MPN gesa kerajaan tangani isu kekurangan tenaga kerja - Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

MPN gesa kerajaan tangani isu kekurangan tenaga kerja - Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Sept - Majlis Pemulihan Negara (MPN) telah memberi beberapa cadangan kepada kerajaan, termasuk melaksanakan semula moratorium untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang terkesan dalam usaha mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara.

 

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha tersebut turut melibatkan sektor pelancongan, memudah cara permohonan pinjaman bagi perniagaan yang memerlukan modal dan menyelesaikan isu tenaga kerja yang meruncing.

 

"Banyak perniagaan atau perusahaan yang terpaksa menutup atau mengecilkan operasi kerana kekurangan tenaga kerja. Industri menanggung rugi dan pemulihan negara terencat kerana masalah ini. 

 

"Industri kelapa sawit sahaja rugi RM10.25 bilion pada tahun lalu kerana kekurangan pekerja untuk menuai buah.

 

"Setiap kali mesyuarat MPN, isu kekurangan tenaga kerja sering kali dibangkitkan dan dilaporkan kepada Kabinet, namun setakat ini masih belum ada penyelesaian yang komprehensif dalam isu tersebut," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

 

Dalam pada itu, Muhyiddin turut berkongsi kajian daripada Merdeka Centre for Opinion Research pada bulan Disember 2021 yang menunjukkan bahawa sebanyak 12% rakyat Malaysia telah mula ikat perut dengan makan hanya sekali atau dua kali sehari (skip meal).

 

Beliau berkata, kajian tersebut turut menunjukkan 12% menangguhkan rawatan perubatan dan 31% lewat bayar hutang serta bil kerana tiada wang.

 

"Selain itu, kajian oleh Mindshare, sebuah entiti bukan kerajaan menunjukkan 61% rakyat telah berada dalam kumpulan berpendapatan terkebawah (B60), iaitu dengan pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 sebulan, selepas pandemik COVID-19 melanda negara. 76% daripada kumpulan ini berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.

 

"Kejatuhan nilai ringgit, kenaikan kadar inflasi dan keadaan ekonomi pasca pandemik telah memberi kesan buruk ke atas kehidupan rakyat.

 

"Malaysia mengimport sebahagian besar bahan makanan. Tahun lalu, nilai import bahan makanan sahaja mencecah RM63 bilion. Jika nilai ringgit terus merudum, harga barangan makanan akan menjadi lebih mahal. Is this okay? No, it is not okay," katanya.

 

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional telah mengarahkan jentera parti supaya terus membantu rakyat yang susah termasuk mengedarkan bakul makanan kepada mereka yang memerlukan dan menganjurkan Program Jualan Prihatin yang menawarkan barangan keperluan harian dengan harga murah. - DagangNews.com