MONEY CREATION akan terus berlaku selagi SRR, MFRS dipraktikkan: Satu Perbincangan Ilmiah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MONEY CREATION akan terus berlaku selagi SRR, MFRS dipraktikkan: Satu Perbincangan Ilmiah

Gambar ihsan Syed Adam Alhabshi
Oleh Dr RAZLI RAMLI

Pada 15–16 Julai 2025, Hong Leong Islamic Bank (HLISB) telah menghantar penulis menghadiri Muzakarah Cendikiawan Syariah Nusantara di Bangkok, Thailand. Penulis adalah ahli jawatankuasa Syariah HLISB.

 

Antara isu utama yang dibincangkan dalam Muzakarah adalah fenomena 'money creation' (penciptaan wang) yang diamalkan oleh sistem ekonomi konvensional sejak berabad-abad lamanya. 

 

Isu ini menimbulkan persoalan kritikal: Adakah mekanisme penciptaan wang melalui sistem perbankan riba ini boleh dihentikan, dan bagaimana ekonomi dunia boleh kembali kepada asas produktif sejajar dengan Maqasid Syariah?

 

Sistem kewangan global hari ini bergantung pada penciptaan wang melalui hutang oleh bank komersial, di mana wang baru dihasilkan tanpa sandaran aset produktif sebenar. Mekanisme ini mencetuskan ketidakstabilan ekonomi, inflasi, dan ketidaksamaan kekayaan.

 

Maqasid Syariah menekankan keadilan, keseimbangan, dan aktiviti ekonomi berasaskan nilai tambah sebenar (seperti pertanian, perindustrian, dan perdagangan adil). Sistem kewangan Islam menolak riba (faedah) dan spekulasi (gharar), sebaliknya menggalakkan pembiayaan berasaskan aset (seperti mudarabah, musyarakah).

 

 

iktisad

 

 

Para cendikiawan yang berkumpul di Muzakarah ini bersependapat bahawa dominasi sistem kewangan konvensional global menyukarkan peralihan kepada model ekonomi produktif Islam.

 

Ia memerlukan kerjasama antara ulama, ahli ekonomi, dan pembuat dasar untuk merangka mekanisme monetari alternatif yang selari dengan syariah. 

 

Mereka juga bersetuju bahawa ketergantungan kepada sistem wang fiat dan hutang menyebabkan krisis kewangan berulang, sedangkan ekonomi berteraskan Maqasid Syariah mampu menjana pertumbuhan mampan dan pengagihan kekayaan yang adil.

 

Dari sedikit imu yang penulis belajar, proses penciptaan wang merujuk kepada bagaimana wang dicipta dalam ekonomi, bukan sahaja oleh bank pusat tetapi juga oleh institusi kewangan lain, khususnya bank perdagangan.

 

SRR, MFRS

Dua mekanisme penting yang mempengaruhi proses ini ialah Statutory Reserve Requirement (SRR) dan Modified Framework for Rate Setting (MFRS).

 

SRR merujuk kepada kadar simpanan wajib yang perlu disimpan oleh bank perdagangan di bank pusat, manakala MFRS pula merupakan kerangka dasar monetari yang menentukan kadar faedah sasaran bagi mempengaruhi permintaan dan penawaran wang.

 

Gabungan kedua-dua dasar ini memainkan peranan penting dalam menentukan sejauh mana wang boleh dicipta dalam sistem perbankan.

 

Dari sudut SRR, semakin rendah kadar simpanan wajib yang ditetapkan oleh bank pusat, semakin banyak wang yang boleh dipinjamkan oleh bank perdagangan kepada sektor lain dalam ekonomi. Ini kerana bank hanya perlu menyimpan sebahagian kecil daripada deposit pelanggan mereka sebagai rizab, manakala selebihnya boleh digunakan untuk memberi pinjaman.

 

Proses ini dikenali sebagai fractional reserve banking, dan ia membolehkan penciptaan wang berganda melalui kitaran deposit dan pinjaman.

 

Oleh itu, selagi sistem rizab pecahan ini diamalkan melalui SRR, maka penciptaan wang akan terus berlaku dalam ekonomi.

 

 

iktisad

 

 

Sementara itu, MFRS pula memberi kesan kepada kadar faedah yang dikenakan ke atas pinjaman dan yang dibayar ke atas simpanan. Apabila kadar faedah rendah, individu dan firma lebih cenderung untuk meminjam, seterusnya meningkatkan jumlah pinjaman yang diberikan oleh bank. Ini mempercepatkan proses penciptaan wang melalui mekanisme pinjaman bank.

