KUALA LUMPUR 14 Jun - MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) mencapai lima bulan berturut-turut iaitu Januari hingga Mei 2022, sifar Kecederaan Masa Hilang (LTI) atau 2,351,697 jam kerja selamat yang berkaitan dengan insiden industri.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, pencapaian itu menandakan penambahbaikan berterusan MSM untuk kesejahteraan pekerja dan keselamatan tempat kerja serta memacu budaya keselamatan yang lebih tinggi, termasuk terus menumpukan usaha ke arah sifar LTI.
"Kesihatan dan keselamatan adalah keutamaan di MSM. Kumpulan berusaha untuk tidak membahayakan individu, alam sekitar dan harta benda. Kami melihat kesihatan dan keselamatan antara kunci utama untuk memastikan pemulihan serta pertumbuhan perniagaan yang mampan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Syed Feizal, MSM komited untuk menyediakan persekitaran kerja yang sihat dan selamat serta secara aktif memacu usaha pencegahan kemalangan merentasi semua operasi.
Beliau berkata, MSM telah mewujudkan sistem pengurusan Keselamatan dan Kesihatan yang mengutamakan standard keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang tinggi untuk pekerja dan pihak ketiga selaras dengan Piawaian Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan MSM.
"Ini mematuhi piawaian industri kesihatan dan keselamatan antarabangsa dan tempatan dengan memenuhi keperluan dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang dan Jentera 1967," katanya.
Tambahnya, satu lagi penambahbaikan untuk mengubah budaya keselamatan di semua anak syarikat MSM ialah pelaksanaan inisiatif utama 'U See U Act', untuk menggalakkan pekerja untuk mengenalpasti dan melaporkan apa sahaja yang boleh mendatangkan bahaya kepada keselamatan serta membuat penambahbaikan di tempat kerja.
"Kadar insiden keselamatan menurun sebanyak 24% pada 2021, berbanding 2020. Tambahan pula, semua anak syarikat MSM diperakui dengan ISO 45001:2018 oleh SIRIM QAS International.
"ISO 45001:2018 menetapkan keperluan untuk sistem pengurusan Pekerjaan, Kesihatan dan Keselamatan (OH&S) dan memberi panduan untuk penggunaannya bagi membolehkan organisasi menyediakan tempat kerja yang selamat dan sihat dengan mencegah kecederaan dan keuzuran yang berkaitan dengan kerja, serta menambah baik secara proaktif prestasi OH&S mereka," katanya.
Terdahulu, sempena Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di tempat kerja yang diraikan setiap tahun pada 28 April, MSM melalui anak syarikatnya, MSM Prai Berhad (MSM Prai) menganjurkan Minggu Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan yang diisi dengan program kesihatan dan keselamatan.
Inisiatif yang sama juga dilaksanakan oleh MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn Bhd (MSM Johor) dan MSM Sungai Buloh Warehouse (MSM SBW) pada Mei 2022.
Antara aktiviti yang disediakan sepanjang Minggu Kesihatan dan Keselamatan ialah Pameran dan Ceramah oleh JKKP Pulau Pinang, Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah, Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Seberang Jaya dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Seberang Perai Tengah serta Saringan Kesihatan Asas dan program berkaitan kesihatan dan keselamatan. - DagangNews.com







