KUALA LUMPUR 16 Jun - Malaysia memerlukan dasar baharu bagi yang boleh membawa perubahan kepada ekonomi negara sekali gus memelihara kesejahteraan rakyat terutamanya golongan isi rumah dan perniagaan yang mudah terjejas, demikian menurut AmInvestment Bank Research.
Firma penyelidikan itu mengulas kedudukan Malaysia yang jatuh 7 anak tangga dalam Kedudukan Daya Saing Dunia (WCR) Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) 2022 yang diumumkan semalam.
Dalam kedudukan terbaharu itu, Malaysia berada di kedudukan ke-32, berbanding kedudukan ke-25 yang direkodkan pada 2021.
AmInvestment menegaskan, Malaysia akan gagal sekiranya tiada pembaharuan yang menyeluruh dan berani dilaksanakan.
"Kita berada di persimpangan dan masa menjadi penentunya. Hakikatnya, kita memerlukan dasar yang boleh menggalakkan perniagaan dan mengembalikan keyakinan pelabur dan rakyat terhadap institusi kerajaan.
"Kerajaan juga perlu membawa kemakmuran dalam sistem ekonomi negara," katanya dalam nota kajian hari ini.
Menurut Pusat Daya Saing Dunia (WCC) IMD, Thailand merosot ke tangga 33 kali ini berbanding 28 pada 2021 manakala Indonesia di kedudukan ke-44 berbanding 37 sebelum ini.
Penurunan prestasi ini disebabkan pembukaan semula ekonomi yang perlahan pasca-COVID-19 berbanding Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS).
Rantau Asia juga menyaksikan kedudukan China turun 1 tangga kepada 17 daripada 16, menongkah aliran meningkat kukuh yang dicatatkan negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menunjukkan pemulihan ekonomi yang buruk dijejaskan lagi oleh strategi sifar COVID-19.
Melangkah ke hadapan, jelas WCC, China perlu menstrukturkan semula ekonomi daripada pembuatan kepada perkhidmatan bernilai tinggi dan daripada pelaburan kepada penggunaan. - DagangNews.com








