MFA sasar lebih 1,000 sertai Program Pembangunan Francais Mikro dan Mampu Milik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MFA sasar lebih 1,000 sertai Program Pembangunan Francais Mikro dan Mampu Milik

 

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 12 Jan - Persatuan Francais Malaysia (MFA) menyasarkan lebih 1,000 penyertaan daripada masyarakat setempat khususnya golongan B40 dan M40 menyertai Program Pembangunan Francais Mikro dan Mampu Milik (F3M) yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan francais.

 

Persatuan Francais Malaysia (MFA) memaklumkan, F3M yang dilaksanakan menerusi program Jelajah Francais dan Program Latihan di seluruh negara, mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan B40 dan M40.

 

Ketua Eksekutif MFA, Ahmad Faizal Mohamed Noor berkata, program anjuran bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu bertujuan menarik penglibatan lebih ramai golongan B40 dan M40 serta peniaga kecil dan sederhana (PKS) menceburi bidang perniagaan francais.

 

"Dijangka sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah penyertaan akan menceburi perniagaan francais mikro dan mampu milik sekiranya lebih banyak dana diperuntukkan kerajaan.

 

"MFA optimis program ini akan melahirkan lebih ramai usahawan francais sebagaimana disasarkan, selain membantu B40 dan M40 meningkatkan taraf hidup mereka," katanya dalam kenyataan.

 

Ahmad Faizal berkata, memandangkan sambutan menggalakkan yang diterima sejak diperkenalkan tahun lalu, pihaknya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pertambahan dana bagi program tersebut untuk tahun ini.

 

Menurutnya, sebanyak 11 siri program jelajah francais dirangka dan dilaksanakan di seluruh negara bermula sejak 8 dan 9 Januari lepas di Perlis dan Pulau Pinang, manakala destinasi terakhir diadakan di Sabah pada 25 Jun.

 

Beliau berkata, program tersebut bertujuan memberi kefahaman kepada masyarakat setempat mengenai peluang perniagaan francais yang boleh diterokai dan inisiatif kerajaan dalam membantu mereka menceburi perniagaan francais.

 

Memetik laporan Bernama, selain itu Program Latihan-Kursus Asas Perniagaan Francais di bawah inisiatif program F3M yang dilaksanakan juga merupakan persediaan kepada bakal usahawan francais untuk memahami dengan lebih jelas mengenai sistem perniagaan francais.

 

Maklumat lanjut berhubung F3M boleh didapati di www.mfa.org.my. - DagangNews.com