KUALA LUMPUR 3 Mei - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa profesion kewartawanan perlu kekal bebas dan berfungsi tanpa gangguan serta campur tangan pihak lain, demi menjamin kebebasan bersuara di negara ini.
Ismail Sabri yang mengimbau kembali detik ketika merasmikan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 berkata, pengamal media adalah mata dan telinga untuk kerajaan agar pihak berkuasa yang terlibat boleh mengambil tindakan sewajarnya.
Bagaimanapun katanya, masih ada ruang untuk kebebasan media bergerak maju kehadapan.
Ujar beliau, beberapa undang-undang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan seksyen-seksyen tertentu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 perlu dilihat kembali.
"Kita harus menerima hakikat bahawa media tidak boleh lagi dikongkong kerana hampir semua mempunyai akses kepada media sosial di mana maklumat mengalir dengan amat pantas.
"Saya percaya pengamal media memiliki 'self-censorship' dalam isu-isu sensitif demi memastikan keamanan negara.
"Semoga media terus kekal bebas dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak dalam membuat laporan," katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya.

Dalam hantaran sama, Ismail Sabri turut berkongsi laporan Astro Awani berhubung kejayaan Malaysia berada di kedudukan tertinggi dalam kalangan negara ASEAN dalam Indeks Kebebasan Akhbar 2022 yang dikeluarkan oleh NGO antarabangsa, Reporters Without Borders.
Katanya, kejayaan tersebut dipacu ketika Malaysia dibawah pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia.
Dalam laporan itu, Malaysia naik enam anak tangga kepada kedudukan 113 dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2022.
Kedudukan Malaysia di 113 daripada 180 dengan skor 51.55 dan merupakan yang tertinggi dalam kalangan negara ASEAN.
Malaysia mendahului Thailand (115), Indonesia (117), Singapura (139), Kemboja (142), Brunei (144), Filipina (147), Laos (161), Vietnam (174) dan Myanmar (176). - DagangNews.com








