Persoalan “Masih relevankah FELDA, RISDA dan FELCRA pada hari ini?” yang ditanyakan oleh salah seorang pelajar dalam kelas MBA penulis bukan sekadar satu soalan akademik, tetapi mencerminkan kegelisahan generasi muda terhadap peranan institusi warisan negara dalam landskap sosioekonomi yang semakin kompleks.
Soalan ini wajar diraikan kerana ia membuka ruang refleksi yang lebih mendalam tentang sejarah, niat asal penubuhan, serta cabaran masa depan institusi-institusi ini.
Hakikatnya, FELDA, RISDA dan FELCRA bukanlah entiti yang lahir secara kebetulan, sebaliknya merupakan manifestasi visi besar pemimpin awal negara yang berjiwa besar dan berpandangan jauh untuk mengangkat martabat Bumiputera agar mampu berdiri seimbang dengan kaum lain di Malaysia.
Latar Pasca-Kemerdekaan: Asal Usul Dasar Pembangunan Bumiputera
Selepas kemerdekaan, kemiskinan luar bandar, pengangguran dan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum merupakan cabaran utama negara.
Majoriti orang Melayu ketika itu tertumpu di kawasan luar bandar dan bergantung kepada pertanian tradisional dengan hasil yang rendah serta terdedah kepada kemiskinan struktural.
Justeru, pendekatan pembangunan yang bersifat jangka panjang, berteraskan keusahawanan dan pemilikan aset, menjadi teras kepada dasar-dasar awal negara.
Dalam konteks inilah FELDA, RISDA dan FELCRA ditubuhkan, masing-masing dengan mandat, kumpulan sasaran dan strategi pembangunan yang berbeza tetapi saling melengkapi.
FELDA dan Pembasmian Kemiskinan Luar Bandar Melalui Pemilikan Tanah
FELDA atau Federal Land Development Authority ditubuhkan dengan objektif utama membasmi kemiskinan tegar dan isu ketiadaan tanah dalam kalangan masyarakat Melayu luar bandar.
Melalui pembukaan tanah baharu dan penempatan terancang, FELDA menawarkan peluang kepada keluarga miskin untuk memiliki tanah, rumah dan sumber pendapatan yang stabil.
Skim FELDA bukan sekadar penempatan fizikal, tetapi satu ekosistem pembangunan insan yang menekankan disiplin, etika kerja, kebersamaan komuniti dan semangat berdikari.
Peneroka FELDA dididik untuk menjadi usahawan tani, bukan sekadar petani sara diri, sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara melalui komoditi strategik seperti kelapa sawit dan getah.
Lebih daripada itu, FELDA melambangkan satu projek pembinaan negara (nation-building) yang berani. Ia mencerminkan keyakinan pemimpin terdahulu bahawa kemiskinan boleh diatasi melalui pemilikan aset, pengurusan yang sistematik dan sokongan institusi yang berterusan.
Kejayaan awal FELDA telah melahirkan generasi peneroka yang berjaya meningkatkan taraf hidup, menghantar anak-anak ke universiti dan menyumbang kepada mobiliti sosial Bumiputera.
Walaupun FELDA hari ini berdepan pelbagai cabaran tadbir urus dan persepsi, asas falsafah penubuhannya, pada pendapat penulis, kekal relevan dan wajar diperkasakan semula.
RISDA dan Peranan Strategik Pekebun Kecil dalam Ekonomi Komoditi
RISDA atau Rubber Industry Smallholders Development Authority ditubuhkan dengan fokus khusus untuk membantu pekebun kecil getah yang telah memiliki tanah tetapi terperangkap dalam kitaran pendapatan rendah akibat produktiviti yang lemah dan kekurangan modal.
Berbeza dengan FELDA, RISDA tidak membuka tanah baharu atau mewujudkan penempatan, sebaliknya memperkukuh keupayaan pekebun sedia ada melalui bantuan penanaman semula, khidmat nasihat teknikal, pemindahan teknologi dan sokongan kebajikan.
Peranan RISDA amat penting dalam memastikan pekebun kecil tidak tercicir dalam arus pemodenan ekonomi negara.
Dalam konteks keusahawanan, RISDA berfungsi sebagai pemangkin peningkatan produktiviti dan kecekapan, membolehkan pekebun kecil beralih daripada amalan tradisional kepada pendekatan yang lebih komersial dan mampan.
Walaupun sektor getah tidak lagi menjadi penyumbang utama ekonomi seperti dahulu, prinsip keadilan sosial dan keterangkuman ekonomi yang menjadi asas penubuhan RISDA masih sangat relevan, khususnya dalam menghadapi cabaran kos sara hidup dan ketidaktentuan harga komoditi.
