Patuh kepada penyelia kunci kepada kelulusan cemerlang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Patuh kepada penyelia kunci kepada kelulusan cemerlang

Oleh Dr RAZLI RAMLI

Menjalani pengajian kedoktoran seperti PhD atau DBA bukanlah sekadar menyiapkan disertasi, tetapi satu proses pembentukan diri sebagai penyelidik yang matang dan berdisiplin.

 

Baru-baru ini, penulis telah didatangi oleh seorang pelajar Program APEL.Q Doctorate in Business Administration (DBA), Azman Hashim International Business School (AHIBS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang menyuarakan kegusaran selepas bertemu dengan seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai "pakar PhD" dan memberikan komen bahawa deraf disertasinya, yang berbentuk action research, adalah tidak berkualiti dan tidak memenuhi piawaian akademik.

 

Seorang penyelia bukan sekadar pensyarah atau pemberi markah, tetapi merupakan individu yang memainkan peranan penting sebagai mentor ilmiah dalam perjalanan penyelidikan pelajar.

 

Mereka adalah pakar dalam bidang masing-masing yang telah melalui cabaran dan rintangan yang sama sewaktu melengkapkan pengajian terdahulu.

 

Dengan pengalaman bertahun-tahun dalam dunia penyelidikan, rangkaian akademik yang luas, dan kefahaman mendalam terhadap metodologi, proses penerbitan, serta potensi halangan dalam dunia akademik, mereka memiliki keupayaan untuk membimbing pelajar menuju kejayaan penyelidikan secara sistematik dan berstrategi.

 

 

Terdapat beberapa sebab penting mengapa pelajar perlu mematuhi nasihat dan tunjuk ajar daripada penyelia utama mereka.

 

1. Ia dapat mengelakkan kesilapan dalam aspek metodologi kerana penyelia berpengalaman luas dalam menentukan kaedah yang paling sesuai untuk eksperimen atau analisis data.

2. Mengikuti perancangan penyelia dapat mempercepatkan proses pengajian, sekali gus mengelakkan pembaziran masa mencuba pendekatan yang kurang berkesan.

3. Nasihat penyelia juga mampu meningkatkan peluang penerbitan, kerana mereka tahu jurnal yang tepat dan gaya penulisan akademik yang diterima oleh penerbit.

 

Kajian menunjukkan bahawa pelajar yang akur dan berdisiplin dalam mengikuti arahan penyelia mempunyai kadar kelulusan yang jauh lebih tinggi berbanding mereka yang sering berubah haluan atau terpengaruh dengan pendapat luar yang tidak rasmi.

 

Kepatuhan terhadap penyelia bukan bermaksud mengikut secara membuta tuli, tetapi menunjukkan kematangan akademik dalam menghormati kepakaran serta proses yang telah terbukti berkesan.

 

Ini adalah salah satu kunci utama kejayaan dalam pengajian peringkat tertinggi.

 

Oleh yang demikian, sebagai pensyarah dan penyelia berpengalaman, penulis menasihatkan pelajar tersebut agar tidak mudah terpengaruh dengan pandangan luar yang tidak rasmi.

 

Dalam konteks pengajian Program APEL.Q di UTM, setiap pelajar telah disediakan penyelia rasmi yang dilantik berdasarkan kepakaran dan pengalaman dalam bidang penyelidikan yang relevan.

 

Justeru, rujukan dan panduan utama mestilah datang daripada penyelia yang dilantik oleh universiti, bukan daripada pihak luar yang tidak memahami keseluruhan kerangka penyelidikan, objektif, atau metodologi yang telah dipersetujui dalam pelan pengajian.

 

 

Pengabaian terhadap arahan dan bimbingan penyelia boleh menyebabkan pelajar tersasar dari landasan penyelidikan yang betul, sekali gus melambatkan kemajuan pengajian mereka.

 

Terdapat banyak kes di mana pelajar terlalu banyak mendengar pendapat luar sehingga gagal menyiapkan disertasi mengikut piawaian universiti.

 

Sebaliknya, pelajar yang setia dan yakin dengan bimbingan penyelia selalunya berjaya menamatkan pengajian dengan hasil yang cemerlang.

 

Ini kerana penyelia bukan sahaja memberikan panduan ilmiah, tetapi juga membantu memastikan disertasi memenuhi kriteria penilaian dalaman dan luaran universiti.

 

Tidak mengikuti nasihat penyelia utama boleh memberi kesan negatif yang besar kepada perjalanan pengajian pelajar.

