Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 9 Dis - MIDF Research mengulangi pandangan 'Positif' terhadap prestasi Petronas Gas Bhd (PetGas) sehingga akhir tahun kewangan 2021 (FY21) berdasarkan portfolionya yang seimbang, penjanaan hasil dan aliran pendapatan yang stabil dan mampan, serta perkhidmatan sampingan berterusan yang akan menyokong segmen teras perniagaannya.
Firma penganalisis itu berkata, bagaimana pun faktor risiko utama kekal disebabkan ketidakpastian pandemik yang berterusan, dan ketidaktentuan pasaran gas.
"Secara keseluruhannya, kami tidak membuat sebarang perubahan dengan mengekalkan panggilan BELI dan harga sasaran kami pada RM17.90 untuk PetGas," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.
Panggilan itu dibuat oleh MIDF Research selepas PetGas mengumumkan setakat 8 Disember 2021, kumpulan itu telah meluluskan Keputusan Pelaburan Akhir untuk pembinaan projek pemampat gas baharu.
PetGas berkata, projek itu mempunyai jumlah kos pelaburan sekitar RM460 juta, dan pembiayaan akan digunakan melalui kemudahan pembiayaan Islam sedia ada.
Menurutnya, projek itu dijangka siap pada 1QFY24.
"Kumpulan akan membina dan memasang stesen pemampat gas baharu di Kluang, Johor, sebagai sebahagian daripada perniagaan Pengangkutan Gasnya, dengan matlamat meningkatkan kapasiti gas Penggunaan Gas Semenanjung (PGU) II, terutamanya di wilayah Selatan.
"Kapasiti gas tambahan yang dihasilkan daripada projek ini akan membantu memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk gas di wilayah Selatan daripada pelbagai perniagaan di samping memastikan bekalan pengguna gas sedia ada di kawasan itu," katanya.
Sementara itu MIDF Research berkata, pandemik pada FY21 telah menjadi perjalanan yang sukar, namun PetGas telah menunjukkan daya tahan dalam prestasi YTD mereka, terutamanya dalam model perniagaannya dan kontrak jangka panjang untuk perniagaan Pengangkutan Gasnya.
"Kami berpendapat bahawa ini akan memastikan aliran pendapatan yang mampan untuk segmen perniagaannya, dan berkemungkinan besar akan terus menambah pendapatan syarikat," katanya. -DagangNews.com








