Saya berasal dari Kuala Rompin, Pahang — sebuah daerah yang menjadi nadi kehidupan bagi ramai Orang Asli suku Jakun. Di Rompin, kami membesar dengan menghormati adat dan pantang larang orang tua yang diwariskan sejak zaman nenek moyang.
Saya juga mempunyai saudara sebelah Cina yang berkahwin dengan orang Asli tempatan. Perkahwinan silang budaya ini membuka mata saya sejak awal tentang betapa luas dan kaya warna-warni dunia kita, jauh dari sekadar sempadan kaum atau agama.

Namun, pengalaman saya tidak terbatas di Malaysia. Ketika menuntut di Universiti Waikato di Hamilton, Aotearoa (New Zealand), saya telah mengikat tali persaudaraan dengan komuniti Māori. Sehingga hari ini, saya masih dianggap ‘saudara’ oleh mereka.
Saya sempat berdakwah bersama mereka sewaktu menuntut di sana, dan ramai dalam kalangan Māori memeluk Islam hari ini — bukan kerana paksaan, tetapi kerana perasaan spiritual yang dalam terhadap tauhid yang sejati.
Melalui kedua-dua pengalaman — hidup bersama orang Jakun di tanah air dan berdamping rapat dengan orang Māori di Aotearoa — saya melihat benang persamaan yang halus tetapi bermakna antara kedua-dua bangsa pribumi ini.
Namun saya juga melihat perbezaan yang tajam, khususnya dari sudut pengiktirafan dan pemerkasaan hak.
Akar dan Asal: Jakun & Māori
Orang Jakun tergolong dalam kelompok Proto-Melayu, satu cabang daripada 18 suku kaum Orang Asli di Semenanjung Malaysia. Mereka mendiami kawasan pedalaman terutama di selatan Pahang dan timur Johor.
Di Kuala Rompin, saya mengenali kampung-kampung seperti Jemeri, Air Molek, Sungai Mok, dan Mentelong — perkampungan yang menjadi tempat tinggal saudara saya dan tempat saya belajar tentang keindahan hidup yang selaras dengan alam.

Sementara itu, orang Māori adalah kaum pribumi di New Zealand dari Polinesia yang datang melalui migrasi berabad-abad lalu dari kepulauan Pasifik seperti Hawaiki. Mereka mempunyai struktur sosial yang tersusun — terdiri daripada iwi (puak), hapū (sub-puak), dan whānau (keluarga besar).
Seperti orang Jakun, mereka menghargai tanah, sungai, hutan dan laut sebagai warisan suci — bukan untuk dimiliki secara mutlak, tetapi untuk dijaga bagi generasi akan datang.
Persamaan Yang Merentas Lautan
Antara persamaan paling ketara ialah hubungan spiritual dengan alam sekitar. Sama ada di kampung Jakun di Rompin atau di tanah suci Māori di Rotorua, terdapat penghormatan mendalam terhadap alam.
Orang Jakun percaya kepada semangat hutan dan makhluk halus yang mendiami alam ini. Begitu juga dengan orang Māori, yang mempercayai ‘wairua’ (roh) dalam setiap unsur alam — air, batu, pokok, dan tanah. Bagi mereka, tanah tidak sekadar tempat berpijak, tetapi sumber identiti.
Kedua-duanya juga pernah mengalami penindasan sistemik dan kehilangan hak atas tanah adat mereka. Orang Asli di Malaysia berdepan dengan pengambilan tanah secara paksa, pembangunan tanpa rundingan, dan kehilangan sumber hutan.

Begitu juga dengan orang Māori, yang mengalami pelucutan hak secara besar-besaran melalui Treaty of Waitangi yang ditandatangani pada tahun 1840 tetapi sering dimungkiri oleh penjajah British.
Mereka juga berkongsi cabaran dalam pendidikan dan kemiskinan. Ramai pelajar Jakun keciciran di sekolah kerana faktor ekonomi, jarak sekolah, dan jurang budaya. Di New Zealand, kadar keciciran dalam kalangan pelajar Māori juga pernah tinggi, tetapi kini semakin berkurang berkat usaha berfokus kerajaan mereka.
Perbezaan: Jarak Dasar dan Pengiktirafan
Perbezaan paling ketara antara orang Māori dan Orang Asli ialah tahap pengiktirafan undang-undang dan pemerkasaan dasar awam.
Di New Zealand, orang Māori bukan sahaja diiktiraf sebagai kaum peribumi, malah diberikan hak perundangan khas, termasuk dalam pendidikan, ekonomi dan penjagaan kesihatan. Bahasa Māori diiktiraf sebagai bahasa rasmi negara dan digunakan dalam sistem pendidikan, media, dan pentadbiran awam. Terdapat sekolah Māori (kura kaupapa) dan universiti yang menawarkan pengajian tinggi dalam konteks budaya mereka.
Malah, kerajaan New Zealand mempunyai Māori Development Ministry khas, dan penglibatan Māori dalam sistem politik sangat ketara. Mereka mempunyai kerusi khusus di Parlimen dan menjadi suara penting dalam dasar negara.

