Loji WTE dijangka tingkat pendapatan Cypark Resources pada 6QFY23 – PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Loji WTE dijangka tingkat pendapatan Cypark Resources pada 6QFY23 – PublicInvest

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 3 April – Pentauliahan loji sisa kepada tenaga (WTE) Cypark Resources Berhad (Cypark) dijangka menyumbang kepada peningkatan pendapatan sepenuhnya pada suku keenam tahun kewangan 2023 (6QFY23), kata Public Investment Bank Research (PublicInvest).

 

Firma itu berkata loji WTE telah mencapai operasi komersial pada Disember 2022 dan telah mula mengiktiraf penjualan tenaga namun sumbangannya kekal minimum dan tidak dapat mengimbangi ketiadaan hasil daripada segmen pembinaan dan kejuruteraan pada 5QFY23.

 

“Kami menjangkakan untuk melihat sumbangan suku penuh pada suku keenam tahun kewangan 2023 (6QFY23), di mana loji berkapasiti terpasang 19.73MW tersebut akan menyumbang pendapatan bagi 16 tahun akan datang,” jelasnya dalam nota hari ini.

 

Selain itu, kejayaan loji yang terletak di Ladang Tanah Marah (LTM) itu akan meningkatkan rekod prestasinya dan boleh mengukuhkan kedudukannya dalam dua tender WTE di Johor dan Melaka sebagai sebahagian daripada lima tender dalam pelan pelaksanaan WTE seluruh negara.

 

Syarikat itu menjangkakan kapasiti loji WTE Cypark pada masa hadapan adalah antara 15MW dan 25MW dengan perbelanjaan modal yang dijangka melebihi RM500 juta bagi setiap loji.

 

Aktiviti pengumpulan dana syarikat itu sejak 2020 juga dijangka tamat memandangkan loji WTE sudah beroperasi dan baki RM30 juta daripada penempatan persendirian diperuntuk bagi projek Solar Skala Besar 2 Danau Tok Uban (DTU LSS2) mencukupi sehingga ia mencapai operasi komersial pada Mei 2023.

 

Bagaimanapun, firma itu menurunkan taraf saranan Cypark daripada ‘outperform’ kepada ‘neutral’ susulan keuntungan bersih yang lemah pada suku kelima tahun kewangan 2023 (5QFY23) dan pencairan daripada penempatan persendirian baru-baru ini.

 

Firma itu berkata pendapatan syarikat sebanyak RM32.9 juta pada 5QFY23 adalah rendah, merosot 32% suku ke suku (QoQ) berikutan ketiadaan sumbangan segmen pembinaan dan kejuruteraan disebabkan kebanyakan projek telah dihentikan secara berperingkat daripada fasa pembinaan.

 

“Bagaimanapun, teras keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) syarikat itu meningkat 78.4% daripada RM1.7 juta kepada RM3 juta pada asas suku ke suku (QoQ),” katanya dalam nota hari ini.

 

Di samping itu, disebabkan tahun fiskal diubah kepada April 2023 dari Oktober 2022, tiada perbandingan dibuat pada asas tahun ke tahun (YoY).

 

Menurut firma itu, teras PATAMI Cypark hanya memenuhi 3.8% daripada anggarannya.

 

PublicInvest turut menurunkan harga sasaran (TP) sebanyak 63 sen sesaham daripada 85 sen. -DagangNews.com