KUALA LUMPUR 31 Mac - ManagePay Systems Bhd telah menandatangani lembaran terma dengan Eddid Financial Holdings Ltd berpangkalan di Hong Kong untuk membentuk usaha sama (JV).
JV tersebut adalah untuk memohon lesen perkhidmatan pasaran modal (CMSL), serta melancarkan dan memasarkan aplikasi dagangan Eddid ONE.
Kedua-dua syarikat akan memeterai perjanjian muktamad JV dalam tempoh tiga bulan, kata kumpulan tersenarai Pasaran ACE itu dalam maklumannya di Bursa Malaysia.
ManagePay berkata Eddid akan menyediakan semua maklumat dan dokumentasi diperlukan oleh badan kawal selia Malaysia untuk membantu JV mendapatkan CMSL serta menyediakan semua sokongan teknikal dan komersial diperlukan dan munasabah seperti yang diminta oleh kumpulan itu.
“ManagePay akan memulakan proses permohonan dengan badan kawal selia Malaysia termasuk, tetapi tidak terhad, kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) untuk permohonan CMSL dan menyediakan sokongan undang-undang dan pematuhan seperti yang diminta oleh Eddid dan JV,” tambahnya.
Pada Disember tahun lepas, ManagePay dan Eddid menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk kerjasama pelancaran dan pemasaran aplikasi mudah alih dagangan sekuriti berasaskan internet, Eddid ONE.
Eddid terlibat dalam perdagangan sekuriti dan niaga hadapan, perdagangan pertukaran asing, pengurusan aset dan teknologi kewangan.
Saham dalam ManagePay kekal pada 11.5 sen setakat 10 pagi hari ini, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran RM99.06 juta. -DagangNews.com








