KUALA LUMPUR 27 Mac - Malacca Securities menaikkan unjuran pendapatan Nova Wellness Group Bhd bagi tahun kewangan 2023 dan 2024 (FY23-24) masing-masing sebanyak 2.6% dan 3.4% kepada RM17.4 juta dan RM19.3 juta manakala pendapatan tahun kewangan 2025 (FY25) kekal pada RM21 juta.
Unjuran pendapatan itu bersandarkan jangkaan firma terhadap segmen jenama kumpulan yang mencatatkan peningkatan progresif pengedar, di mana firma itu menjangkakan peningkatan ke arah jumlah sasaran 1,200 pengedar menjelang FY25 akan berterusan di samping pemacu pertumbuhannya maju ke hadapan.
Pada separuh pertama tahun 2023 (1H23), produk Nova dijual di hampir 1,000 farmasi runcit bebas di seluruh Malaysia, merekodkan peningkatan 40% daripada 960 pengedar pada tahun kewangan 2022 (FY22).
Di samping itu, pertumbuhan kumpulan juga dijangka menyederhana dalam separuh kedua tahun ini (2H23) berikutan persekitaran inflasi dan peningkatan prestasi secara beransur-ansur menjelang FY24 dan FY25.
Menurut firma penyelidikan itu, kumpulan itu mengekalkan tumpuan kepada segmen jenamanya sendiri yang dilihat akan beransur meningkat, didorong oleh peningkatan bilangan pengedar, sumbangan tinggi daripada pengedar semasa dan pengembangan rangkaian produk, manakala pertumbuhan segmen pengeluaran produk asal (OEM) dijangka mendatar.
“Kami menjangkakan peningkatan dalam sumbangan setiap pengedar dipacu oleh pembelian pelanggan berulang dan baharu dengan penambahan kira-kira 550 pengedar sejak tahun kewangan 2020 (FY20),” katanya.
Selain produk nutraseutikal baharu, kumpulan itu juga sedang berusaha mempertingkatkan penawaran produk penjagaan kulitnya dengan pembinaan kilang fasa dua yang dijangka meningkatkan kapasiti pengeluarannya untuk produk penjagaan kulit.
Peningkatan permintaan terhadap produk nutraseutikal di Malaysia turut mendorong pertumbuhan.
“Menurut CMFE Research, pasaran nutraseutikal Malaysia diunjurkan mencecah AS$1.39 bilion menjelang 2027 daripada AS$794.4 juta pada 2020, mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) 8.2% pada 2020 hingga 2027,” katanya sambil menambah prospek jangka panjang industri kekal optimistik.
Bagaimanapun, kata firma itu, tekanan pada margin operasi dijangka berlaku akibat peningkatan kos jualan dan kos operasi dalam persekitaran inflasi, di mana kadar cukai untuk tiga tahun kewangan akan datang adalah sekitar 24 hingga 25%.
Malacca Securities menaik taraf saranan kepada ‘pegang’ daripada ‘jual’ dengan harga sasaran disemak semula sebanyak 85 sen. -DagangNews.com








