Majlis Bahtsul Masail bersama Sahibul Samahah Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil yang diadakan di sebuah hotel di Bangi pada 4 Disember lalu, memberikan ruang yang sangat bermakna kepada penulis demi memperhalusi disiplin fiqh dalam konteks semasa.
Dalam perbahasan para ilmuan, sering kali kita membincangkan persoalan sah atau tidak sah, halal atau haram, serta patuh atau tidak patuh syariah. Namun satu perkara yang sering terlepas pandang ialah perbezaan antara hukum fiqh dan penilaian dosa atau pahala.

Sebagai Penasihat Syariah BSN yang bertanggungjawab menasihati masyarakat dalam isu muamalat moden, penulis merasakan penting untuk menjelaskan bahawa fiqh adalah bidang yang menilai perbuatan secara zahir, manakala dosa dan pahala adalah ketentuan Allah SWT yang menilai batin manusia. Perbezaan ini adalah asas dalam memahami keluasan dan rahmat syariah Islam.
Dalam tradisi keilmuan Islam, fiqh dibangunkan melalui gabungan dalil al-Quran, hadith, kaedah usul fiqh, dan ijtihad ulama. Ulama menilai sesuatu amalan berdasarkan rukun, syarat, lafaz, akad, dan kesan sesuatu perbuatan dalam masyarakat.
Penilaian mereka membawa kepada hukum sama ada sesuatu amalan itu sah atau tidak sah, halal atau haram, sunnah atau makruh, dan sebagainya. Namun, para ulama bersikap sangat berhati-hati dalam mengaitkan status dosa kepada individu tertentu kerana mereka sedar bahawa dosa adalah perkara ghaib yang tidak boleh diputuskan melalui pemerhatian zahir semata-mata.
Firman Allah SWT dalam Surah Ali 'Imran ayat 119 menegaskan bahawa, “Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang ada di dalam hati.” Ayat ini menjadi asas bahawa jiwa, niat, keikhlasan, kejahilan, atau keuzuran seseorang hanya diketahui oleh Allah, bukan manusia. Oleh itu, ulama hanya berperanan memberi panduan hukum, bukan menghakimi dosa seseorang.
Satu daripada kekeliruan besar dalam masyarakat ialah menganggap setiap perkara halal akan menghasilkan pahala dan setiap perkara haram pasti mendatangkan dosa. Hakikatnya, syariah tidak semudah itu.
Banyak perkara halal dalam syariah berada pada kedudukan mubah (harus), iaitu neutral, tidak berpahala dan tidak berdosa. Makan, tidur, berehat, bekerja, atau melakukan aktiviti duniawi yang lain pada dasarnya halal tetapi tidak semestinya menjadi ibadah yang berpahala. Halal hanya berubah menjadi ibadah apabila disertai dengan niat yang benar.
Dalilnya ialah sabda Rasulullah SAW dalam hadith masyhur riwayat al-Bukhari dan Muslim: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat.” Melalui hadith ini, para ulama menjelaskan bahawa sesuatu amalan luar hanya mendapat nilai ibadah apabila disertai niat mendekatkan diri kepada Allah.
Makan untuk menjaga kesihatan, bekerja untuk memberi nafkah kepada keluarga, atau tidur untuk menyegarkan badan merupakan contoh amalan halal yang berubah menjadi ibadah kerana niat yang baik.
Namun, jika tiada niat, ia kekal sebagai perbuatan mubah tanpa pahala. Ini menunjukkan bahawa halal bukan tiket automatik kepada pahala, kerana pahala ditentukan oleh hati, bukan hanya bentuk perbuatan.


