Melangkaui KDNK: Memahami Sabah dan Sarawak menerusi Analisis Input-Output Wilayah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Melangkaui KDNK: Memahami Sabah dan Sarawak menerusi Analisis Input-Output Wilayah

Bahagian I: Mengapa KDNK sahaja tidak mencukupi?
Oleh SAMIRUL ARIFF OTHMAN

Malaysia sejak sekian lama bergantung kepada petunjuk ekonomi standard seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), KDNK per kapita, aliran masuk pelaburan dan perbelanjaan awam untuk mengukur pembangunan wilayah.

 

Petunjuk-petunjuk ini kekal penting bagi menilai prestasi keseluruhan ekonomi serta membolehkan perbandingan dibuat antara negeri dan dari semasa ke semasa.

 

Namun, angka-angka tersebut hanya memberikan sebahagian daripada gambaran sebenar. Ia menunjukkan saiz ekonomi dan kadar pertumbuhannya, namun tidak banyak menjelaskan bagaimana kekayaan dicipta, bagaimana industri saling berhubung atau sama ada pertumbuhan di sesebuah wilayah mampu mewujudkan peluang ekonomi yang lebih meluas di wilayah lain.

 

Keterbatasan ini amat relevan dalam memahami kedudukan Sabah dan Sarawak. Pada 2024, ekonomi Malaysia berkembang 5.1% dengan KDNK mencecah kira-kira RM1.65 trilion. Sarawak menyumbang sekitar RM148.2 bilion manakala Sabah RM84.3 bilion, sekali gus memperlihatkan kepentingan strategik Malaysia Timur kepada pengeluaran negara.

 

Namun, KDNK sahaja tidak dapat menjelaskan mengapa negeri yang mencatatkan nilai pengeluaran yang besar boleh mengalami pencapaian berbeza dari segi pendapatan isi rumah, produktiviti dan pembangunan industri.

 

Persoalan asasnya ialah KDNK mengukur nilai pengeluaran tanpa menerangkan struktur yang menghasilkan nilai tersebut. Ia tidak menunjukkan dari mana firma mendapatkan input, bagaimana industri saling berkait, bagaimana keupayaan teknologi tersebar atau bagaimana nilai ekonomi mengalir ke seluruh sistem ekonomi.

 

Dua ekonomi sama besar belum tentu sama kukuh

KDNK juga tidak menunjukkan sama ada pertumbuhan menghasilkan kesan pengganda yang kukuh atau manfaatnya kekal tertumpu kepada segmen ekonomi tertentu.

 

Justeru, dua wilayah boleh mencatatkan paras KDNK yang hampir sama, namun mempunyai corak pembangunan yang sama sekali berbeza.

 

Sarawak misalnya mempunyai ekonomi yang berteraskan gas asli, petroleum, tenaga dan industri berasaskan sumber lain.

 

Sebaliknya, Pulau Pinang berkembang sebagai antara hab pembuatan elektrik dan elektronik (E&E) utama di Asia, disokong ekosistem padat yang terdiri daripada pembekal, firma kejuruteraan berketepatan tinggi, penyedia logistik, institusi penyelidikan serta tenaga kerja teknikal berkemahiran.

 

Perbezaan struktur inilah yang menentukan sejauh mana manfaat ekonomi tersebar. Sebuah kemudahan gas asli cecair (LNG) yang besar mampu menghasilkan output bernilai berbilion ringgit, namun operasinya sangat berintensifkan modal, menggunakan tenaga kerja yang secara relatifnya kecil serta banyak bergantung kepada teknologi dan peralatan khusus yang diimport.

 

Sebahagian besar nilai yang dihasilkan mengalir menerusi pendapatan eksport, keuntungan korporat dan hasil fiskal.

 

Mengapa rantaian pengeluaran penting

Sebaliknya, kluster elektronik dengan nilai output yang sama boleh menyokong ratusan pembekal domestik, firma kejuruteraan, pengendali pengangkutan, makmal pengujian, syarikat perisian dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Setiap tambahan ringgit dalam pengeluaran akan merangsang permintaan merentasi industri yang saling berhubung.

 

Perbezaan utamanya bukan semata-mata terletak pada nilai output, sebaliknya pada kepadatan hubungan dalam rantaian pengeluaran.

 

Keadaan ini membantu menjelaskan satu daripada ciri penting ekonomi Sarawak. Negeri itu mencatatkan antara KDNK per kapita tertinggi di Malaysia, iaitu kira-kira RM73,426 pada 2024 sebelum meningkat kepada sekitar RM73,757 pada 2025, jauh mengatasi purata nasional RM59,167.

 

Pada zahirnya, angka tersebut menggambarkan tahap kemakmuran yang tinggi.

