KUALA LUMPUR 3 Mei - Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PENGILANG) berpendapat cadangan menaikkan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) majikan kurang sesuai dilaksanakan dengan keadaan ekonomi ketika ini.
Presiden PENGILANG, Datuk Dr Azman Yusoff berkata, ini kerana majikan akan menanggung kesan-kesan akibat perubahan dasar itu, terutamanya majikan berstatus perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Katanya, kebanyakan majikan di Malaysia berdepan cabaran peningkatan kos operasi dan harga barang mentah.
"Majikan/syarikat SME dan peniaga kecil memerlukan bantuan dan sokongan kerajaan untuk bertahan demi kelangsungan perniagaan. Adalah tidak wajar pihak kerajaan menambah bebanan kos majikan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 1 Mei 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan cadangan untuk meningkatkan kadar caruman KWSP majikan daripada 13% kepada 20%.
Menurut Azman, majikan perlu membayar lebih banyak untuk caruman KWSP, yang menyebabkan kos operasi mereka meningkat.
Beliau berkata, ia juga boleh menyebabkan peningkatan harga untuk produk atau perkhidmatan mereka, yang boleh mengurangkan permintaan dan akhirnya merosakkan perniagaan.
"Dengan meningkatnya kos perniagaan, keuntungan perniagaan menurun. Ini boleh mengurangkan kemampuan perniagaan untuk melabur dalam pertumbuhan dan pembangunan, serta mencipta peluang pekerjaan baharu," katanya.

Katanya, peningkatan caruman KWSP majikan boleh membawa kepada penurunan gaji pekerja kerana majikan mungkin mengurangkan kos pekerjaan dengan cara menurunkan gaji pekerja atau tidak memberikan kenaikan gaji.
"Dengan penurunan gaji atau kehilangan pekerjaan, pekerja mungkin menghadapi masalah kewangan yang boleh memberi kesan negatif kepada kebolehupayaan mereka untuk menyumbang kepada ekonomi dan menyara keperluan asas mereka," katanya.
"Jika banyak perniagaan terjejas disebabkan peningkatan caruman KWSP majikan, ia boleh memberi kesan kepada ekonomi secara keseluruhan. Peningkatan kadar pengangguran dan penurunan pertumbuhan ekonomi mungkin berlaku jika banyak perniagaan terpaksa ditutup atau mengurangkan pekerja," katanya.
Tambah beliau, peningkatan caruman KWSP majikan juga boleh membawa beberapa kesan positif seperti peningkatan simpanan pekerja untuk keperluan persaraan dan mungkin menggalakkan penyertaan lebih banyak pekerja dalam skim KWSP.
"Oleh itu, kesan yang tepat bergantung kepada pelbagai faktor, termasuk keadaan ekonomi semasa, industri, dan aspek-aspek lain dalam dasar dan pelaksanaan peningkatan caruman KWSP majikan tersebut," katanya.
Pada masa sama, pihaknya berpendapat kerajaan seharusnya menumpukan kepada program pembangunan perniagaan PKS yang menyumbang kepada hampir 50% pekerjaan di Malaysia, yang mana syarikat berjaya akan memberi imbuhan setimpal.
"PENGILANG berharap pihak kerajaan akan bersidang bersama semua persatuan sebagai wakil industri untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas sebelum melaksanakan sebarang dasar yang mendatangkan kesan besar kepada industri pengilangan negara," katanya. - DagangNews.com