 

Antara impaknya termasuk penundaan dalam proses penyelidikan, terutamanya jika pelajar mencuba kaedah lain tanpa berbincang terlebih dahulu dan akhirnya perlu mengulangi semula kerja yang telah dibuat.

 

Hal ini bukan sahaja membuang masa, malah mengurangkan motivasi. Lebih buruk lagi, ia boleh mencetuskan konflik dengan penyelia, yang akhirnya menjejaskan hubungan profesional dan sokongan yang sangat diperlukan sepanjang pengajian.

 

 

Lebih membimbangkan, kegagalan untuk mengikut pandangan penyelia yang berpengalaman boleh menyebabkan pelajar gagal dalam sesi proposal defense atau viva voce.

 

Sekiranya hujah pelajar tidak kukuh dan tidak disokong oleh pendekatan yang munasabah, panel penilai mungkin akan mempersoalkan mengapa pelajar mengabaikan panduan daripada penyelia yang pakar dalam bidang kajian pelajar. Akibatnya, hasil penyelidikan kelihatan tidak teratur dan tidak meyakinkan dari kaca mata penilai.

 

Sebagai pelajar, adalah lumrah untuk menerima pelbagai pandangan dan cadangan daripada pensyarah lain, rakan-rakan pelajar, atau individu yang ditemui semasa menghadiri seminar dan persidangan.

 

Namun begitu, pandangan-pandangan ini kadangkala bercanggah antara satu sama lain, hingga menyebabkan kekeliruan dalam membuat keputusan.

 

Sebagai contoh, apa yang disarankan oleh seorang pensyarah jemputan mungkin bertentangan dengan strategi yang telah dirancang oleh penyelia utama pelajar.

 

Dalam situasi seperti ini, adalah amat penting untuk merujuk semula kepada penyelia utama pelajar. Mereka lebih memahami keseluruhan konteks penyelidikan pelajar, termasuk latar belakang, objektif, dan hala tuju kajian yang telah dibincangkan sejak awal.

 

Mengambil terlalu banyak pandangan luar tanpa penilaian yang teliti boleh menyebabkan pelajar mengalami “analysis paralysis” yang bermaksud terlalu banyak pilihan sehingga sukar membuat keputusan dan akhirnya tidak bergerak ke mana-mana.

 

Maklum balas daripada pihak lain sememangnya berguna, namun ia harus dilihat sebagai nilai tambah, bukan pengganti kepada bimbingan penyelia utama pelajar.

 

Sekiranya terdapat cadangan yang dirasakan relevan, bawalah berbincang terlebih dahulu dengan penyelia pelajar sebelum membuat sebarang perubahan kepada metodologi atau penulisan disertasi.

 

Tindakan ini bukan sahaja menjaga keutuhan hubungan akademik, malah memastikan perjalanan pengajian pelajar kekal konsisten dan fokus.

 

 

Menunaikan ibadah haji memerlukan bimbingan mutawif agar jemaah tidak tersesat dalam perjalanan yang kompleks dan asing. Begitu juga dalam pengajian, penyelia utama ibarat mutawif yang memahami selok-belok laluan menuju kejayaan akademik.

 

Keyakinan terhadap pengalaman mereka sangat penting kerana setiap panduan diberikan berdasarkan pengalaman, kajian terdahulu, dan pertimbangan ilmiah yang mendalam.

 

Elakkan mencari “jalan pintas” atau terlalu bergantung pada ppelajarngan luar yang belum tentu sesuai dengan konteks penyelidikan pelajar.

 

Seperti jemaah haji yang fokus kepada satu mutawif untuk mengelak kekeliruan, pelajar juga perlu fokus kepada satu sumber utama bimbingan, penyelia pelajar sendiri.

 

Akhir kata, nasihat penulis kepada semua pelajar khususnya dari Program APEL.Q ialah untuk terus fokus, patuh dan percaya kepada tunjuk ajar penyelia masing-masing. Pandangan luar boleh dijadikan maklumat tambahan, tetapi bukan rujukan utama.

 

Kejayaan pengajian bukan terletak pada siapa yang kita dengar di luar sana, tetapi sejauh mana kita menghormati, memanfaatkan dan mengikut bimbingan ilmiah penyelia yang telah ditetapkan.

 

Sesungguhnya, jalan menuju kejayaan bermula dengan kepercayaan dan ketaatan kepada penyelia yang dilantik. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli adalah Ketua Strategi dan Pengurusan Risiko yang juga Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) UTM dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di UIAM dan merupakan Setiausaha Kehormat ARIF
 

 

 


utm

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD