MACO terima 487 komputer daripada MR DIY untuk disumbang kepada 10 sekolah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MACO terima 487 komputer daripada MR DIY untuk disumbang kepada 10 sekolah

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 30 Mac - MR DIY telah menyerahkan 487 komputer bernilai lebih RM480,000 kepada Medical Awareness Camp Outreach (MACO) bagi menyokong Program Pemerkasaan Komputer untuk dimanfaatkan oleh 10 sekolah di Semenanjung Malaysia.

 

Mengambil berat mengenai keperluan kemahiran komputer untuk pelajar membuat tugasan dari kajian hingga menyediakan kertas kajian dan pembentangan serta membuat permohonan pengajian di universiti dan mendapatkan pekerjaan, MR DIY tampil memberi sumbangan tersebut.

 

“Inisiatif ini menjadikan komputer lebih mudah diakses oleh golongan kurang berkemampuan untuk mengembangkan dan mempraktikkan pengetahuan literasi digital mereka.

 

 

mr diy maco

 

 

Ini hanyalah salah satu daripada banyak lagi usaha yang kami jalankan untuk menghasilkan impak yang positif dalam kehidupan rakyat Malaysia,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

 

Kesemua komputer tersebut telah diperoleh dari ibu pejabat MR DIY di Seri Kembangan dan cawangan-cawangannya di seluruh negara yang dibaik pulih oleh Jabatan IT syarikat.

 

Hasil usaha mereka, 10 sekolah telah menerima set komputer dibaik pulih yang lengkap termasuk Unit Pemprosesan Pusat (CPU), monitor, papan kekunci, dan aksesori.

 

 

sekolah

 

 

MACO merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada para doktor pakar dan sukarelawan bukan perubatan yang menyediakan perkhidmatan perubatan percuma, hidangan makanan, bantuan makanan, dan komputer dibaik pulih kepada golongan kurang berkemampuan.

 

“MACO mempunyai platform untuk mengenal pasti dan menghubungi para pelajar yang memerlukan, sementara MR DIY mempunyai sumber untuk menjadikan matlamat mereka suatu kenyataan,” tambahnya.

 

Ini merupakan kerjasama MR DIY dan MACO yang kedua dalam inisiatif seperti ini, di mana pada bulan April 2022, NGO tersebut telah membaik pulih lebih 2,000 set komputer untuk melengkapkan makmal komputer di sekolah-sekolah dengan sebahagian daripadanya diperoleh daripada syarikat tersebut dengan sokongan Jabatan IT. -DagangNews.com