Mekanisme ICPT diteruskan, beri impak positif kepada prospek TNB - penganalisis ekonomi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mekanisme ICPT diteruskan, beri impak positif kepada prospek TNB - penganalisis ekonomi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 19 Dis - Langkah kerajaan meneruskan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) dilihat positif kepada prospek Tenaga Nasional Bhd. (TNB). 

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, keputusan itu akan meredakan kebimbangan pelabur terhadap risiko kawal selia. 

 

Menurutnya, pemulihan sebanyak RM16.2 bilion pada separuh pertama 2023 akan menambah baik kedudukan kunci kira-kira TNB dengan penghutang dan pembiayaan modal kerja dijangka menurun.

 

"Kami tidak terlalu bimbang dengan TNB berikutan subsidi RM10.76 bilion daripada kerajaan (selain daripada risiko pemasaan aliran tunai) kerana kami telah melihat komitmen kukuh kerajaan terhadap mekanisme ICPT sejak pelaksanaannya pada 2014 dan pembayaran awal subsidi RM5.8 bilion pada separuh kedua 2022.

 

"Oleh itu, kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap TNB dengan harga sasaran pada RM11.65 dengan mengambil kira hasil dan bayaran dividen yang stabil," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Jumaat lalu, kerajaan bersetuju untuk tidak menaikkan tarif elektrik kepada semua pengguna domestik berikutan pelarasan tarif elektrik di Semenanjung melalui mekanisme ICPT bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2023.

 

Baca : Tarif elektrik kekal sehingga Jun 2023 bagi rakyat jelata – industri dikenakan surcaj 20 sen/kWj

 

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pada masa sama ia juga membabitkan pengguna bukan domestik dalam kategori tarif voltan rendah terdiri perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

 

Secara keseluruhan, kerajaan akan memperuntukkan subsidi sebanyak RM10.76 bilion dalam tempoh berkenaan, meningkat hampir dua kali ganda daripada RM5.8 bilion pada separuh kedua 2022.

 

Sementara itu, RHB Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap TNB dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM9.60 daripada RM9 sesaham sebelum ini. 

 

Menurut firma itu, walaupun kesan pendapatan daripada kenaikan tarif terpilih dan komitmen subsidi yang lebih tinggi oleh kerajaan adalah neutral kepada TNB, ia sepatutnya memberi sedikit nafas kepada aliran tunai yang tegang dan secara beransur-ansur mengurangkan penghutang perdagangan yang meningkat, bergantung kepada jadual pembayaran subsidi.

 

"Kerajaan belum lagi memutuskan jadual pembayaran subsidi sebanyak RM10.8 bilion kepada TNB buat masa ini, tetapi kami percaya ia akan dilaksanakan secara bulanan, seperti mana subsidi sebelum ini. 

 

"Bergantung kepada masa pembayaran subsidi, kita seharusnya menjangkakan aliran tunai operasi yang lebih baik hasil daripada pelonggaran penggredan dalam penghutang perdagangan pada 2023," jelasnya.

 

Setakat 10.11 pagi, harga saham TNB menokok 10 sen atau 1.09% kepada RM9.25 dengan 296,200 saham diniagakan. - DagangNews.com