Setiap tahun, kita melihat senarai bandar paling selesa didiami atau `liveable' di dunia seperti Copenhagen, Vienna, Zurich, Melbourne, dan Tokyo. Kota-kota ini cantik, tersusun, selamat, mempunyai pengangkutan awam yang cekap, ruang awam selesa, serta udara bersih.
Namun, apabila kita membawa perbincangan ini ke Asia, soalannya bukan lagi sekadar bandar mana yang paling selesa, sebaliknya: adakah bandar Asia sedang menjadi tempat yang makin baik untuk manusia hidup, atau hanya makin baik untuk ekonomi bergerak?
Menurut `Global Liveability Index 2026' oleh Economist Intelligence Unit (EIU), sebanyak 173 bandar dinilai berdasarkan kestabilan, kesihatan, budaya, persekitaran, pendidikan, serta infrastruktur. Asia diwakili oleh Osaka di tempat ketujuh dan Tokyo di tempat kesepuluh.
Walaupun Asia mencatat peningkatan hasil pelaburan kesihatan dan kemajuan bandar China, realitinya tidak sekata. Ada bandar yang maju dan bersih, tetapi ada yang semakin padat, panas, tercemar, mahal, dan menekan kesihatan rakyat. Asia membina bandar dengan laju, tetapi belum tentu semuanya sihat untuk didiami.
`Liveable' Bukan Sekadar Cantik, Tetapi Boleh Bernafas
Pada era perubahan iklim, definisi bandar `liveable' tidak lagi cukup hanya dengan bangunan moden, pusat beli-belah, hospital, dan taman.

Di sinilah Asia berdepan paradoks besar. Rantau ini ialah enjin pertumbuhan dunia, namun turut terdedah kepada haba ekstrem, pencemaran udara, banjir bandar, ketidaksamaan sosial, dan tekanan kesihatan.
Data IQAir 2025 menunjukkan hanya 14% bandar dunia memenuhi garis panduan tahunan WHO untuk PM2.5 (5 µg/m³). Lebih serius, 130 daripada 143 negara dan wilayah melebihi garis panduan tersebut, dengan Pakistan (67.3 µg/m³) dan Bangladesh (66.1 µg/m³) antara yang tertinggi, manakala 25 bandar paling tercemar di dunia semuanya terletak di India, Pakistan, dan China. Isu utama `liveability' Asia kini berkait rapat dengan udara yang masuk ke paru-paru setiap hari.
Pencemaran Udara: Cukai Kesihatan yang Tidak Kelihatan
Pencemaran udara ialah “cukai senyap” kepada rakyat bandar. Ia menjelma sebagai batuk berpanjangan, asma, serangan jantung, strok, kanser paru-paru, cuti sakit, serta peningkatan kos ubat dan lawatan klinik.
WHO menganggarkan pencemaran udara luar menyebabkan 4.2 juta kematian pramatang di seluruh dunia pada 2019, manakala gabungan luaran dan dalaman mencecah 6.7 juta setahun.
Di Asia, masalah ini menjadi lebih runcing akibat kebergantungan kepada kenderaan bahan api fosil, aktiviti pembinaan, industri, loji arang batu, pembakaran terbuka, dan jerebu rentas sempadan.
Apabila udara tercemar bertemu cuaca panas dan kelembapan tinggi, beban kepada tubuh manusia berganda. Ekonomi bandar yang rancak tetapi udaranya tidak sihat sebenarnya sedang memindahkan kos pembangunan kepada hospital, keluarga, dan tubuh rakyat.
Bandar Asia Semakin Panas
Haba ekstrem ialah krisis fizikal yang dirasai secara langsung pada kulit dan sistem badan.
WHO melaporkan kira-kira 489,000 kematian berkaitan haba berlaku setiap tahun (2000–2019), dengan 45% daripadanya berlaku di Asia. Haba memburukkan penyakit jantung, diabetes, asma, penyakit buah pinggang, dan kesihatan mental, manakala `heatstroke' ialah kecemasan perubatan yang boleh membawa maut.
Bank Dunia mendedahkan kesan pulau haba bandar (urban heat island) di Asia Timur menjadikan bandar 1.6°C hingga 2.0°C lebih panas berbanding kawasan luar bandar.
Di Indonesia, Malaysia, dan Filipina, perbezaan ini boleh mencecah sehingga 5.9°C, malah di Bandung mencapai 7.0°C. Tambahan suhu ini menentukan sama ada seorang pekerja binaan, warga emas, atau kanak-kanak mampu berfungsi dengan selamat tanpa keletihan haba.
Kesan ini tidak menimpa semua golongan secara sama rata. Kawasan miskin bandar yang kurang pokok, berkonkrit padat, mempunyai pengudaraan lemah, dan ketiadaan pendingin hawa meletakkan pekerja luar, peniaga kecil, penghantar makanan, warga emas, dan komuniti miskin bandar pada risiko tertinggi.

