Tarif elektrik kekal sehingga Jun 2023 bagi rakyat jelata – industri dikenakan surcaj 20 sen/kWj | DagangNews Skip to main content

Tarif elektrik kekal sehingga Jun 2023 bagi rakyat jelata – industri dikenakan surcaj 20 sen/kWj

oleh JOHARDY IBRAHIM

PUTRAJAYA 16 Dis – Kerajaan telah bersetuju untuk tidak menaikkan tarif elektrik kepada semua pengguna domestik berikutan pelarasan tarif elektrik di Semenanjung Malaysia melalui mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT).

 

Walau bagaimanapun, pengguna-pengguna bervoltan sederhana (MV) dan tinggi (HV) daripada kalangan industri termasuk perbadanan multinasional (MNC) akan dikenakan surcaj pada kadar 20 sen/kWj.

 

Bagi pengguna-pengguna bukan domestik dalam kategori tarif voltan rendah (Lower Voltage - LV) yang terdiri daripada Perniagaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) termasuk restoran, kedai runcit, bakeri, bengkel-bengkel kecil dan lain-lain seumpamanya juga tidak akan mengalami sebarang kenaikan tarif elektrik.

 

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, dalam hal ini, Kerajaan memperuntukkan RM8.74 bilion subsidi kepada kategori pengguna ini.

 

Katanya, keputusan ini telah dibuat berikutan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara pada 13 Disember 2022 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan pada 14 Disember 2022.


 

Nik Nazmi Nik Ahmad
                                Nik Nazmi Nik Ahmad

 


“Bagi memastikan harga barangan makanan dan produk pertanian tidak mengalami sebarang kenaikan, pengguna seperti petani, penternak dan pekebun yang termasuk dalam kategori pertanian spesifik (tarif H) turut tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik.

 

“Kerajaan memperuntukkan tambahan RM90 juta subsidi kepada kategori pengguna ini.

 

“Justeru, lebih 9 juta pengguna elektrik yang melebihi 90 peratus daripada keseluruhan pengguna di Semenanjung Malaysia tidak akan terkesan dengan kenaikan kos bahan api untuk penjanaan elektrik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Nik Nazmi berkata, kerajaan masih lagi menampung subsidi sebanyak RM1.93 bilion agar peningkatan surcaj ini tidak dilepaskan keseluruhannya secara mendadak.

 

“Secara keseluruhannya, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM10.76 bilion subsidi bagi memastikan perkara ini dapat dilaksanakan.

 

Kos subsidi yang sepatutnya diberikan oleh Kerajaan untuk mengekalkan tarif elektrik sedia ada adalah sebanyak RM14.91 bilion.

 

Namun, dengan pelaksanaan subsidi secara bersasar begini, peruntukan tambahan berjumlah RM4.16 bilion yang sepatutnya dikeluarkan oleh Kerajaan untuk menampung subsidi elektrik ini dapat dibelanjakan untuk tujuan bantuan kepada rakyat dalam bentuk yang lain.

 

Menurutnya, krisis tenaga di peringkat global telah memberikan tekanan yang belum pernah berlaku (unprecedented pressure) kepada industri tenaga elektrik disebabkan harga bahan api yang sangat tinggi.

 

Ini menyebabkan peningkatan mendadak kos penjanaan elekrik dan pelarasan tarif elektrik melalui mekanisme ICPT berada pada kadar yang sangat tinggi iaitu sebanyak RM7 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2022 dan RM16.16 bilion bagi tempoh Julai hingga Disember 2022.

 

“Berdasarkan kepada kos penjanaan yang sangat tinggi ini, semua pengguna elektrik di Semenanjung sepatutnya dikenakan surcaj sebanyak 27 sen/kWj bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2023 yang akan menyebabkan peningkatan kos sara hidup sekiranya dilepaskan kepada pengguna sepenuhnya,” jelasnya.


 

tnb

 


Sekiranya keseluruhan kos ICPT ditampung melalui subsidi, Kerajaan pula perlu menyediakan peruntukan yang sangat besar dan membebankan.

 

Nik Nazmi berkata, kerajaan mengiktiraf dan menghargai peranan yang dimainkan oleh syarikat multinasional dan perniagaan bersaiz besar dalam pembangunan ekonomi dan pemulihan negara.

 

“Dalam masa yang sama, kami mempercayai kebolehan negara untuk berganjak daripada persaingan kos rendah kepada persaingan nilai tambahan. Justeru, pihak Kementerian yakin bahawa pendekatan ini bersesuaian dengan keadaan ekonomi hari ini.

 

“Kementerian juga komited dengan perancangan peralihan kepada penggunaan tenaga mampan, sambil mengimbangi sekuriti tenaga, kebolehcapaian tenaga serta kelestarian alam sekitar,” katanya.

 

“Pengguna boleh melihat jumlah subsidi yang diberikan oleh Kerajaan dalam bil elektrik bulanan masing-masing,” kata beliau lagi.

 

Menurutnya, bagi memastikan momentum pemulihan pasca COVID-19 dapat terus dijana oleh sektor sektor penting ini, kerajaan berharap agar pemberian subsidi ini dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutamanya dalam tempoh pemulihan ekonomi pada masa ini dan sekali gus memastikan pembangunan ekonomi negara yang berterusan. – DagangNews.com