 

Dasar monetari yang longgar di bawah kerangka MFRS cenderung meningkatkan jumlah wang dalam edaran kerana ia merangsang pertumbuhan kredit dan perbelanjaan dalam ekonomi. Namun begitu, penciptaan wang yang tidak terkawal juga boleh membawa kepada risiko inflasi dan ketidakstabilan kewangan.

 

Oleh itu, peranan SRR dan MFRS bukan sahaja untuk membolehkan penciptaan wang tetapi juga untuk mengawal jumlahnya agar seimbang dengan pertumbuhan ekonomi.

 

Bank pusat perlu mengubahsuai SRR dan kadar faedah dari semasa ke semasa bagi memastikan kestabilan nilai mata wang dan kestabilan sistem kewangan secara keseluruhan. Ini menunjukkan bahawa walaupun money creation terus berlaku, ia tetap dikawal selia secara aktif.

 

Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Prof. Dato Dr Aznan Hasan menyimpulkan bahawa, selagi sistem perbankan moden masih beroperasi di bawah kerangka fractional reserve (SRR) dan dasar monetari berasaskan kadar faedah (MFRS), proses penciptaan wang akan terus berlaku.

 

Sistem Kewangan Berasaskan Aset

Walau begitu, penulis percaya dari sekarang usaha ke arah pengukuhan sistem kewangan berasaskan aset (Asset-Backed Financing)  bagi menggantikan riba harus dilaksana walaupun ia akan mengambil masa yang panjang.

 

Menggalakkan instrumen seperti mudarabah (perkongsian untung) dan musharakah (usaha sama) untuk memastikan wang dicipta melalui aktiviti ekonomi produktif (contoh: pertanian, perindustrian). Sukuk (bon Islam) yang disandarkan kepada aset fizikal boleh menjadi alternatif kepada bon konvensional, sekaligus mengurangkan ketergantungan kepada hutang ribawi.

 

Pembentukan rangka kerja monetari alternatif dengan mengadakan mata wang berasaskan komoditi perlu diperkenalkan. Antara usaha adalah memperkenalkan matawang yang disokong oleh komoditi sebenar (contoh: emas, perak) untuk mengurangkan turun naik nilai wang dan spekulasi. 

 

Malah, ada cadangan untuk mendigitalkan mata wang Islam melalui blockchain dan matawang digital berasaskan syariah (contoh: Islamic CBDC) boleh meningkatkan ketelusan dan mengurangkan gharar (ketidakpastian).

 

Kerjasama serantau Negara-negara OIC perlu diperkuat dalam mempelopori sistem pembayaran alternatif (contoh: Dinar Emas Nusantara) untuk mengurangkan dominasi dolar AS. 

 

 

iktisad

 

 

Sebagai seorang ahli akademik, penulis juga menyarankan perlu adanya integrasi kurikulum ekonomi Syariah di mana institusi pendidikan tinggi perlu memperkukuh modul berkaitan kewangan Islam, risiko riba, dan money creation untuk melahirkan generasi yang celik system. 

 

Juga, kempen kesedaran awam dengan kerjasama dengan ulama, ahli ekonomi, dan NGO untuk menerangkan bahaya sistem hutang berasaskan faedah kepada masyarakat harus berterusan.

 

Untuk mengukur sejauh mana impak usaha sebegini, disarankan juga ada penyelidikan antarabangsa untuk membangunkan indeks prestasi ekonomi berasaskan maqasid syariah (contoh: Indeks Kesejahteraan Sosial-Islam) untuk menilai keberkesanan transformasi.

 

Kesimpulan dari Muzakarah di Bangkok ini adalah transformasi sistem kewangan global ke arah maqasid syariah bukanlah proses mudah, tetapi ia adalah keperluan mendesak untuk mencapai kestabilan ekonomi dan keadilan sosial. 

 

Cadangan di atas menekankan pendekatan holistik melibatkan struktur kewangan, dasar monetari, dan pendidikan. Dengan komitmen kolektif, ekonomi dunia boleh beralih daripada paradigma money creation yang rapuh kepada model produktif dan beretika. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli adalah Ketua Strategi dan Pengurusan Risiko yang juga Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) UTM dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di UIAM dan merupakan Setiausaha Kehormat ARIF
 

utm

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD