporan penyelidikan yang dikaji semula oleh akademia, dan membaca lebih banyak buku daripada yang saya sendiri pernah baca ketika seusia mereka.
Apabila saya bandingkan sistem pendidikan antarabangsa yang pernah saya lihat dan alami—baik di New Zealand ketika menuntut di Universiti Waikato, mahupun di Emiriah Arab Bersatu ketika membesarkan anak-anak—saya dapati bahawa tumpuan sistem luar ialah pada perkembangan kendiri, pembinaan minat, dan kesihatan mental pelajar.
Di New Zealand, pelajar digalakkan bertanya, bukan sekadar menjawab. Mereka diberi ruang untuk meneroka subjek yang diminati, dan dinilai secara holistik, bukan hanya dengan ujian bertulis.
Seorang pelajar mungkin mendapat markah sederhana dalam matematik, tetapi cemerlang dalam muzik atau sains alam sekitar—dan itu tetap diraikan.
Di Dubai pula, anak-anak saya melalui sistem yang menekankan pelbagai bahasa, projek penyelidikan, dan pembelajaran berasaskan teknologi.
Mereka biasa dengan forum maya, sesi pembentangan, dan kerja berkumpulan dari usia muda. Mereka belajar dalam suasana kelas yang multinasional, bersama rakan-rakan dari India, Eropah Timur, Afrika dan Amerika Selatan. Kepelbagaian ini membina empati dan keterbukaan minda yang sukar dicapai dalam sistem pendidikan homogen.
Saya tidak menyatakan bahawa sistem kita tiada kelebihan. Malaysia kaya dengan guru yang berdedikasi dan pelajar yang rajin. Tetapi sistem kita kaku. Ia masih mendewakan peperiksaan tunggal. Ia belum berjaya melepaskan diri daripada kepompong silibus yang padat tetapi cetek.
Kita mengukur kecemerlangan dari segi bilangan A, bukan daya cipta atau nilai insan.
Kini, sebagai warga emas yang menyendiri di sudut waktu, saya terus membaca dan menulis. Saya mengenang surat-surat lama, pidato-pidato silam, dan anak-anak yang pernah saya pimpin di pentas perbahasan.
Saya juga mengenang tiga anak saya yang tidak pernah mengenal SPM, tetapi kini membawa nama keluarga ke mercu dunia.
Dan saya tersenyum.
Kerana saya tahu, tidak semua kejayaan itu memerlukan sijil. Kadang-kadang, ia hanya memerlukan kepercayaan—dan seorang ayah yang tidak menghalang.








