KUSEL sumbang kelengkapan Hari Raya kepada warga emas, anak yatim Pusat Jagaan Pertubuhan Baitul Rahmah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KUSEL sumbang kelengkapan Hari Raya kepada warga emas, anak yatim Pusat Jagaan Pertubuhan Baitul Rahmah

Khairul Azmi Misran (tengah) menyampaikan sumbangan kelengkapan Hari Raya kepada salah seorang anak yatim dari Pusat Jagaan Pertubuhan Baitul Rahmah.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 April - Koridor Utiliti Selangor Sdn. Bhd. (KUSEL) menyumbang sebanyak RM2,000, termasuk kelengkapan persiapan raya kepada Pusat Jagaan Pertubuhan Baitul Rahmah sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

 

Majlis tersebut telah berlangsung dengan kerjasama Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, baru-baru ini.

 

Pengarah Urusan KUSEL, Khairul Azmi Misran berkata, penerima terdiri daripada 15 penghuni warga emas, 50 anak yatim dan 12 penjaga diraikan menerusi sumbangan berupa baju kurung, baju melayu, tudung, kain samping, jubah, telekung, sejadah, duit raya serta juadah raya.

 

Katanya, Syawal adalah bulan yang dinanti-nantikan seluruh umat Islam dan tiada siapa yang berhak tercicir dalam meraikan bulan kemenangan ini. 

 

"Justeru, adalah menjadi harapan KUSEL agar sumbangan yang telah disampaikan dapat memberi sinar kebahagiaan dan keceriaan kepada penghuni warga emas serta anak yatim Pusat Jagaan Pertubuhan Baitul Rahmah sempena lebaran yang menjelang tiba," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Turut hadir pada program berkenaan, ADUN Rawang, Chua Wei Kiat.

 

KUSEL ialah sebuah organisasi milikan penuh Kerajaan Negeri Selangor menerusi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) yang prihatin terhadap kebajikan rakyat, khususnya di negeri itu.

 

 

kusel
KUSEL turut menyumbang sumbangan sebanyak RM2,000 kepada Pusat Jagaan Pertubuhan Baitul Rahmah.

 

 

kusel

 

 

Pihaknya telah menyempurnakan beberapa siri serahan sumbangan termasuk persiapan menghadapi musibah bencana banjir, serta membantu golongan memerlukan bagi memberikan mereka pengalaman meraikan Hari Raya Aidilfitri yang lebih bermakna. - DagangNews.com