Malacca Securities unjur Econpile berada di landasan tepat untuk kembali mencatatkan keuntungan | DagangNews Skip to main content

Malacca Securities unjur Econpile berada di landasan tepat untuk kembali mencatatkan keuntungan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Jun - Malacca Securities mengunjurkan Econpile Holdings Berhad berada di landasan tepat untuk kembali mencatatkan keuntungan pada suku-suku akan datang.

 

Firma itu berkata, situasi kekurangan pekerja juga sudah mula menunjukkan peningkatan dan ia akan membantu mempercepatkan proses pelaksanaan projek dan seterusnya membolehkan kumpulan itu menjalankan projek tambahan secara serentak.

 

"Bagaimanapun, kami tetap berhati-hati dengan kos bahan binaan yang tinggi yang mungkin mengekalkan margin terkawal," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu berjaya meraih kontrak bernilai AS$9.5 juta (RM43.8 juta) untuk projek pembangunan di Kemboja.

 

Kumpulan menerusi anak syarikatnya iaitu Global Piling Solutions Co Ltd memperoleh kontrak untuk Odom Living Co Ltd bagi pembangunan Odom di Norodom Boulevard, Sangkat Tonle Bassac, Phnom Penh.

 

Kontrak itu adalah bagi menjalankan kerja cerucuk dan dinding diafragma dengan tempoh projek selama 248 hari bermula 1 Jun 2023.

 

Firma itu berkata, walaupun terdapat penambahan tempahan yang lebih kukuh daripada jangkaan, mereka tidak membuat sebarang perubahan pada unjuran pendapatan kumpulan.

 

Katanya, kejayaan kontrak baharu itu hanya akan memberi sumbangan bermula FY24 dan seterusnya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) RM0.16 sesaham. - DagangNews.com