Di Malaysia, akta yang mengawal hal ehwal Orang Asli — Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) — telah berusia lebih 70 tahun tanpa semakan menyeluruh. Namun baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa akta ini akan dipinda dengan inspirasi daripada model pemerkasaan orang Māori. Ini satu langkah yang saya sambut dengan harapan.
Beliau menyebut tentang hak milik tanah, akses pendidikan inklusif, dan penubuhan agensi pembiayaan khas untuk menyokong keusahawanan Orang Asli. Jika dilaksana dengan jujur dan menyeluruh, ini akan memberi nafas baharu kepada komuniti seperti Jakun di Rompin.
Namun saya setuju dengan pandangan Zahid Hamidi bahawa kita tidak boleh menyalin bulat-bulat model New Zealand ke Malaysia. Orang Asli kita terdiri daripada pelbagai suku dengan latar belakang budaya dan geografi yang sangat berbeza. Apa yang perlu ialah semangat yang sama — untuk membangunkan komuniti tanpa memadamkan identiti mereka.
Kehidupan Harian di Rompin: Antara Warisan dan Modenisasi
Orang Asli di Kuala Rompin masih menjalani kehidupan yang seimbang antara adat dan cabaran moden. Ada yang masih mengutip rotan dan akar kayu, memburu binatang kecil, atau menoreh getah. Ada juga yang bekerja sebagai buruh ladang atau berniaga hasil hutan. Namun banyak anak muda mulai meninggalkan kampung, mencari kerja di bandar, dan semakin jauh dari budaya nenek moyang.
Masalah keciciran pelajar masih membimbangkan. Walaupun ada pusat seperti PIPOA (Pusat Intelek Pelajar Orang Asli), jurang masih besar antara apa yang ditawarkan dan apa yang diperlukan. Bahasa Melayu pun masih belum cukup dikuasai oleh sebahagian anak-anak Jakun, apatah lagi bahasa Inggeris atau kemahiran digital.
Saya menyaksikan sendiri bagaimana sesetengah kampung seperti Kampung Batu Tiga kini lebih moden — ada air bersih, elektrik dan jalan tar. Namun masih banyak kampung lain yang terpinggir, tanpa klinik, tiada pusat latihan, dan hanya bergantung kepada JAKOA yang serba kekurangan.

Harapan dan Kesedaran Baharu
Saya percaya, seperti Māori, masyarakat Jakun juga boleh bangkit — tetapi dengan syarat: perlu ada dasar yang berpihak kepada mereka, bukan hanya secara retorik tetapi dalam bentuk tindakan konkrit dan berterusan. Pendidikan mesti digarap dalam konteks budaya mereka, bukan dipaksakan acuan luar. Tanah mesti dilindungi, bukan dikorbankan atas nama pembangunan. Identiti mesti dirayakan, bukan disenyapkan.
Pengalaman saya bersama orang Māori mengajar bahawa perubahan tidak berlaku dalam semalam. Ia memerlukan pengiktirafan, pelaburan dan penghormatan jangka panjang. Mereka kini memiliki semula sebahagian tanah mereka, mendapat pampasan, dan berdiri gagah dengan bahasa serta warisan sendiri. Ini bukan kerana mereka merayu belas ihsan, tetapi kerana mereka bangkit menuntut keadilan yang tertangguh.
Jika orang Māori boleh berjaya menuntut hak mereka melalui perundangan, pendidikan dan solidariti, saya yakin seluruh masyarakat Orang Asli Malaysia — juga mampu bangkit, jika diberi peluang yang adil.
Dari Kuala Rompin ke Aotearoa
Saya telah menempuh dua dunia — dunia asal saya di Kuala Rompin, dan dunia yang baharu waktu dahulu bersama orang Māori di Aotearoa. Saya melihat perbezaan nyata dalam cara mereka dihargai oleh negara masing-masing.
Tetapi saya juga melihat satu benang halus yang menghubungkan kami: keinginan untuk hidup bermaruah di tanah warisan sendiri.
Kini tiba masanya untuk Malaysia membuka lembaran baharu. Bukan sekadar meminda Akta 134, tetapi menulis semula naratif yang lebih adil untuk semua anak watan — dari bukit di Rompin hingga ke puncak Parlimen.
Dan saya, sebagai anak Malaysia, anak Kuala Rompin, akan terus bersuara, menulis, dan berdoa agar warisan kami tidak lenyap dalam lipatan sejarah. - DagangNews.com