 

Namun, purata pendapatan isi rumah adalah sekitar RM6,947 sebulan, lebih rendah daripada apa yang mungkin dijangkakan berdasarkan KDNK per kapita negeri itu.

 

Paradoks sumber dan pendapatan Sarawak

Keadaan ini bukanlah kelemahan dalam pengukuran KDNK, sebaliknya mencerminkan perkara yang sebenarnya diukur oleh KDNK, iaitu pengeluaran dan bukannya pengagihan pendapatan yang terhasil daripada pengeluaran tersebut.

 

Sebahagian besar nilai daripada sektor petroleum Sarawak mengalir menerusi hasil eksport, pendapatan korporat, royalti dan hasil kerajaan.

 

Tanpa rangkaian pembekal domestik yang kukuh, peningkatan keupayaan teknologi dan industri hiliran yang lebih pelbagai, nilai tersebut tidak secara automatik diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan isi rumah pada kadar yang sepadan.

 

Ahli ekonomi merujuk keadaan ini sebagai resource-income paradox atau paradoks sumber-pendapatan, yang lazim berlaku dalam ekonomi yang banyak bergantung kepada sumber asli apabila nilai pengeluaran yang tinggi tidak semestinya menjamin kemakmuran yang dinikmati secara meluas.

 

Sabah pula berdepan cabaran yang berbeza, namun mempunyai kaitan dengan persoalan struktur ekonomi yang sama.

 

Ekonomi Sabah banyak tertumpu kepada sektor pertanian, khususnya kelapa sawit, pelancongan dan perkhidmatan bernilai tambah lebih rendah. Sektor-sektor ini penting kepada ekonomi negeri, namun lazimnya menghasilkan produktiviti buruh yang lebih rendah berbanding pembuatan maju atau industri berintensifkan pengetahuan.

 

Cabaran struktur ekonomi Sabah

Pada 2024, sektor pertanian Sabah menguncup 3.4%, manakala sektor perlombongan dan pengkuarian menyusut 5.0%, sekali gus memperlihatkan kerentanan negeri itu terhadap turun naik komoditi global.

 

Ciri-ciri ini membantu menjelaskan mengapa pertumbuhan pendapatan di Sabah secara sejarahnya ketinggalan berbanding negeri yang lebih maju dari segi perindustrian walaupun Sabah mempunyai sumber asli yang banyak.

 

Ia juga memberikan konteks kepada dasar gaji minimum Malaysia pada 2013 yang pada peringkat awal menetapkan kadar berbeza antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak, secara tidak langsung mengiktiraf perbezaan produktiviti, komposisi industri dan struktur perusahaan.

 

Pengalaman Sabah dan Sarawak secara keseluruhannya menunjukkan bahawa kemakmuran wilayah tidak boleh difahami sepenuhnya dengan hanya melihat statistik KDNK.

 

KDNK mengukur pengeluaran, namun tidak banyak menerangkan kesan pengganda, pengagihan pendapatan atau mengapa jurang pembangunan terus wujud walaupun sesebuah wilayah menghasilkan nilai ekonomi yang besar.

 

Di sinilah Jadual Input-Output Wilayah (Regional Input-Output Table atau R-I-O) memainkan peranan penting.

 

Apa yang boleh dijelaskan oleh Input-Output Wilayah?

R-I-O memetakan aliran barangan dan perkhidmatan perantaraan antara industri dan merentasi wilayah. Ia menunjukkan dari mana input diperoleh, ke mana output disalurkan dan bagaimana kegiatan ekonomi di sesebuah wilayah merangsang kegiatan ekonomi di wilayah lain.

 

Pendekatan ini mengubah persoalan utama dasar ekonomi.

 

Persoalannya bukan lagi sama ada Sabah dan Sarawak memberikan sumbangan besar kepada KDNK negara kerana hakikat itu sudah jelas.

 

Persoalan yang lebih penting ialah sama ada Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak benar-benar berfungsi sebagai satu sistem pengeluaran yang bersepadu atau masih merupakan struktur ekonomi yang sebahagian besarnya terpisah dan hanya dihubungkan melalui aturan fiskal serta pentadbiran.

 

Dari perspektif Input-Output Wilayah, tahap integrasi ekonomi diukur berdasarkan hubungan pengeluaran dan bukan semata-mata susunan perlembagaan atau pentadbiran.

 

Ekonomi yang benar-benar bersepadu mempunyai hubungan huluan dan hiliran yang kukuh apabila firma semakin banyak mendapatkan input perantaraan dari dalam negara, teknologi bergerak merentasi wilayah dan industri saling mengukuhkan melalui rangkaian yang padat.

