Misi perdagangan ke Turkiye jana RM1.1 bilion untuk PKS Malaysia - SME Corp | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Misi perdagangan ke Turkiye jana RM1.1 bilion untuk PKS Malaysia - SME Corp

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 April - Misi perdagangan ke Turkiye melibatkan 10 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia baru-baru ini berjaya menjana jumlah nilai dagangan sebanyak RM1.1 bilion, di sebalik kesan pandemik dan cabaran global. 

 

SME Corporation Malaysia (SME Corp) dalam kenyataan berkata, misi ke Istanbul dan Sakarya, yang diadakan pada 26 Februari sehingga 6 Mac 2023 telah diketuai SME Corp, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MIICCI). 

 

Katanya, sepanjang misi sembilan hari itu, sebanyak 97 siri perbincangan perniagaan mengenai penyumberluaran produk dan perkhidmatan telah diadakan yang melibatkan 72 syarikat Turki dan 10 syarikat Malaysia dalam sektor makanan dan minuman, farmaseutikal, penjagaan kesihatan peribadi, minyak dan gas serta sistem solar.

 

"Inisiatif ini membuktikan usaha berterusan Malaysia untuk meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan global bernilai tinggi dengan mewujudkan peluang akses pasaran kepada usahawan tempatan untuk meneroka pasaran Turkiye.

 

"Minat mendalam yang ditunjukkan oleh syarikat Turkiye semasa misi perdagangan tersebut menjadi pemangkin utama dalam menyokong pengantarabangsaan PKS kedua-dua negara," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, delegasi Malaysia juga diberikan pendedahan mengenai peraturan dan undang-undang import Turkiye, keperluan perniagaan serta ciri-ciri pasaran tempatan melalui siri seminar, lawatan tapak, sesi pemadanan perniagaan dan peluang rangkaian. 

 

Katanya, pihak yang terlibat dari Turkiye adalah Small and Medium Enterprise Development Organisation of Turkiye (KOSGEB), Turkiye Halal Certification Body (GIMDES), Independent Industrialist and Businessmen’s Association (MUSIAD), Dewan Perdagangan GEBZE, Dewan Perdagangan KOCAELI dan Dewan Perdagangan SAKARYA.

 

 

smecorp

 

 

smecorp

 

 

"Kerjasama strategik antara SME Corp, MIICCI dan persatuan/dewan perniagaan dari Turkiye ini melambangkan kepentingan sinergi ekosistem perdagangan dalam meningkatkan daya saing perdagangan Malaysia serta mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia-Turkiye, terutamanya dalam sektor ekonomi," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata, misi ini adalah sebahagian daripada usaha SME Corp untuk meningkatkan keupayaan pra-eksport PKS serta mewujudkan lebih banyak peluang untuk komuniti perniagaan Malaysia menerokai pasaran global. 

 

Katanya, SME Corp Malaysia juga menawarkan beberapa inisiatif lain untuk menyokong pengantarabangsaan PKS melalui Program Pengukuhan Eksport PKS yang telah dibuka untuk permohonan mulai 15 Mac 2023.

 

 

smecorp
                                          Rizal Nainy

 

 

"Program ini menggalakkan transformasi PKS ke pasaran global dengan mewujudkan rangka kerja berasaskan pasaran melalui penyediaan bantuan kewangan dalam bentuk geran padanan untuk pelbagai aktiviti berkaitan eksport," katanya.

 

Bagi meningkatkan penjenamaan di peringkat global katanya, SME Corp juga melaksanakan program National Mark of Malaysian Brand (NMMB), satu program pensijilan yang melambangkan kualiti, kecemerlangan dan keunggulan produk dan perkhidmatan PKS Malaysia yang setanding dengan standard antarabangsa. - DagangNews.com