Kontrak Datasonic bagi membekalkan kad mentah, rumusan berkaitan pasport akan disambung, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Kontrak Datasonic bagi membekalkan kad mentah, rumusan berkaitan pasport akan disambung, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Sept - RHB Investment optimis bahawa kontrak Datasonic Group Berhad bagi membekalkan kad pintar dan bahan habis pakai (tamat tempoh pada Mei) serta rumusan berkaitan pasport (tamat tempoh pada November) akan disambung.

 

Keyakinan itu adalah berdasarkan rekod prestasi cemerlang kumpulan itu selain penghantaran dokumen keselamatan negara tepat pada masanya.

 

Firma penyelidikan berkata, berdasarkan kepada permintaan tinggi untuk dokumen penting itu, Datasonic berpotensi besar untuk diberikan lanjutan kontrak bagi mengelakkan daripada menjejaskan tahap penyampaian perkhidmatan awam.

 

"Selain itu, kontrak i-Kad bernilai RM140 juta dijangka mula menyumbang kepada prestasi kumpulan dari Ogos hingga September dan seterusnya. Ia mungkin menjana keuntungan RM10 juta hingga RM15 juta bergantung kepada jumlah sebenar.

 

"Sementara itu, pelbagai perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan sistem autogate juga akan meningkatkan pendapatan kumpulan itu bagi FY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Keuntungan 1Q Datasonic meningkat didorong hasil lebih tinggi daripada pembekalan kad pintar, pasport 

 

Terdahulu, perolehan kumpulan itu meningkat 32.36% kepada RM84.82 juta daripada RM64.08 juta, dengan RM75.77 juta daripada jumlah itu diperoleh daripada pembekalan kad pintar, pasport dan perkhidmatan peribadi berbanding RM55.8 juta sebelum ini.

 

datasonic
Tengku Datuk Seri Abu Bakar Ahmad Tengku Abdullah

 

Pengerusi Eksekutif Datasonic, Tengku Datuk Seri Abu Bakar Ahmad Tengku Abdullah berkata, pihaknya gembira dapat mengekalkan momentum positif dengan memulakan tahun kewangan baharu dengan kukuh.

 

"Ini meletakkan Datasonic kembali ke trajektori pertumbuhan selepas mencatatkan pemulihan yang sihat pada tahun kewangan sebelumnya,” kata beliau dalam satu kenyataan, sebelum ini.

 

datasonic

 

RHB Investment berkata, prestasi 1QFY24 yang kukuh itu disokong oleh penghantaran cip pasport dan buku yang lebih tinggi, iaitu pada 710,00 unit (1QFY23: 500,000 unit), manakala halaman data polikarbonat berada pada 744,000 unit (adalah 681,000 unit).

 

Katanya, penghantaran MyKad dan bahan guna guna yang lebih tinggi sebanyak 927,000 dan 694,000 unit menyumbang kepada peningkatan margin keuntungan.

 

"Sementara itu, prestasi suku tahun ke suku tahun yang lebih perlahan adalah disebabkan oleh penyelesaian berkaitan pasport yang lebih rendah, sebahagiannya disokong oleh penghantaran MyKad yang lebih kukuh," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran 57 sen sesaham. - DagangNews.com