KUALA LUMPUR 31 Mac – MYAirline mengumumkan kerjasama terbaharunya dengan Visa, peneraju dunia dalam pembayaran digital untuk memberi diskaun RM5 kepada pemegang kad tersebut bermula pada 1 April ini.
MYAirline berkata, pemegang kad Visa yang menempah penerbangan di laman web atau aplikasi mudah alih mereka layak menerima diskaun dari setiap tempat duduk penerbangan untuk tambang biasa dan promosi.
Promosi ini akan berlangsung sehingga 31 Mei 2023 dan akan tersedia kepada pemegang kad Visa sahaja.
“Terbang ke lokasi domestik dan antarabangsa yang eksotik dengan MYAirline - dari Malaysia Timur ke kawasan utara di semenanjung, nikmati makanan laut yang lazat di sepanjang pantai atau mendaki bersama menikmati keajaiban alam semula jadi.
“Alami kekayaan budaya Sabah dan Sarawak atau ambil bahagian dalam tradisi tempatan Kota Bharu.
“Anda juga boleh merancang untuk pengembaraan hari yang menarik dengan menggunakan jadual penerbangan kami yang sesuai untuk tiba tepat pada masanya di destinasi dan kembali,” kata MYAirline dalam satu kenyataan.
Tambah MyAirline, sebagai alternatif pemegang kad berkenaan perlu memanfaatkan kempen itu untuk lawatan perniagaan seperti ke pusat ekonomi antaranya ke Miri dan Pulau Pinang.
MYAirline berkata, untuk menikmati diskaun, semua pemegang kad Visa dikehendaki memasukkan kod promosi kempen “VISA5” sebelum mereka dapat memulakan tempahan.
“Mereka perlu menyimpan butiran kad pada halaman pembayaran sebelum memuktamadkan pembelian.
“Untuk menjadikannya lebih mudah diakses, diskaun ini juga terpakai dengan promosi sedia ada yang lain. Walau bagaimanapun, promosi ini tidak terpakai kepada cukai lapangan terbang dan yuran,” katanya. - Dagangnews.com








