Surat ini tidak ditulis untuk menambah kekecohan perbahasan awam, tetapi sebagai teguran berprinsip terhadap satu insiden yang jelas melampaui batas kebijaksanaan, etika, dan tanggungjawab kewartawanan.
Ia melibatkan tindakan seorang wartawan Malaysia yang melalui soalan dan sindiran telah cuba menyamakan realiti kehidupan masyarakat Cina di negara ini dengan penderitaan rakyat Palestin yang hidup di bawah penindasan dan penjajahan.
Secara jelas dan jujur, cubaan untuk menyamakan, sama ada secara tersurat atau tersirat, kedudukan masyarakat Cina Malaysia dengan penderitaan rakyat Palestin bukanlah kewartawanan. Ia adalah satu bentuk provokasi berbahaya yang disalut rapi sebagai “soalan kritikal”.
Realiti Penderitaan Palestin vs Malaysia
Rakyat Palestin hidup di bawah pendudukan tentera, sekatan pergerakan, keganasan sistemik, ketiadaan negara, dan pelanggaran hak asasi yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta komuniti antarabangsa.
Untuk menyamakan realiti tersebut dengan kedudukan masyarakat Cina Malaysia, yang merupakan warganegara penuh dengan hak perlembagaan, perwakilan politik, kebebasan beragama, dan penyertaan ekonomi, adalah tidak berasas, tidak jujur, dan secara moralnya menyinggung perasaan ramai.
Lebih membimbangkan, kesilapan ini cuba “dibetulkan” melalui penjelasan separuh masak. Dalam dunia komunikasi dan kewartawanan, terdapat satu prinsip asas: perkara yang salah tidak boleh diputihkan dengan permainan bahasa.
Apabila kita silap, kita mengaku silap – tanpa “tetapi”, tanpa alasan, tanpa helah semantik. Cubaan untuk mempertahankan kesalahan hanya akan menghancurkan kredibiliti.
Kebebasan Media Bersama Tanggungjawab
Pada saya, kebebasan media dan kebebasan bersuara adalah amat penting. Namun, dalam mana-mana demokrasi matang, kebebasan itu tidak pernah bersifat mutlak. Ia datang bersama tanggungjawab.
Wartawan dan organisasi media bukan diberi lesen untuk mencetuskan sentimen perkauman atau keagamaan, lebih-lebih lagi dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia.
Hakikatnya, terdapat garis larangan yang telah lama difahami – agama, kaum, dan institusi diraja – sama ada kita menyukainya atau tidak.
Intipati Soalan dan Implikasi Antarabangsa
Hujah bahawa wartawan tersebut tidak menyebut perkataan “apartheid” secara literal adalah tidak ikhlas. Intipati soalan jelas merujuk kepada naratif penindasan.
Lebih malang, isu ini dibawa kepada tokoh antarabangsa, George Galloway, seolah-olah mahu mempamerkan Malaysia sebagai negara yang menindas kaum tertentu.
Sebagai seorang rakyat Malaysia, tindakan ini memalukan. Sebagai seorang wartawan, ia mencerminkan kegagalan memahami konteks, tanggungjawab, dan implikasi kata-kata sendiri.
Kerosakan Sosial dan Hubungan Kaum
Insiden ini mendatangkan tiga bentuk kerosakan besar:
1. Ia memperkecilkan penderitaan sebenar rakyat Palestin dengan menjadikannya alat retorik untuk agenda tempatan.
2. Ia meracuni hubungan kaum di Malaysia dengan membingkai naratif “penindas” dan “tertindas” secara longgar dan berbahaya.
3. Ia menghina masyarakat Cina Malaysia sendiri dengan menggambarkan mereka sebagai tidak berdaya, terpinggir, dan tanpa agensi – satu gambaran yang langsung tidak mencerminkan realiti sumbangan dan pencapaian mereka dalam negara ini.
Permohonan Maaf Bersyarat Tidak Mencukupi
Lebih mengecewakan ialah permohonan maaf yang “bersyarat”. Sebarang permohonan maaf yang diikuti dengan alasan, penafian niat, atau permainan istilah bukanlah permohonan maaf sebenar.
Dalam profesion komunikasi, perkara ini asas. Jika mahu memohon maaf, lakukan dengan penuh kejujuran dan tanggungjawab.
Sebagai seorang Melayu, seorang Muslim, penyokong kuat perjuangan Palestin, dan yang paling utama, sebagai rakyat Malaysia, saya menolak analogi palsu ini sepenuhnya.
Pembelaan Palestin tidak seharusnya digunakan, dan dimanipulasi untuk memesongkan realiti Malaysia atau memecah-belahkan masyarakat sendiri.
Malaysia mempunyai pelbagai isu sah dan serius yang wajar dibahaskan secara jujur dan bertanggungjawab, termasuk ketidaksamaan, tadbir urus, pendidikan, serta mobiliti sosial.
Namun, menyamakan realiti Malaysia dengan apartheid dan penjajahan bukanlah suatu keberanian intelektual.
Ia mencerminkan kejumudan pemikiran – satu penyederhanaan melampau yang mengelirukan wacana awam, menyesatkan persepsi, dan berpotensi mencetuskan kesan sosial yang nyata serta berbahaya.
Kebebasan Media Adalah Amanah, Bukan Lesen
Mata pena wartawan boleh membina kefahaman atau meruntuhkan kepercayaan.
Dalam kes ini, wartawan tersebut telah memilih jalan kedua. Kebebasan media kekal penting, namun ia adalah amanah, bukan lesen untuk mengapi-apikan perpecahan. - DagangNews.com