Begitu juga halnya dengan perkara haram. Tidak semua perbuatan yang diklasifikasikan sebagai haram secara fiqh membawa dosa kepada pelakunya jika wujud keuzuran yang sah. Syariah sangat menghargai realiti manusia dan memberikan keringanan melalui konsep kejahilan (tidak tahu hukum) yang dimaafkan, keterpaksaan, kelupaan, dan darurat.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 5 menyatakan bahawa, “Dan tidak ada dosa ke atas kamu terhadap apa yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (dosa itu) pada apa yang disengajakan oleh hati kamu.” Ayat ini menjelaskan prinsip penting bahawa kesalahan tidak sengaja tidak dikira dosa. Kesalahan akibat tidak tahu hukum dalam keadaan yang dimaafkan syarak juga tidak berdosa.
Dalam keadaan darurat pula, sesuatu yang asalnya haram boleh berubah menjadi harus, sekali gus menggugurkan dosa.
Allah SWT juga menguatkan prinsip ini dalam Surah al-Baqarah ayat 286: “Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” Ayat ini menggambarkan bahawa syariah bukan sahaja menghukum, tetapi juga memberi ruang dan rahmat dalam bentuk pengecualian, keringanan, dan keadilan yang sesuai dengan kemampuan manusia.
Inilah keindahan syariah; pada peringkat fiqh, ulama wajib menilai secara objektif berdasarkan zahir, tetapi pada peringkat dosa, Allah menilai berdasarkan batin, niat, dan keadaan individu tersebut.
Dalam banyak keadaan, ulama mungkin memutuskan sesuatu akad atau transaksi sebagai tidak sah atau tidak patuh syariah kerana berlaku kekurangan pada rukun atau syarat.
Namun itu tidak bermakna individu yang terlibat dengan akad tersebut secara automatik berdosa, khususnya jika mereka bergantung kepada pandangan ulama, tidak memahami kerumitan isu fiqh, atau berada dalam keadaan keperluan.
Muamalat Moden
Begitu juga dalam dunia muamalat moden seperti perbankan Islam, banyak pelanggan tidak mengetahui perincian teknikal akad. Jika terdapat kekurangan yang akhirnya dihukum sebagai tidak patuh syariah, ia bukan bermakna setiap pelanggan itu berdosa.
Sebaliknya, dosa hanya wujud jika seseorang sengaja melakukan penipuan, sengaja melanggar hukum dengan pengetahuan, atau menolak panduan ulama secara degil.

Sebagai penasihat syariah, penulis sering menekankan bahawa tugas kita adalah memberi panduan hukum dengan tegas tetapi tidak mengambil alih peranan Allah dalam menentukan dosa.
Hadith riwayat Muslim juga menjelaskan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras dan harta kamu, tetapi melihat kepada hati dan amalan kamu.”
Ini membuktikan lagi bahawa hukum fiqh hanyalah penilaian terhadap rupa zahir amalan, sementara dosa dan pahala ditentukan oleh apa yang tersembunyi dalam hati manusia. Syariah tidak zalim; ia menilai mengikut kemampuan dan keadaan.
Kesimpulannya, majlis Bahtsul Masail yang diadakan memberi peringatan bahawa fiqh adalah panduan yang membezakan sah atau tidak sah, halal atau haram, serta patuh atau tidak patuh syariah, namun dosa dan pahala adalah wilayah Allah yang tidak boleh diputuskan oleh manusia. Ada perkara halal yang tidak menghasilkan pahala tanpa niat. Ada perkara haram yang tidak membawa dosa jika wujud keuzuran yang diiktiraf syarak.
Ulama menentukan hukum berdasarkan zahir, manakala Allah menentukan dosa berdasarkan batin. Kefahaman ini bukan sahaja selari dengan roh syariah yang penuh hikmah, tetapi juga mengelakkan masyarakat daripada mudah menghukum orang lain.
Semoga kita sentiasa diberi kefahaman yang mendalam dalam agama, menilai diri sendiri sebelum menilai orang lain, dan berpegang kepada prinsip bahawa hukum adalah urusan ulama, tetapi dosa dan pahala adalah hak mutlak Allah SWT. - DagangNews.com








