MIDF Research: Pelabur asing terus jual RM20.8 juta ekuiti tiga minggu berturut-turut | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MIDF Research: Pelabur asing terus jual RM20.8 juta ekuiti tiga minggu berturut-turut

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Mei - Pelabur asing telah menjual bersih ekuiti Malaysia bagi minggu ketiga berturut-turut dalam jumlah sederhana sebanyak RM20.8 juta berbanding RM187.8 juta pada minggu sebelumnya, menurut MIDF Research.

 

Minggu lalu merupakan minggu dagangan yang dipendekkan di Bursa Malaysia dengan hanya tiga hari disebabkan cuti umum Hari Pekerja dan Hari Wesak pada Isnin dan Khamis.

 

Pelabur asing telah mencatatkan aliran keluar pada Selasa sebanyak RM60,000 dan Rabu dengan RM49.2 juta.

 

Bagaimanapun, aliran masuk direkodkan pada Jumaat berjumlah RM28.5 juta selepas Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) secara mengejut pada Rabu, di mana mereka melabur ke dalam saham Public Bank sebanyak RM30.5 juta diikuti Yinson Holdings (RM11.7 juta), Maybank (RM8.5 juta) dan RHB Bank (RM8.4 juta).

 

Pada minggu lalu, tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk bersih pelabur asing adalah telekomunikasi dan media (RM25.2 juta), pengangkutan dan logistik (RM11.1 juta) dan tenaga (RM10.9 juta).

 

“Sektor yang mempunyai aliran keluar tertinggi adalah perkhidmatan kewangan (RM39.8 juta), produk perindustrian dan perkhidmatan (RM17.3 juta) dan penjagaan kesihatan (RM15.9 juta).

 

Setakat ini, pelabur asing telah menjual bersih ekuiti Malaysia untuk 12 daripada 18 minggu, berjumlah RM2.14 bilion.

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan terus membeli bersih sebanyak RM53.2 juta dengan mencatatkan aliran masuk sebanyak RM45.1 juta (Selasa) dan RM23.6 juta (Rabu) sebelum jualan bersih RM15.5 juta pada Jumaat.

 

Setakat ini bagi 2023, mereka telah menjadi pembeli bersih selama 13 daripada 18 minggu dengan sejumlah RM2.04 bilion.

 

Manakala pelabur runcit telah kembali menjadi penjual bersih dengan RM32.3 juta selepas dua minggu membeli.

 

Mereka telah menjual bersih sejumlah RM45.05 juta pada Selasa dan RM12.97 pada Jumaat manakala Rabu merupakan satu-satunya hari belian bersih sebanyak RM25.6 juta.

 

Pelabur runcit tempatatan telah membeli bersih selama sembilan daripada 18 minggu tahun ini, dengan jumlah RM96.9 juta.

 

Dari segi pergerakan pelabur, purata volum dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur institusi tempatan meningkat 0.9% manakala pelabur runcit dan pelabur asing menyaksikan penurunan masing-masing sebanyak 2% dan 7.6%. -DagangNews.com