KUALA LUMPUR 14 April - Maybank Investment Bank (Maybank IB) dinobatkan Best Bond House dalam International Financing Review (IFR) Asia Awards 2022.
Firma penyelidikan itu juga telah mengungguli kesemua empat kategori di RAM League Awards 2023.
Pada RAM League Tables untuk bon korporat dan sukuk keseluruhan, Maybank IB mendahului dengan 10 terbitan berjumlah RM13.37 bilion, manakala bagi sukuk, ia telah mengaturkan lapan terbitan pada nilai program berjumlah RM12.57 bilion tahun lepas.
Sementara itu, IFR menonjolkan keupayaan Maybank IB membawa penerbit baharu ke pasaran, sekali gus memperluaskan rangkaian sektor yang tersedia untuk pelabur.
Salah satu daripadanya ialah sukuk sulung edotco Group yang dinaikkan kepada RM1.4 bilion daripada RM1 bilion, di mana Maybank IB bertindak sebagai penasihat utama bersama, pengatur utama bersama, pengurus utama bersama dan penasihat penstrukturan kemampanan bersama untuk program sukuk itu.
Satu lagi urus niaga yang menonjol adalah sukuk Sarawak Petchem bernilai RM4 bilion, pembiayaan projek medan hijau terbesar Malaysia dalam pasaran bon sejak 2018, yang mana Maybank IB bertindak sebagai penasihat utama bersama, pengatur utama bersama dan pengurus utama bersama.
Mengulas berkenaan kejayaan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank IB, Datuk Fad’l Mohamed berkata pencapaian tersebut mengukuhkan lagi kepimpinan kumpulan dalam pasaran modal hutang dan menjadi peristiwa penting sempena ulang tahunnya ke-50 tahun ini.
“Kami akan terus berada di barisan hadapan dalam inovasi produk dan idea untuk pelanggan kami, dengan tumpuan kepada ESG.
Sebagai bank pelaburan tempatan pertama yang menubuhkan pasukan Kewangan Mampan yang berdedikasi pada tahun 2021, kami komited sepenuhnya untuk menyokong perjalanan peralihan pelanggan kami.
“Untuk tahun ini, kami terus melihat permintaan kukuh daripada pelabur untuk tawaran kemampanan dan menjangkakan syarikat korporat akan terus memanfaatkan pasaran modal memandangkan kecairan mencukupi, ketelusan harga lebih baik dan keupayaan untuk melabur dalam jangka panjang untuk dipadankan kepada aliran tunai mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. -DagangNews.com








