Taman Automotif Pekan menempatkan jenama-jenama automotif bertaraf dunia seperti Mercedes-Benz, Volkswagen, Isuzu dan Mitsubishi.
KUALA LUMPUR 16 Dis - Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) kekal fokus sepanjang 2021 dengan memastikan aliran masuk pelaburan berterusan yang telah menghasilkan RM9.6 bilion di Pahang setakat ini.
Jumlah itu adalah hampir 2 kali ganda daripada sasaran asal sebanyak RM5.3 bilion untuk tahun ini sekali gus mampu mewujudkan lebih 6,700 peluang pekerjaan dan 200 usahawan baharu.
Sejak 2018 hingga kini, Pahang telah memperoleh RM19.8 bilion dalam pelaburan domestik dan asing atau 64% daripada RM31 bilion yang disasarkan dalam Pelan Induk ECER 2.0 (2018 - 2025).
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sewaktu mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Pahang menyifatkan, pencapaian itu membuktikan bahawa negeri itu mampu menjadi destinasi pelaburan yang menarik.
Katanya, ia adalah hasil daripada perancangan, sokongan infrastruktur strategik yang baik, serta usaha promosi yang agresif.
"Dengan usaha promosi berterusan oleh ECERDC dan agensi-agensi negeri, kami percaya akan dapat menarik lebih banyak pelaburan terutamanya ke taman-taman perindustrian ECERDC di Pahang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), yang dibina di kawasan seluas 3,500 ekar berdekatan dengan Pelabuhan Kuantan telah menarik lebih daripada 40% daripada pelaburan 2021, iaitu sebanyak RM4.2 bilion untuk pembuatan keluli dan sarung tangan perubatan.
Satu lagi taman perindustrian utama di negeri Pahang iaitu Taman Automotif Pekan (PAP) yang menempatkan jenama-jenama automotif bertaraf dunia seperti Mercedes-Benz, Volkswagen, Isuzu dan Mitsubishi kini sedang menuju ke arah menjadi sebuah Taman Perindustrian Automotif Hijau untuk menarik pengeluar-pengeluar kenderaan elektrik (EV) baharu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat berkata, pertumbuhan pelaburan yang kukuh di Pahang akan membantu pemulihan ekonomi terutama dalam mewujudkan pekerjaan untuk rakyat serta peluang perniagaan bagi usahawan tempatan.
"Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, ECERDC tetap meneruskan pelaksanaan projek-projek infrastruktur strategik, antaranya saluran paip air sepanjang 29 kilometer dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Pahang, dengan jangkaan kapasiti 80 juta liter sehari.
"Ia dijangka siap menjelang Mei 2023, bagi memastikan bekalan air berterusan untuk memenuhi permintaan pelabur di Kawasan Perindustrian Gebeng," katanya.
Sementara itu, dalam usaha menyokong Pelan Pemulihan Ekonomi Negara (Penjana), ECERDC telah menyediakan latihan peningkatan kemahiran dan pemahiran semula di bawah program Penjana-ECERDC khususnya kepada mereka yang menganggur akibat pandemik COVID-19 untuk meningkatkan kebolehpasaran.
Program ini juga menjadi salah satu insentif kepada para pelabur di ECER kerana Penjana membayar sebahagian daripada kos latihan sambil bekerja dalam bentuk subsidi upah.
Setakat ini, 4 syarikat telah menyertai program tersebut, dengan 337 peluang pekerjaan ditawarkan dan 83 pekerja telah dilatih dan diambil bekerja. - DagangNews.com








