KUALA LUMPUR 18 Mac - Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memastikan inisiatif di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) dapat direalisasikan dan memberi manfaat kepada golongan sasaran.
Malah, kementerian itu akan terus komited terhadap tanggungjawab yang diamanahkan khususnya dalam menangani cabaran dan implikasi wabak pandemik COVID-19 terhadap pasaran buruh.
Menurut, beberapa hasil kejayaan telah dicapai oleh kementerian melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi membantu golongan yang kehilangan pendapatan dan pekerjaan akibat wabak itu.
"Walaupun Program Subsidi Upah (PSU) telah berjaya membantu 2.7 juta pekerja dan lebih daripada 330,000 majikan, namun masih terdapat sektor yang terkesan akibat COVID-19.
"Sehubungan itu, PSU 3.0 akan dilanjutkan dengan peruntukan RM700 juta selama 3 bulan lagi secara lebih bersasar terutama membabitkan sektor pelancongan, perdagangan borong dan runcit, pusat sukan gimnasium dan spa yang akan memanfaatkan 400,000 pekerja dan 37,000 majikan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej Pemerkasa bernilai RM20 bilion bagi memulih dan memperkasa semula ekonomi negara tahun ini.
Pemerkasa menggariskan 5 fokus utama dengan tumpuan kepada 20 inisiatif strategik sebagai penggerak untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan.
KSM secara khusus terlibat dalam fokus kedua iaitu Memacu Pemulihan Ekonomi melalui inisiatif ketujuh, Pengekalan Pekerjaan dan Insentif Penggajian.
Pada suku keempat 2020, kadar pengangguran mencecah 4.8% berdasarkan Kajian Pasaran Buruh yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
Oleh itu, kerajaan telah menambah baik program Penjana Kerjaya 2.0 dengan memperluaskan skop insentif pengambilan pekerja meliputi pekerjaan sementara dan pekerjaan gig.
"Antara inisiatif ini termasuklah peruntukan RM300 juta yang akan memanfaatkan 60,000 pekerja, yang mana setiap pekerja akan menerima RM600 sebulan bagi tempoh maksimum 6 bulan.
"Majikan yang menawarkan pekerjaan jangka pendek ataupun platform penyedia perkhidmatan gig yang berdaftar dengan Perkeso akan menerima RM200 bagi setiap pekerja yang ditempatkan," katanya.
Selain itu, program perantisan di bawah Penjana Kerjaya turut ditambah baik di mana tempoh 3 bulan sebelum ini akan dilanjutkan selama 6 bulan dan pelatih yang mengikuti program ini akan diberi insentif sebanyak RM800.
Peruntukan sebanyak RM10 juta dalam bentuk dana padanan 70% bagi usahawan wanita dan wanita bekerja sendiri turut disediakan untuk pembiayaan caruman di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri Perkeso.
Menurut kementerian itu, beberapa inisiatif turut diperkenalkan oleh Pemerkasa melalui Perbadanan Sumber Manusia Berhad (HRDF) iaitu platform UpskillMalaysia dan Portal e-LATiH yang mengandungi lebih 300 kursus latihan dalam talian yang ditawarkan secara percuma kepada semua. - DagangNews.com