 

Integrasi pentadbiran belum tentu integrasi pengeluaran

Dalam sistem sedemikian, pertumbuhan di sesebuah kawasan boleh merangsang pelaburan, pekerjaan dan inovasi di kawasan lain.

 

Malaysia sudah mencapai tahap integrasi pentadbiran yang tinggi menerusi Perlembagaan yang sama, satu mata wang, sistem kewangan bersepadu, peraturan yang diselaraskan serta pergerakan barangan, perkhidmatan, modal dan tenaga kerja yang secara relatifnya bebas.

 

Namun, integrasi teknikal atau pengeluaran masih jauh lebih terbatas.

 

Aliran barangan dan perkhidmatan perantaraan antara wilayah masih sederhana, manakala output dari Semenanjung Malaysia tidak digunakan di Sabah dan Sarawak — dan sebaliknya — pada skala yang lazimnya dijangkakan dalam sebuah ekonomi yang benar-benar bersepadu.

 

Akibatnya, seni bina pengeluaran Malaysia masih menyerupai tiga sistem ekonomi wilayah yang hanya sebahagiannya saling berhubung.

 

Hubungan pengeluaran yang lemah secara langsung mengehadkan kesan pengganda. Apabila pengeluaran banyak bergantung kepada mesin, komponen atau pembekal dari luar negara, sebahagian perbelanjaan ekonomi akan mengalir keluar daripada ekonomi nasional.

 

Daripada menghasilkan lebih banyak kepada menghasilkan bersama

Keadaan ini memperlahankan pembangunan pembekal tempatan dan penyebaran teknologi, selain menyebabkan manfaat pertumbuhan lebih tertumpu kepada segmen ekonomi tertentu.

 

Pengalaman ekonomi maju menunjukkan bahawa daya saing jangka panjang bukan semata-mata bergantung kepada kemampuan menghasilkan lebih banyak, tetapi juga kemampuan untuk menghasilkan bersama menerusi rangkaian padat pengeluar, pembekal, penyedia logistik, institusi penyelidikan dan perkhidmatan khusus.

 

Rangkaian yang saling berhubung ini akhirnya menjadi enjin produktiviti, inovasi dan daya tahan ekonomi.

 

Matlamat Malaysia, oleh itu, bukanlah menjadikan struktur ekonomi setiap wilayah seragam. Sebaliknya, Malaysia perlu membangunkan ekonomi yang saling melengkapi.

 

Sistem pengeluaran negara yang lebih bersepadu perlu menghubungkan kekuatan berbeza setiap wilayah melalui rantaian bekalan domestik yang kukuh, sekali gus membolehkan pengetahuan teknologi, tenaga kerja berkemahiran dan pelaburan bergerak dengan lebih lancar antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

 

Dalam konteks ini, Analisis Input-Output Wilayah boleh menjadi alat perancangan strategik yang sangat berkesan untuk mengenal pasti hubungan ekonomi yang lemah dan rantaian nilai yang terpecah-pecah.

 

Malaysia perlu mengukur bagaimana kekayaan dicipta

Analisis ini juga boleh mengenal pasti bidang yang membolehkan dasar bersasar menghasilkan kesan pengganda terbesar serta menilai sama ada Malaysia sedang berkembang menjadi sebuah ekonomi pengeluaran yang semakin bersepadu, bukan sekadar ekonomi yang semakin besar.

 

Lebih enam dekad selepas pembentukan Persekutuan Malaysia, cabaran wilayah yang paling besar bukan lagi semata-mata persoalan perlembagaan, tetapi integrasi ekonomi.

 

KDNK memberitahu kita berapa banyak yang dihasilkan.

 

Analisis Input-Output Wilayah pula menjelaskan bagaimana ia dihasilkan dan sama ada Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak sedang berkembang sebagai satu sistem pengeluaran negara yang benar-benar bersepadu.

 

Pengukuhan integrasi teknikal, hubungan pengeluaran dan rantaian nilai antara wilayah amat penting untuk mengurangkan jurang berterusan dalam produktiviti, pendapatan isi rumah dan pembangunan.

 

Tahap pembangunan Malaysia seterusnya, justeru, memerlukan perubahan tumpuan — daripada sekadar membincangkan bagaimana kekayaan diagihkan kepada persoalan yang lebih asas dan strategik, iaitu bagaimana kekayaan itu dicipta- DagangNews.com

 

Samirul Ariff Othman adalah penganalisis politik global, perniagaan dan ekonomi. Beliau merupakan pensyarah adjung di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dan perunding kanan di Global Asia Consulting. Beliau menulis mengenai perspektif global, strategi dan kenegaraan, dengan memberi pandangan strategik terhadap dunia yang semakin kompleks. Pandangan yang dikemukakan di sini adalah sepenuhnya pandangan peribadi beliau.