Lotte Chemical Titan dapat kebenaran serahkan projek RM6.8 bilion kepada LCE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lotte Chemical Titan dapat kebenaran serahkan projek RM6.8 bilion kepada LCE

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 16 Dis - Lotte Chemical Titan Holding Bhd. (LCT) mendapat kelulusan untuk menganugerahkan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) bagi projek kemudahan kompleks dan loji hiliran Lotte Chemical Indonesia New Ethylene (LINE) kepada Lotte Engineering & Construction Co., Ltd. (LEC) yang berpangkalan di Korea. 

 

Cadangan bagi kerja-kerja EPC yang dilaksanakan LEC itu bernilai hampir AS$1.65 bilion atau menyamai RM6.8 bilion. 

 

Memandangkan pemberian projek kepada LEC adalah dalam bidang urus niaga pihak berkaitan, syarikat telah meminta kelulusan pemegang saham minoriti untuk cadangan tersebut melalui pengundian yang dijalankan semasa Mesyuarat Agung Luar Biasa yang diadakan hari ini.

 

Sebelum ini, LCT mengumumkan ia akan melaksanakan pembinaan pengembangan projek LINE berskala besar di Merak, Cilegon, Wilayah Banten, Indonesia. 

 

Projek LINE merupakan usaha sama dengan syarikat induknya, Lotte Chemical Corp., akan berfungsi sebagai pemacu pengembangan utama syarikat dengan sasaran untuk mengukuhkan kedudukan sebagai syarikat petrokimia teratas di rantau Asia Tenggara apabila siap.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif LCT, Park Hyun Chul berkata, pembiayaan projek ini adalah berdasarkan kepada struktur 60:40 hutang kepada ekuiti dan syarikat merancang untuk menggunakan dana dalaman bagi pembiayaan ekuiti pada 51% kepentingan yang dimiliki dalam usaha sama itu. 

 

Katanya, kedudukan tunai bersih melebihi RM5 bilion setakat 30 September 2021, adalah mencukupi untuk menyediakan pembiayaan ekuiti syarikat, berjumlah hampir AS$608 juta (RM3.3 bilion).

 

"Dalam hal ini, syarikat tidak perlu mengumpul modal dalam bentuk tambahan pembiayaan ekuiti daripada pemegang saham. Bahagian hutang bagi kos pembangunan adalah dalam bentuk pembiayaan projek, yang dijangka mampan apabila projek LINE ini siap. 

 

"Dengan pembiayaan projek, syarikat kami akan mempunyai nisbah gearan dianggarkan pada 0.84 kali daripada kedudukan bersih tunai. 

 

"Projek ini akan menyediakan penciptaan nilai tambahan kepada pemegang saham kami kerana mereka mendapat manfaat daripada asas kapasiti pengeluaran syarikat yang diperbesarkan," katanya dalam kenyataan hari ini.  

 

Projek LINE yang melibatkan pelaburan sekitar AS$3.95 bilion (kira-kira RM17 bilion), dijangka memulakan pembinaan tahun hadapan dan dijangka siap menjelang 2025. 

 

Ia merangkumi pembangunan kemudahan petrokimia bersepadu dengan pelbagai loji petrokimia hiliran. - DagangNews.com