Ancaman Haba Terhadap Produktiviti Ekonomi
Pertumbuhan ekonomi Asia boleh terencat jika bandar tidak lagi selamat untuk bekerja. Forum Ekonomi Dunia (WEF) menyatakan haba ekstrem kini menjadi risiko sistemik kepada pasaran buruh, infrastruktur, rantaian bekalan, dan pertumbuhan ekonomi. Sekitar 75% pekerja di Asia Pasifik terdedah kepada haba berlebihan pada 2020 (berbanding purata global 71%).
Banyak ekonomi bandar bergantung kepada pekerja separa formal seperti sektor pembinaan, logistik, penghantaran makanan, perkilangan, keselamatan, pembersihan, dan pengangkutan. Apabila suhu meningkat, pekerja cepat letih, produktiviti jatuh, risiko kemalangan naik, dan waktu kerja efektif menjadi pendek.
Bank Dunia memberi amaran bahawa gabungan pulau haba bandar dan pemanasan global boleh mengurangkan KDNK sebenar bandar besar sebanyak 1.4% hingga 1.7% menjelang 2050, dan hampir 11% menjelang akhir abad ini. Bandar yang gagal mengurus haba bukan sekadar kurang selesa, malah kurang produktif.
Sistem Kesihatan sebagai Benteng Terakhir
Apabila pencemaran, haba, banjir, penyakit bawaan vektor, dan populasi menua bertembung, tekanan akhirnya menimpa sistem kesihatan. Hospital dan klinik dibanjiri pesakit asma, strok haba, dehidrasi, serangan jantung, jangkitan pernafasan, buah pinggang, denggi, dan masalah kesihatan mental.
Dalam masa yang sama, hospital sendiri berdepan kerentanan iklim akibat gangguan bekalan elektrik, air, dan sistem penyejukan. Institusi kesihatan tidak boleh lagi sekadar merawat selepas krisis berlaku, tetapi mesti mempunyai pelan tindakan komprehensif bagi menghadapi gelombang haba, jerebu, dan gangguan infrastruktur.
Langkah Strategik untuk Masa Depan Asia

Titik Nadi Masa Depan Asia
Pertumbuhan ekonomi yang memecah rekod tidak membawa apa-apa erti jika ia dibayar dengan ringgit keringat dan desah nafas rakyat yang semakin sesak.
Sudah tiba masanya bandar-bandar di Asia berhenti mengukur kemajuan hanya dari menara-menara kaca yang menjulang langit, sebaliknya diukur dari kesejukan teduh pokok yang melindungi warga emas, kesegaran udara yang diirup anak-anak kecil, dan keadilan ruang yang memberi maruah kepada setiap jiwa.
Kerana pada akhirnya, sebuah bandar yang gagah bukan dihitung pada seberapa banyak kekayaan yang ia kumpul, tetapi pada seberapa selamat ia memeluk warganya untuk terus hidup, bernafas, dan bermimpi. - DagangNews.com








