MAA Group jual keseluruhan 58% pegangan dalam Turiya pada harga RM52.86 juta | DagangNews Skip to main content

MAA Group jual keseluruhan 58% pegangan dalam Turiya pada harga RM52.86 juta

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 26 April - MAA Group Bhd telah mencadangkan untuk melupuskan keseluruhan 57.78% kepentingan ekuitinya yang dipegang dalam Turiya Bhd dengan wang tunai RM52.86 juta.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, MAA berkata ia telah memeterai perjanjian jual beli saham (SSPA) dengan Khidmat Kejora Sdn Bhd (KKSB) dan Neo Pixel Sdn Bhd (NPSB) untuk penjualan 132.1 juta saham dalam Turiya pada harga tunai balasan RM0.40 sesaham jualan atau jumlah balasan RM52.86 juta.

 

MAA berkata cadangan pelupusan itu mewakili peluang terbaik bagi kumpulan itu untuk membuka kunci dan merealisasikan nilai pelaburannya dalam Turiya pada harga pelupusan.

 

Ini akan membolehkan kumpulan memperuntukkan semula dana daripada pelupusan untuk pelaburan dalam usaha niaga sedia ada atau baharu, pemerolehan dan keperluan modal kerja am.

 

 

turiya

 

 

“Melangkah ke hadapan, tumpuan utama kumpulan akan kekal pada pembangunan perniagaan sedia ada, khususnya pendidikan, perkhidmatan hospitaliti, pawagam, pinjaman wang dan/atau segmen perkhidmatan pemfaktoran hutang dan perniagaan/pelaburan baharu lain yang mungkin diperoleh oleh MAA Group.

 

"Kumpulan itu akan terus meningkatkan prestasi dan mempercepatkan pertumbuhan masa depan perniagaan ini," katanya. - DagangNews.com