FELCRA dan Penyelesaian Isu Tanah Terbiar serta Pemilikan Berpecah
FELCRA atau Federal Land Consolidation and Rehabilitation Authority diwujudkan untuk menangani isu struktur pemilikan tanah yang terbiar, berpecah-pecah dan tidak ekonomik, khususnya tanah pusaka yang dimiliki oleh ramai waris. Tanpa campur tangan institusi, tanah-tanah ini berisiko terus tidak dimajukan, sekali gus menafikan potensi ekonomi kepada pemiliknya.
FELCRA menawarkan satu penyelesaian yang pragmatik dan adil dengan menggabungkan tanah-tanah tersebut di bawah pengurusan kolektif tanpa menafikan hak milik individu.
Pendekatan FELCRA mencerminkan kebijaksanaan pemimpin terdahulu dalam menyeimbangkan kecekapan ekonomi dan keadilan sosial.
Melalui pengurusan berkelompok dan skala ekonomi, tanah-tanah kecil dapat dimajukan secara komersial, manakala pemilik tanah menikmati pulangan yang lebih stabil.
Dalam konteks keusahawanan Bumiputera, FELCRA membuka ruang kepada pemilikan pasif yang produktif serta penglibatan dalam ekonomi moden tanpa memaksa perubahan struktur sosial secara drastik.
FELDA, RISDA dan FELCRA sebagai Instrumen Pembangunan Nasional
Secara keseluruhan, FELDA, RISDA dan FELCRA merupakan tiga instrumen pembangunan yang saling melengkapi.
FELDA menangani isu ketiadaan tanah dan kemiskinan tegar, RISDA memperkukuh produktiviti pekebun kecil sedia ada, manakala FELCRA memulihkan potensi tanah yang terbiar atau terfragmentasi.
Ketiga-tiganya lahir daripada satu falsafah yang sama, iaitu kepercayaan bahawa pembangunan Bumiputera mesti berasaskan pemilikan aset, peluang keusahawanan dan sokongan institusi yang berterusan.
Relevansi FELDA, RISDA dan FELCRA dalam Perspektif Generasi Muda
Bagi generasi muda hari ini, khususnya pelajar dalam era digital dan globalisasi, memahami sejarah dan rasional penubuhan institusi-institusi ini penting bagi mengelakkan penilaian yang bersifat sempit dan ahistorikal.
Kritikan terhadap kelemahan semasa adalah wajar, namun ia perlu disertai dengan kesedaran bahawa kejayaan hari ini dibina atas pengorbanan dan visi pemimpin terdahulu yang berjiwa besar serta tidak mementingkan kepentingan peribadi.
Cabaran sebenar masa kini bukanlah sama ada FELDA, RISDA dan FELCRA masih relevan, tetapi bagaimana institusi-institusi ini boleh distruktur semula untuk mengembalikan semangat keusahawanan, integriti dan daya saing yang menjadi roh asal penubuhannya.
Pendekatan baharu yang menekankan tadbir urus baik, profesionalisme, inovasi dan penglibatan generasi muda perlu diterapkan agar institusi ini kekal menjadi alat mobiliti sosial yang berkesan dan relevan dengan keperluan ekonomi masa hadapan.
FELDA, RISDA dan FELCRA dalam Kerangka Maqasid Syariah
Selain pertimbangan sosioekonomi dan dasar awam, usaha FELDA, RISDA dan FELCRA selari dengan tuntutan syariah Islam dalam mencapai maqasid syariah, merangkumi pemeliharaan agama, nyawa, akal, harta dan keturunan.
Justeru, memperkasa semula institusi-institusi ini bukan sekadar keperluan ekonomi, tetapi juga satu amanah syarie untuk memastikan keadilan dan kemaslahatan umat terus terpelihara.
Sebagai penutup, FELDA, RISDA dan FELCRA bukan sekadar agensi pembangunan, tetapi simbol komitmen moral negara terhadap keadilan sosial dan keseimbangan ekonomi antara kaum.
Menghargai sumbangan pemimpin terdahulu bukan bermakna menolak perubahan, sebaliknya menjadikan warisan tersebut sebagai asas kepada pembaharuan yang lebih bermakna.
Penulis yakin bahawa selagi agenda pemerkasaan Bumiputera dan peningkatan taraf hidup yang bermaruah kekal menjadi aspirasi nasional, selagi itulah semangat dan relevansi FELDA, RISDA dan FELCRA harus terus dipelihara serta diperkasakan. - DagangNews.com
Dr Razli Ramli adalah Ketua Strategi dan Pengurusan Risiko yang juga Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) UTM dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di UIAM

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD








