​​​​​​​Penyembuhan dari Luka Perang: Modul Psikologi Islam MERCY Malaysia di Syria | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

​​​​​​​Penyembuhan dari Luka Perang: Modul Psikologi Islam MERCY Malaysia di Syria

Syria kini dalam proses pemulihan sebenar setelah melalui perang saudara yang cukup lama. - Gambar hiasan
Oleh Dr RAZLI RAMLI

Sebagai Pengerusi Panel Syariah MERCY Malaysia, lawatan penulis ke Aleppo, Syria pada 29 September hingga 3 Oktober 2025 bersama Pengarah Eksekutif, Ahmad Faezal Mohamed, merupakan pengalaman yang amat menyentuh jiwa serta membuka pandangan terhadap makna sebenar kesembuhan, ketabahan dan keimanan.

 

Di bumi yang telah porak-peranda akibat perang panjang, penulis menyaksikan sendiri kesan psikologi yang mendalam terhadap rakyatnya — anak-anak yang kehilangan keluarga, wanita yang kehilangan tempat bergantung, serta lelaki yang kehilangan maruah dan sumber rezeki.


 

iktisad

 

iktisad
(Artikel ini merupakan hasil pemerhatian dan refleksi Dr. Razli Ramli sebagai Pengerusi Panel Syariah MERCY Malaysia dalam usaha membantu MERCY Malaysia membangunkan modul psikologi Islam bagi pemulihan rakyat Syria pasca-perang)

 


Dalam banyak keadaan, trauma yang dialami bukan sahaja bersifat fizikal, tetapi juga spiritual dan emosi. Ada antara mereka berada dalam keadaan putus harapan, malah ada yang mula mempertikaikan takdir serta kasih sayang Allah terhadap diri mereka.

 

Realiti ini menggambarkan betapa pentingnya pendekatan pemulihan yang berasaskan nilai keimanan dan maqasid syariah bagi memulihkan semangat serta hubungan mereka dengan Allah SWT.

 

Pemerhatian lapangan ini menjadi asas kepada pembangunan Islamic Psychological Training Module: Post-Disaster Recovery for Syrian Communities, yang berhasrat menangani luka jiwa pasca-perang melalui pendekatan psikologi Islam.

 

Maqasid Syariah

Modul ini dibangunkan berpaksikan lima prinsip maqasid syariah — hifz al-din (memelihara agama), hifz al-nafs (memelihara nyawa), hifz al-‘aql (memelihara akal), hifz al-nasl (memelihara keturunan) dan hifz al-mal (memelihara harta).

 

Setiap komponen modul direka untuk memenuhi keperluan holistik manusia — mengembalikan keseimbangan spiritual, mental, sosial dan ekonomi. Prinsip dar’ al-mafsadah (mengelak kemudaratan) dan jalb al-maslahah (mendatangkan manfaat) dijadikan panduan utama agar usaha pemulihan bukan sahaja menyembuhkan trauma, tetapi juga mengembalikan nilai kehidupan, maruah dan kebahagiaan (sa‘adah) rakyat Syria.

 

Ketika di lapangan, penulis amat terkesan dengan komitmen serta keikhlasan pasukan MERCY Malaysia yang menjalankan sesi perbincangan, temu bual dan focus group discussion (FGD) bersama mangsa perang, pemimpin tempatan dan sukarelawan.

 

 

iktisad

 

 

Berdasarkan dapatan tersebut, jelas bahawa bantuan fizikal semata-mata tidak mencukupi. Masyarakat memerlukan pemulihan rohani dan psikososial yang mampu mengembalikan makna hidup serta kekuatan iman.

 

Inilah justifikasi kepada keperluan modul psikologi Islam yang menekankan hubungan antara iman dan penyembuhan (faith-based healing). Modul ini disusun selaras dengan Resilient Resettlement Model (RRM) yang diperkenalkan oleh MERCY Malaysia, berteraskan konsep Build Back Better, Bounce Back Faster dan Strengthen Risk Reduction.

 

Pendekatan ini mengubah proses pemulihan pasca-bencana daripada sekadar membina semula struktur fizikal kepada memperbaharui kekuatan jiwa dan spiritual.

 

Struktur latihan tiga hari ini dibina dengan tema utama berpaksikan lima maqasid syariah. Hari pertama memberi tumpuan kepada pemulihan iman dan akal melalui modul bertemakan Healing the Soul and Mind.

 

Peserta diajar tentang makna trauma menurut perspektif Islam, diikuti latihan refleksi diri berasaskan konsep tawakkul, sabr dan shukr sebagai mekanisme penyembuhan dalaman. Aktiviti seperti zikir, doa dan penulisan jurnal rohani membantu peserta mencari semula kedamaian melalui pengingatan kepada Allah.

 

Hari kedua pula menumpukan kepada kekuatan keluarga dan komuniti dengan pendekatan Community as Therapy, di mana peserta dilatih mengadakan healing circles, terapi bermain untuk kanak-kanak serta aktiviti berasaskan prinsip ta‘awun (tolong-menolong) dan rahmah (kasih sayang).

 

Hari ketiga melibatkan elemen hifz al-mal dan kepimpinan komuniti yang menekankan peranan ekonomi serta tadbir urus Islam dalam proses pemulihan jangka panjang, termasuk kesedaran tentang zakat, wakaf dan konsep Build Back Better berasaskan etika maqasid.


 

iktisad

 


Modul ini turut dirancang agar selari dengan rangka kerja antarabangsa seperti Sendai Framework for Disaster Risk Reduction 2030 (SFDRR) dan model Resilient Resettlement. Integrasi antara prinsip Islam dan kerangka kemanusiaan global menjadikan program ini relevan serta diterima di peringkat antarabangsa.

 

Justeru, ia bukan sahaja menyasarkan pemulihan jiwa rakyat Syria, tetapi juga menjadi model baharu bagi dunia Islam dalam melaksanakan intervensi psikologi berasaskan iman.

 

Ia menunjukkan bahawa pendekatan Islam tidak bercanggah dengan prinsip sains moden, sebaliknya melengkapinya melalui nilai spiritual yang memberi makna lebih mendalam kepada proses penyembuhan.

 

Berasaskan Keimanan

Sebagai cadangan strategik, MERCY Malaysia perlu memposisikan modul ini sebagai satu inisiatif faith-based yet evidence-driven — yakni berasaskan keimanan tetapi disokong oleh data empirikal. Ini boleh dicapai dengan mendokumentasikan dapatan lapangan, kisah peserta serta hasil perubahan yang dapat diukur seperti peningkatan kesejahteraan mental, hubungan kekeluargaan dan ketahanan komuniti.

 

Penerbitan laporan impak, video dokumentari dan testimoni penerima manfaat boleh mengukuhkan kepercayaan penderma serta rakan antarabangsa. Dalam masa yang sama, kerjasama dengan institusi akademik, institusi kewangan Islam dan agensi pembangunan serantau boleh memperkukuh kredibiliti dan kelestarian projek ini.

 

Akhirnya, pengalaman di Aleppo menyedarkan penulis bahawa penyembuhan sejati bermula daripada jiwa yang kembali kepada Allah. Trauma peperangan bukan sekadar luka zahir tetapi krisis rohani yang menuntut pendekatan penyembuhan berpaksikan tauhid dan maqasid syariah.

 

Modul ini bukan sahaja menawarkan terapi psikologi, tetapi juga membawa sinar harapan bahawa setiap penderitaan mampu menjadi jalan menuju kekuatan serta keimanan yang lebih mendalam.

 

Inisiatif ini menzahirkan komitmen MERCY Malaysia dalam mengangkat nilai kemanusiaan sejagat melalui lensa Islam, serta membuktikan bahawa maqasid syariah mampu menjadi panduan utama dalam membina kembali jiwa, keluarga dan komuniti yang hancur akibat peperangan — menuju kebahagiaan di dunia dan kesejahteraan di akhirat.

 

Dalam konteks ini, masyarakat Malaysia juga perlu mengambil iktibar daripada penderitaan rakyat Syria. Kedamaian, kestabilan dan kesejahteraan yang kita nikmati hari ini bukan sesuatu yang kekal tanpa usaha memeliharanya.

 

Perpecahan, kebencian dan hilangnya kasih sayang antara sesama insan boleh menjadi punca kemusnahan seperti yang menimpa Syria. Oleh itu, semangat ta‘awun dan ukhuwah Islamiah harus sentiasa disemai dalam masyarakat Malaysia agar kita kekal bersatu, menghargai keamanan serta menolak sebarang bentuk ekstremisme dan kebencian yang boleh mengancam keharmonian negara.


 

iktisad

 


Sokong usaha MERCY Malaysia

Penulis turut menyeru rakyat Malaysia untuk terus menyokong usaha kemanusiaan MERCY Malaysia, khususnya dalam program pemulihan rakyat Syria.

 

Sumbangan dalam bentuk kewangan, kepakaran dan doa memainkan peranan penting dalam memastikan inisiatif seperti Islamic Psychological Training Module ini dapat dilaksanakan dengan berkesan.

 

Setiap ringgit yang disumbangkan bukan sekadar bantuan material, tetapi satu bentuk ibadah yang menyumbang kepada pemeliharaan hifz al-nafs dan hifz al-din bagi mereka yang sedang menderita.

 

Dengan semangat kasih sesama insan dan keikhlasan memberi, kita bukan sahaja membantu membina kembali Syria, tetapi juga memperkukuh nilai kemanusiaan serta keimanan dalam diri sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan penuh rasa syukur atas nikmat kedamaian yang Allah kurniakan. - DagangNews.com

 

 
iktisad
Dr Razli Ramli adalah Ketua Strategi dan Pengurusan Risiko yang juga Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) UTM dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di UIAM

 


utm

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD